fbpx

HALUAN Latih Sukarelawan Misi Kemanusiaan

HALUAN Latih Sukarelawan Misi Kemanusiaan

HALUAN Latih Sukarelawan Misi Kemanusiaan

BEHRANG, Perak, 10 Mac 2013 – Di antara punca lemas di dalam aliran sungai yang berbatu ialah dibawa arus ‘kepala air’ yang datang tiba-tiba tanpa di sedari dek keseronokan semasa bermandi-manda. Tanda utama kedatangan ‘kepala air’ ialah kehadiran ranting-ranting kecil, dedaun kering dan air jeram yang mulai keruh.

Menurut jurulatih survival HALUAN Encik Shahrul Anwar Rahmad, kepantasan tibanya ‘kepala air’ sukar diduga, bergantung kepada jarak dan jumlah turunnya hujan di hulu sungai. Kemudiannya dengan arus deras dan kenaikan paras air yang mendadak, ramai mereka yang asyik mandi-manda yang tidak terlatih tidak akan sempat menyelamatkan diri walaupun mereka boleh berenang, kata beliau ketika memberi taklimat kepada peserta Kem Modul Latihan Misi Kemanusiaan 1 yang dilaksanakan di sebuah jeram di Sungai Dara di sini pada 9hb Mac.

Beliau adalah penceramah daripada Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN yang menjelaskan teori dan praktikal untuk menyelamat mangsa lemas di dalam air. Pada petang hari yang sama ketika sebahagian peserta baru mulai mandi di jeram tersebut, mereka telah didatangi arus deras ‘kepala air’ dan terkesan dengan kenaikan paras air yang amat membahayakan. Mujurlah para peserta sempat naik ke darat apabila mengenali tanda-tanda awal seperti yang telah diajar penceramah.

Seramai 17 orang sukarelawan HALUAN dari beberapa negeri telah menjalani sesi latihan tersebut yang bermula pada malam 8hb Mac hingga pagi 10hb Mac di sebuah tapak rekreasi yang amat sesuai untuk latihan.

“Ini adalah salah satu aktiviti latihan lapangan yang julungkali dilaksanakan oleh Biro Misi Kemanusiaan HALUAN sebagai persediaan sukarelawan kami sebelum menyertai misi bantuan di dalam dan luar negara”, ujar Dr Roniyuzam Abdul Malek, selaku Pengarah program tersebut. Beliau juga adalah Ketua Unit Bantuan Kemanusiaan bagi Kelab Kesihatan HALUAN.

Peserta yang hadir adalah gabungan para pemuda yang penuh bersemangat dan beberapa sukarelawan yang pernah menyertai misi bantuan kemanusiaan sebelum ini. Mereka telah didedahkan kepada teori dan praktikal misi kemanusiaan di lapangan. Definisi bencana alam serta pelbagai jenisnya dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dihuraikan oleh Dr Mohtar Ibrahim, seorang Pakar Oftalmologi Hospital USM yang berpengetahuan luas dan banyak pengalaman dalam misi bantuan kemanusiaan sejak tahun 1999 bersama MERCY Malaysia.

“Rupanya persediaan untuk seorang sukarelawan bantuan kemanusiaan bukan sahaja daripada aspek fizikal, tetapi juga kemantapan ruhi, melengkapkan keilmuan mengenai jenis bencana, komunikasi berkesan dan aspek keselamatan,” keluh Mohd Zubir Abd Rahman, pemuda dari Terengganu setelah mendengar ceramah kedua oleh Dr Mohtar bertajuk “Etika dan Persediaan Sukarelawan Kemanusiaan”. Dr Mohtar juga berkongsi pengalaman beliau di lapangan ketika di Kosovo, Sudan dan Korea Utara semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Survival Skills during Humanitarian Mission’.

Para peserta menginap di dalam khemah, memasak makanan sendiri dan diberi peluang untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain. Selain taklimat dan amali menyelamat mangsa lemas, para peserta juga diberi latihan asas pertolongan cemas oleh Ketua Jabatan Pembedahan Ortopedik Hospital Serdang yang juga seorang sukarelawan yang banyak pengalaman iaitu Dr Basir Towil. Program juga diceriakan lagi dengan perkongsian pengalaman di lapangan oleh para sukarelawan senior.

Semasa menutup program latihan tersebut, Dr Baharudin Suri selaku Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan jutaan penghargaan kepada setiap peserta terutamanya para pemuda yang menunjukkan kesungguhan, sikap pengorbanan yang tinggi dan kesediaan untuk bersama mengikuti program latihan ini. Menurut beliau lagi, biro akan memperbanyakkan lagi program seumpama ini dan akan mengemaskini data relawan yang berminat agar lebih ramai lagi para pemuda serta pemudi yang bersedia dihantar ke lapangan misi bantuan. Tegas beliau lagi, misi bantuan kemanusiaan HALUAN kini memasuki fasa-fasa yang lebih mencabar, termasuklah pembinaan semula kehidupan mangsa bencana serta meningkatkan modal insan melalui pendidikan berterusan.


Laporan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN