fbpx

KHF & RISE Sertai Street Dakwah P. Pinang

KHF & RISE Sertai Street Dakwah P. Pinang

KHF & RISE Sertai Street Dakwah P. Pinang

SEBERANG PERAI, 10 Julai 2014 – HALUAN yang diwakili oleh Kelab HALUAN Fitrah (KHF) dan pusat didikannya iaitu Reverts & Islam Information Centre (RISE) Zon Utara telah menyertai Street Dakwah atau Dakwah Jalanan bersama NGO-NGO lain pada 5 Julai lepas.

Program sulung anjuran Majlis Dakwah Pulau Pinang (MDPP) bersempena Global Dakwah Day ini diadakan bagi mendedahkan para aktivis dakwah pelbagai NGO untuk berani tampil memperkenalkan Islam kepada orang awam bukan Muslim, suatu kelaziman yang dilakukan oleh pelatih misionari gereja di serata dunia.

Pasukan HALUAN seramai 18 orang terserlah dalam kabilah dakwah itu dengan berpakaian kemeja T serba oren yang direkabentuk khas oleh RISE untuk ‘Street Dakwah’ kali ini. Para peserta RISE pula terdiri daripada pelbagai latar belakang – doktor perubatan, pensyarah, guru, jurutera, pakar IT dan professional lain yang sama-sama bertekad untuk menyebarluaskan mesej Islam sejagat kepada sesiapa sahaja yang potensi-Muslim di lokasi yang telah ditetapkan.

HALUAN ditugaskan di kawasan Megamall, Perai dan disertai oleh dua mentor berpengalaman, Dr Basir Towil daripada KHF dan Bro. Irman Khang dari NGO Persalam. Lokasi lain yang berjalan serentak adalah di Sunway Mall, Perai, Kulim dan Jusco di kawasan Alma.

Baju oren pasukan RISE yang bertulis ‘What Is Your Goal In Life?’ di depan dan ‘Muslim ~ 1 God Many Prophets’ di belakangnya tampak menyerlah di khalayak ramai ketika bertebaran mendekati mad’u, menjadikan pasukan itu tarikan kepada siapa saja yang terpandang.

Sambil terukir senyuman, bilangan peserta RISE seramai 18 orang itu adalah yang teramai berbanding NGO yang lain. Bilangan yang ramai ini mendapat sapaan ataupun “thumbs-up” daripada Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang telah dijemput memberikan kata-kata perangsang di permulaan program berkenaan. Malahan NGO-NGO lain yang turut menganggotai MDPP turut mengusik pasukan RISE tersebut kerana tampak sangat bersemangat dengan kemeja T oren mereka yang disertai dengan business card sekali.

Syabas diucapkan kepada pengerusi KHF Pulau Pinang, Dr Mohd Nasir Othman, RISE dan semua yang terlibat dengan usaha ulung Street Dakwah berkenaan. Semua peserta nampak teruja untuk merasai pengalaman pertama menjalankan Street Dakwah kerana menyedari bahawa tugas berdakwah pada bukan Islam adalah tuntutan penting yang sering diabaikan.

Ada yang rasa gementar bagaimana untuk memulakan perbualan menceritakan Islam kepada mad’u yang tidak dikenali latar belakang agama mereka dan bagaimana reaksi yang bakal diterima.

“SD ini sebahagian daripada penerusan latihan dan pengalaman KHF terutamanya bagi mereka lepasan kursus Friendly Comparative Religion (FCR) tahap 1 dan 2 yang telah kami laksanakan sebelum ini di Bangi. Bukan setakat teorinya saja, kini ahli HALUAN yang sudah dilatih perlu merasai asam garam berdakwah secara praktikal di lapangan. Rasa bagaimana hendak mengawal gementar, bermanis muka di saat terguris ego, membuang prejudis terhadap agama, bangsa dan warna kulit, serta mengalami sendiri keadaan dicemuh atau tidak diendahkan orang bila cuba menceritakan Islam. Ada yang manis dan ada yang pahit. Kita nak semua ahli KHF merasai pengalaman penolakan dan penerimaan masyarakat. Tapi yang pastinya, di hujung sana Allah akan kirakannya sebagai satu amal mulia dan qowi,” berkata pengerusi KHF, Dr Jamaludin James Laeng Abdullah kepada mediaHALUAN.

Pasukan HALUAN yang ditempatkan di Megamall, Perai itu dibahagikan kepada empat kumpulan kecil yang dipantau oleh Bro Irman dan Dr. Basir selaku mentor. Sebarang persoalan yang tidak dapat ditangani peserta atau masalah berbangkit akan dirujuk kepada mereka.

Terdapat ramai peniaga Cina di Megamall yang menjual berbagai barangan manakala pelanggan ramai terdiri daripada orang Melayu Islam mungkin kerana Hari Raya sudahpun dekat. Maka kebanyak mad’u yang ditemui adalah para peniaga non-Muslim di situ terutamanya kios-kios menjual telefon bimbit.

Ada berbagai reaksi mereka ketika dihulurkan pamphlet yang dibawa. Ada yang menolak dan ada yang menerimanya. Yang istimewanya, ada beberapa orang yang bertindak sangat positif dan terus berbincang tentang Ketuhanan dan Agama Islam.

“Sangat mengejutkan apabila salah seorang daripada pemuda Cina dengan hati terbuka mengajak kami ke ruang kedainya untuk berbincang lebih mendalam. Ini amat berbeza dengan orang lain yang telah kami sapa. Beliau juga memberikan nombor telefon dan sudi bergambar bersama kami malah berterima kasih kerana kami datang ke tempatnya,” berkata Dr Mohd Nasir. “Bergambar bersama mad’u hanya dibenarkan apabila ada interaksi positif dan mereka bersetuju. Ini adalah panduan yang diberikan semasa latihan.”

Kemunculan imam huffaz dari Palestin, Sheikh Mohammad Faraq, yang sekarang ini dijemput khas oleh Biro HALUAN Palestin sebagai imam solat tarawikh di sekitar Pulau Pinang, menambahkan keceriaan dan semangat peserta SD di MegaMall.

Banyak pamphlet pelbagai topik asas seperti ‘Who Is Allah?’, ‘Oneness of God in Islam’, serta ‘Jesus in Islam’ telah diedarkan di samping kad nama RISE untuk dihubungi.

Selesai program berkenaan, peserta melahirkan pengalaman dan perasaan masing-masing sebagai sesuatu yang amat berharga kerana ia memberikan kesedaran betapa menyampaikan Islam kepada non-Muslim tidak semudah berdakwah kepada Muslim. Ada yang merasakan sukar untuk berhubung dengan mad’u Cina kerana kekangan Bahasa.

Rata-rata peserta mendapati strategi sangat penting dalam dakwah fardhiyah iaitu perkataan yang mula-mula kena disebut, raut wajah dan kesediaan mad’u untuk berinteraksi dan memberikan respon.

Keseluruhannya para peserta berpuas hati dengan pengalaman pertama mereka melakukan SD serta ingin menyertainya lagi di masa hadapan.

Laporan Unit mediaHALUAN Pulau Pinang