fbpx

Bubur Lambuk HALUAN Pahang Menambat Hati

Bubur Lambuk HALUAN Pahang Menambat Hati

Bubur Lambuk HALUAN Pahang Menambat Hati

KUANTAN, 22 Julai 2014 – Senario unik seolah berpesta berbuka puasa beramai-ramai secara santai setiap petang di Padang MPK 1, berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad Pahang, Kuantan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh HALUAN Pahang dengan mengedarkan bubur lambuk percuma kepada pengunjung dan orang ramai.

Program Agihan Bubur Lambuk Anjuran Jabatan Agama Islam Pahang sempena ‘Ihya’ Ramadhan ini telah diadakan sejak tiga tahun lalu dan HALUAN Pahang satu-satunya NGO yang sentiasa diberikan kepercayaan setiap tahun oleh JAIP untuk menjayakannya.

Menurut Yang Di Pertua HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid Tg Othman, program gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk tahun ini lebih bermakna dan menarik kerana turut diadakan aktiviti Kutipan Tabung Kecemasan Gaza dengan mendapatkan sumbangan derma ikhlas orang ramai yang berkunjung di bazaar Ramadhan berdekatan dan daripada hadirin yang berbuka puasa di padang berkenaan.

Sebanyak dua periuk besar bubur telah mula di masak di padang itu bermula pukul 10.00 pagi dengan kerjasama HALUANITA secara bergilir. Agihan bubur mula diadakan pada pukul 5.30 petang hinggalah ke saat akhir waktu berbuka puasa. Sebanyak 600 bekas bubur berserta air mineral berjenama HALUAN diedarkan kepada pengunjung. Sambutan hadirin tersangat baik dan ada yang terlepas peluang kerana kehabisan.

Program terbuka pada petang itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Encik Ahmad Shatibi daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan tazkirah Ramadhan oleh Dr Ahmad Johari Ahmad daripada HALUAN Pahang. Pasukan mengutip derma oleh Biro HALUAN Palestin cawangan Pahang telah bergerak ke setiap penjuru padang dan bazaar dengan kibaran bendera Palestin dan poster-poster Gaza yang terdiri daripada pasukan syabab dan HALUANSiswa. Alhamdulillah, kutipan untuk Palestin pada petang itu saja berjumlah RM 9,200. Aktiviti seharian itu ibarat suatu gelombang dakwah yang melibatkan ramai ahli-ahli HALUAN dari jauh dan dekat demi menyantuni masyarakat Kuantan.

Pihak JAIP telah merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak HALUAN Pahang selaku NGO petugas yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada program Ihya Ramadhan anjuran mereka. Program berbakti ini telah menambahkan lagi ikatan ukhuwah anggota HALUAN bersama masyarakat dan telah memberi pengalaman baru kepada pemuda dan pemudi HALUAN untuk turun ke padang menyapa masyarakat untuk memahamkan mereka isu Palestin serta meraih derma dan sumbangan orang ramai untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat pembunuhan tragis oleh rejim ganas zionis Israel.

Di akhir senja, anggota HALUAN termasuklah Setiausaha Agung Pusatnya, Encik Mohd Ghani Salleh bersama keluarga masing-masing turut berpeluang berbuka secara bersantai di padang dengan penuh mesra sambil menikmati pengalaman baru rehlah berbuka puasa bersama orang ramai di bawah naungan langit senja. Moga usaha yang sedikit ini turut mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT dalam usaha mengenengahkan HALUAN sebagai NGO yang Berakhlak, Mendidik dan Berbakti kepada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Laporan oleh Biro Penerangan HALUAN Pahang.