fbpx

Keriangan dan Kreativiti Terpancar di JDK

Keriangan dan Kreativiti Terpancar di JDK

Keriangan dan Kreativiti Terpancar di JDK

mamoo-01KUALA KANGSAR, 2 Jan 2014 – Tidak kering gusi dibuatnya dek gelagat anak-anak remaja semasa sesi pertandingan latihan dalam kumpulan (LDK) slot Kelab HALUAN Fitrah (HALUAN Fitrah) bersempena kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2013/14 yang berjalan serentak di lima buah negeri.

Kursus tersebut berlangsung daripada 14 Disember lepas sehingga 4 Januari 2014 bertujuan mengasah minda dan fizikal lepasan SPM untuk mempersiapkan mereka memasuki menara gading di dalam mahupun di luar negara. Slot sehari setengah bersama HALUAN Fitrah antara slot penggencar minda yang sangat mereka minati.

Di Zon Utara di kem Batu Ampar Resort, Kuala Kangsar, sekumpulan remaja lelaki menggamatkan suasana persembahan LDK mereka dengan ‘Mamoo Curry House’ sebagai mendemonstrasikan dakwah kepada golongan bukan-Muslim. Situasi yang dilakonkan adalah seorang Melayu Muslim diajak oleh dua orang kawan Hindu beliau, Muthu dan Selva, untuk keluar makan bersama. Mereka tiba di sebuah kedai makanan India beragama Hindu iaitu Mamoo Curry House.

Beliau menerima ajakan tersebut kerana dua orang India tadi adalah kawan baiknya dan ingin mengambil kesempatan untuk menceritakan Islam kepada mereka. Mereka pun pergi ke kedai tersebut yang menghidangkan pelbagai menu termasuk daging kambing, ayam, khinzir, ikan, roti dan set vegetarian.

Lakonan yang menggelikan hati dengan watak ‘Mamoo’ yang bertutur bahasa Melayu loghat India secara bersahaja, memakai t-shirt Pagoda, kain pelekat dan tuala Good Morning di bahu telah menghangatkan suasana LDK tersebut. Ketika ketiga-tiga mereka sampai, mamoo segera melayani mereka membawa menu sepanjang satu kertas mahjong dengan menyebut setiap satu hidangan dengan laju dalam satu nafas.

Pelanggan Melayu tadi minta diulang, akhirnya Mamoo suruh mereka membaca sendiri sambil mengomel. Pun begitu pelanggan Muslim tadi menunjukkan sikap yang baik dengan bersabar dan tersenyum menyebabkan dua rakan India beliau agak tertarik. Beliau memesan minuman teh O dan roti boom sedangkan rakan-rakan India beliau memesan beberapa jenis makanan berdaging. Mereka pun bertanya kepada rakan Muslim itu kenapa orang Islam tidak memakan daging babi dan daging yang tidak disembelih secara Islam. Maka rakan Muslim berkenaan mulalah menjelaskan kepada mereka tentang halal haram yang tertulis dalam Al-Quran serta dalilnya.

Mesejnya ialah orang Islam hidup berdasarkan panduan yang lengkap dan menghormati serta tahu keterbatasan hukum demi kebaikan manusia. Di samping itu, dengan menunjukkan akhlak yang baik dengan tersenyum dan bersabar serta memberikan penjelasan yang terang tentang Islam, rakan Muslim itu sudahpun mula berdakwah secara mudah dengan rakan sebayanya tanpa rasa ganjil atau kekok. Suatu usaha yang sedikit tetapi memberikan impak positif yang besar yang boleh dipraktikkan oleh peserta JDK bila memasuki alam kampus nanti. Yang penting, prejudis kaum dan agama harus diketepikan dahulu demi hendak menyampaikan Islam.

Gelagat yang hampir sama di JDK wilayah tengah di Selangor turut berjaya mencuri hati peserta. Kali ini berkaitan beberapa orang misionari Kristian yang cuba berdakwah kepada sekumpulan mat rempit Melayu yang tiada arah hidup. Gelagat pelakon yang menaiki tiga buah motosikal berlainan kuasa, dengan menggunakan kerusi seminar, membuat penonton ketawa besar. Akhirnya setelah insaf dengan kesilapan mereka, kononnya setelah menyertai HALUAN Fitrah, ketua kumpulan rempit telah pergi mencari semula ketua misionari berkenaan untuk menerangkan doktrin-doktrin Kristianiti yang tersasar daripada ajaran asal Nabi Isa a.s. Mereka berjaya menghuraikan doktrin-doktrin berkenaan dengan baik sehingga meyakinkan juri untuk menobatkan mereka sebagai kumpulan pemenang.

Sesi bersama HALUAN Fitrah telah membuka lembaran baru untuk anak-anak muda ini menyedari betapa ruginya jika mereka tidak mengambil peluang untuk menyampaikan mesej Islam semasa di kampus nanti dan juga dengan jiran tetangga mereka di kawasan perumahan. Di dalam borang maklumbalas, ada yang mengatakan mereka kerugian kerana kesekian lamanya hidup berjiran dengan orang Cina dan India tetapi gagal menyampaikan risalah Islam walaupun sepotong ayat.

Semoga peserta JDK 2013/14 ini akan melaksanakan perubahan pada lanskap dakwah di kampus nanti. Untuk bakal lepasan SPM 2014, sila pantau iklan JDK di laman web HALUAN nanti untuk memastikan tarikh pendaftarannya atau buatlah tempahan awal dengan menelefon ke ibupejabat kami di talian +603 8926 8892.