fbpx

Kentalnya Semangat Wirawati HALUANITA

Kentalnya Semangat Wirawati HALUANITA

Kentalnya Semangat Wirawati HALUANITA

KUANTAN, 18 Dis 2013 — Selut, lumpur, sampah bertimbun dan bau yang menusuk ke hidung tidak dapat menghalang kemaraan gelombang HALUANITA yang tiba secara berkumpulan di Kuantan untuk melerai kebuntuan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di sana.

Selut tebal lagi dalam yang mengisi setiap ruang rumah mangsa serta memusnahkan peralatan rumah tidak mungkin dapat dibersihkan oleh tuan rumah secara bersendirian. Menyedari hakikat ini, gelombang HALUANITA dengan sentuhan lembut mereka menyantuni tiap rumah yang sempat mereka berbakti demi memujuk dan saling membantu membersihkan persekitaran kepada keadaan sediakala. Ya, tidak semua perkakas rumah dapat diguna semula namun kedatangan wirawati-wirawati berjiwa luhur ini membawa seribu makna kepada mangsa yang sedang dirundung duka dek ujian Allah SWT ini.

Banjir besar yang melanda Bandar Kuantan mulai 3 Disember lepas meninggalkan kesan yang amat mendalam di sanubari ribuan mangsa yang terpaksa lari meninggalkan kampung halaman mereka. Sesudah air bah surut, bermulalah igauan ngeri mereka menyaksikan kerosakan dahsyat kepada hasil pertanian, penternakan, ladang, perniagaan, rumah, pakaian, buku sekolah dan kenderaan. Airmata berderai namun mereka sedar itu semua takdir Illahi yang tidak dapat tidak kena digagahi walau terasa sebak di dada.

Salah satu pasukan yang bergegas membantu Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (MKB13) di bandar ini adalah pasukan 9c HALUANITA yang merupakan kumpulan terakhir relawan yang dihantar ke sana diketuai oleh Nurul Shahridah Md Saleh. Mereka ditugaskan membantu membersihkan tiga buah rumah penduduk di Taman Sungai Isap Damai serta sebuah taska dari 12-14 Disember. Pasukan enam orang sukarelawan wanita ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu di bawah seliaan Dr Samsul Bahari Mohd Noor dan kumpulan pimpinan Encik Hamdan Salleh dan isterinya Puan Waffa A. Rahim.

“Tuan rumah mangsa banjir Encik Nasa dan isterinya yang berusia sekitar 60 tahun sangat gembira dengan kehadiran kami yang merupakan sukarelawan pertama yang datang menziarahi dan membantu mereka membersihkan rumah akibat banjir besar itu. Kami seramai empat orang anggota membantu mencuci set pinggan mangkuk yang terpalit lumpur banjir dan mengemas rumah mereka sebaik mungkin,” berkata Nurul.

Di rumah Puan Roziah Abu di Sungai Isap Damai pula, pasukan berlainan membantu membersihkan bahagian dapur rumah ibu tunggal ini yang merupakan seorang peniaga kuih-muih dan biskut secara kecil-kecilan. Kumpulan itu juga membantu membasuh pakaian keluarga beliau yang terkena lumpur.

“Oleh kerana kuantitinya yang banyak, kami telah membasuh pakaian tersebut di halaman rumah, dan setelah siap, kami turut membersihkan halaman rumahnya sehingga menjadi seperti sedia kala,” kata beliau lagi. Berakhlak, Mendidik dan Berbakti sememangnya menjadi teras setiap anggota sukarelawan HALUAN.

Selain tugasan membersih dan mengemas, pasukan ini juga ditugaskan untuk menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari untuk para sukarelawan yang datang dan pergi secara berkumpulan dari serata negara. Ada juga yang ditugaskan untuk membantu Puan Waffa untuk menghias Taska Ibn Abbas di situ, memandangkan beliau adalah pengusaha tadika yang berjaya di Selangor.

MKB2013 tersebut merupakan pengalaman pertama misi kemanusiaan bagi semua anggota kumpulan 9c. Mereka sangat teruja dan bersemangat untuk sama-sama memberi khidmat membantu mangsa-mangsa banjir di samping mengambil ibrah daripada ujian banjir yang sangat dahsyat ini. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa mangsa tersebut dan menjauhi mereka daripada sebarang musibah selepas ini.

Laporan oleh Nurul Shahridah Md Saleh, Ketua kumpulan 9c MKB13