fbpx

Kepimpinan Tunjang Perubahan Ummah

Kepimpinan Tunjang Perubahan Ummah

Kepimpinan Tunjang Perubahan Ummah

KAJANG, 29 Jul 2023 – Kepimpinan bukanlah suatu peluang untuk meraih kuasa, status mahupun harta, tetapi ia adalah suatu tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam rangka memberi khidmat sepenuhnya kepada Allah.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar bertajuk “Kepimpinan Tunjang Perubahan Ummah” dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN kali ke-34 di sini, Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, menyeru semua ahli HALUAN menginsafi bahawa tanggungjawab kepimpinan bermula dengan kepimpinan peribadi. Justeru tidak ada siapapun yang terlepas daripada tanggungjawab kepimpinan dalam erti kata yang menyeluruh. Setiap orang memikul tanggungjawab atau mas’uliah sehinggakan generasi awal para sahabat Rasulullah SAW bertaburan ke seluruh dunia untuk menyampaikan risalah Islam. “Kepimpinan Islam melahirkan jiwa-jiwa yang tidak senang duduk melainkan bingkas melaksanakan mas’uliyah masing-masing,” kata Dr. Abdullah Sudin.

Hari ini, kepimpinan tidak lagi berlandaskan kepada syariat Allah SWT sehingga membawa kerosakan dan bencana yang besar kepada kehidupan manusia. Umat Islam pula jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang penting seperti politik, pengurusan, ekonomi, pendidikan, teknologi, pertahanan dan lain-lain lagi,” katanya.

Tegas Dr. Abdullah Sudin lagi, misi HALUAN Malaysia iaitu “Dakwah merubah masyarakat, Tarbiah melahirkan pemimpin” bukan semata-mata frasa yang  indah untuk disebut atau sedap didengar, tetapi ia dirangka untuk memperlihatkan bahawa inilah yang hendak dicapai oleh organisasi. “Ia bagaikan satu janji bahawa kita mesti melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Kita bertanggungjawab di hadapan Allah SWT untuk menunaikan janji ini,” kata beliau.

Jika kita mahu terus berkembang dan memberi kesan kepada perubahan masyarakat, maka kita perlu melahirkan lebih banyak barisan kepimpinan dalam erti kata yang sebenarnya. Kita tidak boleh mengharapkan kepada kepimpinan yang diciptakan oleh sistem yang tidak berlandaskan kepada al-Quran dan Sunnah.

Medan untuk kita membentuk atau melahirkan kepimpinan terbentang luas. HALUAN Malaysia dengan strukturnya di peringkat pusat dan negeri, adanya ketua-ketua kluster, ketua-ketua biro, ketua-ketua unit hinggalah kepada ketua-ketua keluarga, adalah suatu gambaran bahawa ia boleh dilaksanakan.

Tanpa menafikan bahawa orang lain atau organisasi lain juga memikul tanggungjawab kepimpinan, kita mestilah tidak merasa terkecuali daripada melaksanakan perkara ini. Perlu merasakan bahawa untuk mengharapkan sesuatu perubahan terjadi, maka usaha-usaha yang tidak mengenal jemu, putus asa, lemah semangat dan lain-lain sikap negatif perlu dipinggirkan daripada diri kita,” kata Dr. Abdullah Sudin, memberi nasihat kepada semua perwakilan dan pemerhati dalam mesyuarat tersebut.

Kita perlu berubah dan menghayati perubahan ini dalam kehidupan kita. Tanpa perubahan yang bermula dari dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita, maka kejayaan ummah terdahulu akan hanya tercatat di dalam buku-buku, menjadi hiasan di perpustakaan.

Dr. Abdullah Sudin menyeru semua ahli HALUAN memperkemaskan keluarga masing-masing agar terbentuk peribadi-peribadi yang akan meneruskan legasi perjuangan. 

Tarbiah tidak boleh diabaikan, ia menjadi teras utama pembentukan peribadi. Kita juga perlu melalui dinamika kerja dakwah untuk tingkatkan keahlian dengan sifat-sifat seorang yang beramal, berfikir, sungguh-sungguh berjuang, serta produktif,” ujar beliau.

Mengakhiri ucapan, beliau berkata  mas’uliyah kepimpinan terbentang luas di depan mata untuk disambut oleh generasi muda dan tua. “Peluang tidak datang berkali-kali. Semoga pengakhiran kehidupan kita adalah pengakhiran yang baik, di mana kita redha kepada Allah dan Allah redha pula kepada kita.

—-

Laporan Unit Media HALUAN Malaysia