fbpx

Jangan Tak Acuh Dengan Media Baharu

Jangan Tak Acuh Dengan Media Baharu

Jangan Tak Acuh Dengan Media Baharu

PUTRAJAYA, 2 Okt 2017 – Simposium Dakwah 2017 – Dakwah Di Era Media Baharu anjuran HALUAN dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya di auditoriumnya pada 1 Oktober lepas membuka minda lebih 300 orang peserta agar tidak bersifat leka dengan penularan media baharu.

Hadirin terpaku dengan perkongsian penceramah pertama, Prof Madya Dr Zulaiha Ali Othman, Pensyarah Kejuruteraan Perisian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pendedahan fakta berserta video beliau amat menakutkan terutama kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak kecil sehingga ke peringkat IPT. Beliau telah berkongsi tajuk perbincangan ‘Impak Media Baharu & Peranan Kita’. Para peserta benar-benar terkesan dengan pendedahan isu oleh beliau. Persembahan berstrukturnya telah berjaya membuka minda hadirin dan memperjelaskan peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat amnya. Katakunci utama beliau adalah ibubapa wajib memantau aktiviti internet dan mobile anak-anak mereka.

Seterusnya simposium telah menampilkan ucaptama daripada Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. Beliau telah menyentuh tajuk “Fiqh Tabayyun Pada Era Digital”. Datuk Mufti menyentuh pelbagai dimensi perbincangan dengan contoh-contoh yang mudah difahami menjadikan perkongsian beliau sangat menarik dan relevan. Menyentuh akhlak penyampai maklumat dan penerima maklumat yang dipersembahkan daripada kaca mata sarjana Islam telah menjadikan ilmu asas komunikasi konvensional sangat bermakna.

Sesi petang telah berlangsung forum yang menampilkan Ustaz Mohamad Razif Mohamad Fuad, Pegawai Unit Konsultasi Akidah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Ustaz Mohamad Zamri Mohamed Shapik, Pengarah Jabatan Pengurusan Media Rangkaian, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC). Forum berkenaan menjadi lebih bermakna dengan moderator berpengalaman luas di bidang media daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Encik Amran Baharum, seorang pensyarah dan pengamal media berpengalaman. Forum berlangsung dengan rancak yang menyaksikan keterbatasan masa sedikit sebanyak menjadi cabaran.

“Kita hari ini menhadapi lambakan info yang terlalu banyak. Maka berpeganglah kepada dalil Quran dan pastikan kesahihan berita tersebut sebelum disebarkan,” tegas Ustaz Mohamad Razif.

“Masyarakat kita sangat ghairah untuk menyebarkan maklumat, tetapi tidak tahu dan tidak semak serta kaji semula maklumat yang diterima,” ujar Ustaz Mohamad Zamri.

Simposium menarik yang kali pertama dilaksanakan oleh HALUAN ini telah dirasmikan oleh Datuk Abdul Manaf Mat, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya.

Pengarah Simposium, Encik Khairul Azman Ahmad Abkari yang juga Ketua Biro Penerangan HALUAN Malaysia berpuashati usaha sulung Biro beliau itu sangat disambut baik oleh masyarakat yang inginkan ketenteraman jiwa dalam mengguna teknologi media di alaf baru ini. Beliau turut berkongsi kerisauan yang melanda institusi masyarakat berhubung kebejatan yang lahir daripada Media Baharu.


Laporan oleh mediaHALUAN