fbpx

Islam, Kepimpinan & Cabaran

Islam, Kepimpinan & Cabaran

Islam, Kepimpinan & Cabaran

Ucapan Dasar
Mesyuarat Tahunan Perwakilan Ke 30
Pertubuhan Himpunan Lepasan Pendidikan Malaysia (HALUAN)
3 Rabiul Akhir 1441h / 30 November 2019
Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor

Islam, Kepimpinan Dan Cabaran

Video penuh Ucapan Dasar Presiden

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ اْلعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ فَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ اَشْرَفِ اْلاَنْبِياَءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ سَيِّدِ الْمُؤْمِنِيْنَ سَيِّدِنَا وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana telah memberikan kita kesempatan untuk bertemu, berukhuwwah dalam program yang telah kita rancangkan bersama. Semoga pertemuan kali ini terus mengukuhkan tali persaudaraan kita dalam rangka ubudiyah kita kepada Allah SWT.

1.2 Marilah kita memperbetulkan niat dan mengikhlaskan hati dalam apa juga perkara yang kita lakukan. Setiap amal bermula dengan niat dan menjadi sia-sia amal tanpa niat yang betul.
Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ أَبِي حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: “إنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إلَى مَا هَاجَرَ إلَيْهِ”

Daripada Amirul Mu’minin Abu Hafs, Umar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu, katanya: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda”, “ Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat (pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang dia ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”

(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

1.3 Kita merasa bertuah kerana Allah swt telah memberikan nikmat Islam dan nikmat iman. Kedua-dua nikmat ini adalah sangat berharga dan tidak boleh dijualbeli. Hadis Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ قَسَمَ بَيْنَكُمْ أَخْلاقَكُمْ كَمَا قَسَمَ بَيْنَكُمْ أَرْزَاقَكُمْ وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُعْطِي الدُّنْيَا مَنْ يُحِبُّ وَمَنْ لا يُحِبُّ وَلا يُعْطِي الدِّينَ إِلا لِمَنْ أَحَبَّ فَمَنْ أَعْطَاهُ اللَّهُ الدِّينَ فَقَدْ أَحَبَّهُ

Bermaksud: “Sesungguhnya Alllah telah memberikan akhlak kamu sebagaimana Dia juga yang memberi rezeki kamu. Sesungguhnya Allah memberikan dunia ini baik kepada orang yang Dia cintai maupun yang tidak dicintaiNya. Namun Allah tidak akan menganugerahkan deen ini kecuali kepada orang yang Dia cintai. Maka barangsiapa diberikan Allah nikmat deen bererti Allah mencintainya.”

(Riwayat Ahmad)

1.4 Adalah suatu kurniaan yang sangat besar bila Allah SWT memilih kita untuk berada dalam projek besar ini, projek membangkit dan mengembalikan kejayaan yang hilang serta memimpin manusia menuju Allah SWT. Terdapat ribuan orang seperti kita, ramai yang jauh lebih mampu, lebih berwawasan dan lebih cerdas, tetapi allah memilih kita untuk projeknya. (Majdi Al Hilali – Renungan Kader Dakwah).

Firman Allah SWT :

Bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu).”

(Surah ad Dhukaan (44): 32)

1.5 Mungkin kita merasa diri kita kerdil berbanding dengan orang lain. Ketahuilah hakikatnya kita dan juga orang-orang yang sama-sama bekerja seperti kita adalah harapan umat untuk mengembalikan semula Islam sebagaimana seharusnya. Kita ditunggu-tunggu oleh mereka yang berada dalam kerendahan dan kehinaan. Kita menjadi penantian orang-orang yang tertindas dan tersiksa untuk membebaskan mereka dari belenggu ini. Kita adalah harapan anak-anak yatim, miskin dan sesiapa sahaja yang mengharapkan pertolongan.

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

2.0 HALUAN TIGA PULUH TAHUN

2.1 Pada tahun ini genap 30 tahun HALUAN didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Angka 30 melambangkan usia yang matang dan bertenaga untuk melaksanakan kerja-kerja dalam rangka membina masyarakat yang harmoni.

2.2 Pada tahun ini kita memilih tema “Islam, Kepimpinan dan Cabaran sesuai dengan perkembangan dan tuntutan semasa yang mengimpikan kehidupan yang sejahtera dan penuh keharmonian. Tema ini juga merupakan kesinambungan dari tema-tema Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN yang lalu, antaranya, “Bersinergi Menerajui Pembangunan Ummah” (MTP ke 27), “Memperkukuh Organisasi, Membangun Khairu Ummah (MTP ke 28) dan “Pembangunan Insan Tonggak Khairu Ummah (MTP ke 29).

2.3 Jika kita amati Visi kita, HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat. Manakala Misi kita pula adalah Pendidikan Melahirkan Pemimpin, Dakwah merubah masyarakat. Maka dapat difahami bahawa tugas utama kita adalah tugas dakwah dan tarbiah. Apa juga aktiviti organisasi mestilah kearah mencapai matlamat dakwah dan tarbiah.

2.4 Penglibatan kita dalam HALUAN adalah rangka mengembalikan semula kedudukan Islam di tempat yang sepatutnya setelah mengalami dagang kali kedua ini.
Hadis Rasulullah SAW:

بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Bermaksud: “Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka yang Bersama Islam di waktu ia dagang.”

(Hadis Riwayat Muslim)

2.5 Setelah tiga dekad penubuhan, perlulah kita menoleh ke belakang untuk melihat sejauh mana pencapaian kita. Apakah pencapaian yang diharapkan mencapai sasarannya ataupun kita masih lagi merangkak. Sudahkah kita membuat muhasabah meneliti kekuatan dan kelemahan kita untuk ditambahbaikkan.

2.6 Tidak juga boleh dilupakan adalah diri kita sendiri. Sejauh mana sumbangan dan penglibatan telah kita beri kepada organisasi ini. Apakah sumbangan kita mencapai tahap maksima ataupun masih ada lagi yang disimpan.

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

3.0 ISLAM

3.1 Gambaran umat Islam semasa tidak ubah seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya;

عن ثوبان رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يوشك الأمم أن تداعى عليكم، كما تداعى الأكلة إلى قصعتها. فقال قائل: ومِن قلَّةٍ نحن يومئذ؟ قال: بل أنتم يومئذٍ كثير، ولكنكم غثاء كغثاء السَّيل، ولينزعنَّ الله مِن صدور عدوِّكم المهابة منكم، وليقذفنَّ الله في قلوبكم الوَهَن. فقال قائل: يا رسول الله، وما الوَهْن؟ قال: حبُّ الدُّنيا، وكراهية الموت

Bermaksud: Diriwayatkan oleh Thuban r.a, telah bersabda Rasulullah SAW: “Hampir tiba masanya bangsa-bangsa saling mengajak untuk (mengalahkan) kalian sebagaimana sekumpulan orang saling mengajak (untuk memakan makanan) di talamnya.”, “Apakah karena kita sedikit pada waktu?” Seseorang bertanya, “Bahkan kalian banyak, tapi kalian buih seperti buih banjir. Dan Allah mencabut rasa gentar dari hati musuh kalian. Dan Allah menanamkan al-Wahn di hati kalian.”, “Apa itu al-Wahn wahai Rasulullah?” Tanya seseorang, “Senang dunia dan takut mati.”

3.2 Kita memahami bahawa Islam adalah deen yang lengkap dan sempurna. Ia adalah deen ummah, masyarakat dan negara. Tidak ada dalam Islam amal-amal berbentuk peribadi atau individu semata-mata tanpa memperdulikan orang lain. Namun hari ini, kita dapati sebaliknya. Umat Islam jauh ketinggalan dalam serba serbi aspek kehidupan. Umat Islam yang sepatutnya berada di atas kini berada jauh di bawah.

3.3 Kini Islam bertembung dengan nilai barat dan timur yang bercirikan jahiliyyah. Keangku-han fahaman mulhid (athiest) pula telah berdiri di pihak penentang syari’at Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.

3.4 Umat Islam kini bukan sekadar berlakunya keruntuhan akhlak, kelalaian melaksanakan ibadah khusus, meringan-ringankan pelaksanaan agama atau meniru-niru nilai-nilai asing tetapi yang lebih besar adalah yang berkaitan dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Umat Islam tidak berusaha untuk memahami cara musuh mengambil peluang dan menjalankan usaha memesongkan pemikiran mereka. Umat Islam tidak menyelidiki dan meneliti falsafah barat, falsafah timur dan cara hidup mereka secara kritikal.

3.5 Jiwa dan pemikiran umat Islam menjadi mangsa buruan pihak musuh. Musuh telah memainkan peranan penting meruntuhkan nilai-nilai Islam dan mengetengahkan nilai-nilai batil dengan berbagai-bagai cara. Umat Islam hanya menjadi penonton menyaksikan keruntuhan itu. Umat Islam tidak mempedulikan segala fitnah yang dijalankan oleh musuh.

3.6 Masa umat Islam telah terbuang selama beberapa dekad bahkan abad membicarakan perkara remeh temeh. Persoalan aqidah yang terancam dilupakan hingga lahir satu generasi yang mempunyai keimanan dan keyakinan yang begitu tipis terhadap Islam sebenar. Sebahagian besar masa dan tenaga umat telah ditumpukan kepada hal ehwal politik kepartaian, hiburan dan yang berkaitan dengannya semata-mata.

3.7 Hal ini terjadi kerana meluasnya anggapan bahawa keimanan umat telah kukuh dan teguh, kerana ramai yang menyangka bahawa sudah cukup Islam dengan pengucapan syahadah dan melaksanakan tuntutan-tuntutan tertentu seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Juga luasnya anggapan bahawa kepimpinan dan pemerintahan sudah berada di tangan orang Islam yang dikatakan bertanggungjawab untuk membangunkan ummah.

3.8 Hakikatnya umat yang dikatakan teguh dengan keimanan itu sedang mengalami keruntuhan moral dan rohani yang tenat. Iman mereka dirosakkan, Syariah Allah SWT hanya tersimpan dalam perpustakaan semata-mata, amal-amal Islam dilaksanakan dalam bentuk yang terpisah-pisah. Bahkan ada juga dikalangan umat ini secara langsung atau tidak langsung menjadi penentang kepada aqidah dan ajaran Islam sendiri. Keadaan ini berlaku setelah melalui satu proses yang panjang, melalui banyak ranjau pendidikan, pentadbiran, perundangan dan lain-lain.

3.9 Islam hari ini memerlukan pejuang-pejuang dan pekerja-pekerja. Pejuang-pejuang yang benar-benar beriman, yang sentiasa bersedia untuk berkorban dengan sepenuh tenaga, harta dan jiwa. Bersedia menggunakan segala kemampuan yang dimiliki untuk mencapai matlamat yang besar.

3.10 Satu penyusunan yang sempurna, kuat dan kukuh diperlukan. Penyusunan yang berdaya maju dan berkemampuan untuk membawa umat kepada Islam dalam erti kata yang luas. Penyusunan yang membebaskan mereka daripada belenggu rantai jahiliyah yang sekian lama telah mencengkam kehidupan.

3.11 Kini, tidak ada ibadah yang lebih utama melainkan usaha membebaskan masyarakat daripada kekeliruan dan perhambaan yang telah berakar umbi dalam jiwa. Segala ciri kekufuran dan jahiliyyah yang begitu lama ditanam dalam pemikiran dan jiwa harus dibersihkan agar yang haq dapat bertapak dengan mudah.

3.12 Umat Islam mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya (Dr Yusuf Qaradawi – al Hill al Islami Faridhah Wa Dharurah). Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da’wah Wa ad-Da’iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, peru-ndangan, ‘aqidah, ‘ibadah dan haluan hidup individu, masyarakat dan negara.

3.13 Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang merupakan cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.

3.14 Kita amat yakin bahawa dagang Islam kali kedua ini akan berakhir jua dengan pertolongan Allah SWT. Di sana masih ramai daripada umat ini yang ruh Islam mereka masih utuh, semangat cintakan Islam masih membara. Ini terbukti bahawa mereka tetap meneruskan amal-amal Islam walaupun dalam bentuk terpisah-pisah dan dalam kumpulan-kumpulan kecil.

3.15 Di Barat, banyak gereja telah ditukar menjadi masjid antaranya di New York, London, Marseilles dan Routerdam. Bilangan penduduk Eropah yang masuk Islam juga dilihat bertambah dari masa ke semasa.

3.16 Di negara kita, kesedaran terhadap kepentingan Islam menampakkan petunjuk yang positif. Kesedaran untuk beramal dengan Islam meningkat walaupun lebih berbentuk pecahan-pecahan.

3.17 Allah SWT tetap akan menjaga deen ini walau apa jua tentangan, perancangan dibuat untuk menutup cahaya Allah SWT di bumi ini.
Firman Allah SWT:-

Bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”

(Surah As Saf : 8)

3.18 Api ancaman berada disekeliling kita. Masihkah kita lena dan leka menunggu hingga ianya membakar diri kita, keluarga kita, masyarakat dan negara kita. Lebih menggerunkan lagi ia mungkin membakar hangus aqidah kita. Ingatlah akan pesan Allah SWT dalam Surah al Anfaal ayat 24:-

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

4.0 ISLAM DAN KEPIMPINAN

4.1 Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniah (Tahun 1924), umat Islam kehilangan tempat berteduh. Negara-negara umat Islam bagaikan anak ayam kehilangan ibu. Musuh-musuh Islam mengambil kesempatan memecahbelahkan umat Islam, membahagi-bahagikan negara Islam kepada beberapa buah negara kecil, meletakkan negara-negara Islam di bawah naungan pelbagai negara seperti United Kingdom, Peranchis, German dan lain-lain. Negara Islam/Umat Islam sedikit demi sedikit mula mengikuti apa yang dibawa oleh naungan baharu mereka dan semangat Islam semakin luntur dan lemah.

4.2 Al Imam al Mawardi (M 422H) menyatakan bahawa kepimpinan (al Imamah) adalah tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan mengurus kehidupan dunia. (Kitab al Ahkam al Sultaniyah Wa al Wilayat ad Dinniyah)

4.3 Ibn Khaldun pula memberi pengertian, khilafah (Kepimpinan) ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syara’ bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat. Ini kerana urusan dunia bagi Allah SWT semuanya diukur penerimaannya menurut neraca akhirat ( Kitab al Muqaddimah)

4.4 Di dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000, menyatakan secara ringkas, kepimpinan adalah keupayaan memimpin melalui teladan. Secara umumnya kepimpinan ditakrifkan sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang diarahkan secara sukarela bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi.

Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Hai Daud!Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”

(Surah Shaad ayat 26)

4.5 Kepimpinan Islam telah hilang dari masyarakat manusia. Apa yang tinggal hanyalah bahan-bahan cetak atau media-media yang memperkatakan tentang kepimpinan Islam. Ia hanya menjadi bahan senaman minda, tajuk untuk diperbahaskan dalam seminar atau forum.

4.6 Syariat Allah dipinggirkan, peraturan ciptaan manusia diangkat tinggi. Kuasa pemutus Allah SWT telah diambil oleh orang perseorangan ataupun badan-badan tertentu. Arahan-arahan Allah SWT dipandang sepi walau disegi ilmu dan kefahaman terhadap arahan ini sangat tinggi. Ada pula dikalangan orang Islam sendiri sudah berani mempertikaikannya.

4.7 Kesengsaraan ketiadaan kepimpinan Islam bukan sahaja dirasai oleh umat Islam tetapi juga umat bukan Islam bahkan oleh seluruh umat di dunia. Kepimpinan yang tidak berlandaskan kepada Syariat Allah SWT membawa kerosakan dan bencana yang besar kepada kehidupan manusia. Lantaran tidak takut kepada Kekuasaan Pencipta alam ini, orang-orang yang berkuasa membuat apa sahaja yang mereka suka dan lebih berdasarkan hawa nafsu.

Firman Allah SWT :

Bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

(Surah ar-Rum: 41)

4.8 Umat manusia hari ini ternanti-nantikan kepimpinan Islam muncul dalam kehidupan mereka.Hanya kepimpinan Islam yang boleh membawa keadilan dan kesaksamaan kepada mereka. Telah terbukti dalam sejarah bagaimana mereka hidup dengan aman bermula dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah zaman Khalifah Uthmaniah yang memerintah hampir dua pertiga dunia.

4.9 Dalam siri ucapan dasar terdahulu kita telah beberapa kali menyebut tentang pentingnya melahirkan barisan kepimpinan dan pemimpin. Ia adalah perkara besar dan perlu perhatian serius dari kita. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melahirkan kepimpinan dan pemimpin kerana pastinya produk yang lahir tidak seperti yang kita mahukan.

4.10 Rasulullah SAW dari awal-awal pembentukan, telah memberi penekanan terhadap perkara berkaitan kepimpinan dan pemimpin. Berdasarkan kepada ayat-ayat Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW antaranya:
Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (pemimpin, teman setia, pelindung) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah, kecuali karena (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)-Nya, dan hanya kepada Allah kamu kembali.”

(Surah Ali Imran [3]: 28)

Peri pentingnya pemimpin hadis Rasulullah SAW menjelaskan:-

إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِيْ سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوْا أَحَدَكُمْ

Bermaksud: “Jika ada tiga orang bepergian, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.”

(HR Abu Dawud dari Abu Hurairah).

4.11 Berdasarkan kepada kepimpinan Rasulullah SAW dapat kita gariskan beberapa aspek dalam kepimpinan yang perlu diberi perhatian. Rasulullah SAW meletakkan factor keimanan yang kukuh sebagai asas utama, kemudian dilahirkan kepimpinan-kepimpinan dalam pembangunan diri, keluarga, pendidikan, dakwah sosial politik, perundangan, keselamatan serta keusahawanan.

4.12 Dalam suasana hari ini kita tidak boleh mengharapkan atau menunggu orang lain untuk melahirkan kepimpinan dan memimpin dunia ini. Usaha-usaha berterusan mestilah dilakukan bagi melahirkan kepimpinan dan pemimpin yang beriman dan membawa manusia kepada kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al Baqarah : 30)

Firman Allah SWT :

Bermaksud: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”

(Surah as Sajdah : 24)

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

5.0 CABARAN

5.1 Terlalu banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam kini. Cabaran diperingkat global dan juga diperingkat dalam negara. Kita melihat apa yang berlaku adalah dari kelemahan umat sendiri, kelemahan Iman kepada Allah SWT sehingga segala yang dimiliki berjaya diambil orang lain melalui pelbagai cara. Beberapa aspek cabaran diutarakan disini yang dilihat sebagai aspek yang besar dan memerlukan kepada perhatian kita.

5.2 PENDIDIKAN

5.2.1 Walaupun pembangunan Pendidikan secara globalnya telah mencapai kemajuan yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita, namun masih banyak lagi negara dan bangsa di dunia masih jauh ke belakang. Kelemahan dalam pendidikan memberi kesan besar kepada kemajuan sesebuah negara dan masyarakatnya.

5.2.2 Negara-negara Islam antara negara yang tinggi kadar buta huruf. Keciciran dalam bidang Pendidikan didapati berlaku di kebanyakan negara di Afrika, sebahagian negara Arab dan juga Asia. Kemiskinan, peperangan, infrastruktur yang tidak baik adalah antara factor mengapa keadaan ini terjadi.

5.2.3 Kaum muslimin kini bukan lagi pahlawan ilmu pengetahuan walaupun perintah pertama al Quran adalah membaca (Surah al Alaq : 1 ) Rasulullah SAW juga menyarankan untuk setiap muslim dan Muslimah agar sentiasa menuntut Ilmu.

طلب العلم فريضة على كل مسلم ومسلمة

Bermaksud: “Mencari ilmu itu adalah wajib bagi setiap muslim laki-laki maupun muslim perempuan.”

(HR. Ibnu Abdil Barr)


5.2.4 Di Malaysia antara cabaran utama dalam Pendidikan adalah ledakan ilmu berbentuk global dan juga masalah sosial yang perlu ditangani. Perkembangan teknologi langit tanpa sempadan menyaksikan maklumat dari seluruh dunia berada di hujung jari sahaja. Sesiapa sahaja boleh terdedah kepada maklumat ini. Suatu yang membahayakan bahawa maklumat tanpa tapisan atau penjelasan yang wajar boleh disalahertikan atau banyak memberikan kesan negatif.

5.2.5 Pendidikan hari ini juga dilihat belum berkemampuan untuk membentuk pelajar menjadi anggota masyarakat yang baik. Banyak salahlaku berlaku bermula dari alam persekolahan lagi. Menurut Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, statistik pelanggaran disiplin dilapurkan sebanyak 1054 kes antara Januari hingga Jun 2018, kes buli pula sebanyak 295 kes pada 2017 dan masalah mental meningkat pada 2016 dimana seorang dari lima orang mengalami masalah ini berbanding dengan seorang dari sepuluh orang pada tahun sebelumnya. (Berita Harian 30 Jun 2018)

5.2.6 Sistem pendidikan yang bersifat sekular dan sindrom bergantung kepada peperiksaan semata-mata hanya melahirkan robot-robot yang belajar bagi mendapat pekerjaan yang baik serta kemewahan hidup dunia. Penumpuan yang berlebih-lebihan kepada prestasi akademik telah mengabaikan dimensi-dimensi kemanusiaan yang lain serta menyebabkan kematian intelektual. Abul A’la Al Maududi ketika berbicara dihadapan mahasiswa mensifatkan universiti hari ini sebagai rumah sembelihan yang mencetak segulung sijil kematian. Katanya:

“Wahai sekalian mahasiswa, kamu melabur sekian lama masa kamu di universiti ini bagi mendapat Pendidikan. Kamu menunggu lama dimana saat kamu menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis konvokesyen sebegini. Sukar untuk aku berterus terang kepada kamu pada saat ini. Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur. Dalam menilai tempat kamu dididik ini malah semua tempat pendidikan yang dinamakan universiti, ia tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Sekeping ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian. Ia diberikan apabila si pembunuh berpuas hati kerana berjaya menyempurnakan penyembelihannya. Alangkah bertuahnya mereka yang berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan. Aku tidak hadir ke sini bagi mengucapkan tahniah kepada kamu kerana menerima sijil kematian itu, malah sebaliknya. Aku merasa sedih melihat kamu dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

(Petikan dari Buku Kuasa Kepemimpinan Al Fateh Edisi 2017 – Muhammad Syaari Abdul Rahman)

5.2.7 Sudah sampai masanya untuk kita sepenuhnya kembali kepada sistem pendidikan Madrasah Rasulullah SAW. Kembali dengan penuh keyakinan bahawa madrasah ini sahajalah yang mampu untuk membentuk dan mengubah manusia kembali kepada fitrah asalnya. Usahlah kita bermimpi untuk mendapat hasil seperti yang pernah diraih oleh generasi terdahulu jika kita terus menggunapakai acuan yang berbeza dari yang dilalui oleh mereka.

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

5.3 SOSIAL

5.3.1 Akibat daripada meninggalkan arahan-arahan wahyu, masyarakat manusia kini mengalami pelbagai masalah berkaitan dengan sosial. Tidak kira masyarakat berkenaan masyarakat muslim atau bukan muslim. Virus masalah social ini berkembang biak dengan pantas sekali, belum sempat disembuhkan penyakit terdahulu datang lagi penyakit yang lain.

5.3.2 Di luar negara kita mendapati bahawa kaum muslimin pelbagai cabaran yang mengganggu gugat kehidupan dan keimanan mereka. Islamphobia iaitu suasana ketakutan, kebencian atau prajudis terhadap agama Islam dan pengikutnya menjadi perkara besar di beberapa buah negara terutamanya negara-negara bukan Islam. Propaganda dan tindakan anti Islam tersebar di seluruh dunia oleh beberapa buah organisasi yang didokong oleh pihak-pihak tertentu. Serangan ke atas masjid di New Zealand dan larangan pemakaian purdah di beberapa buah negara menguatkan kenyataan bahawa Islam terus dibenci atau dicemburui.

5.3.3 Berlaku juga krisis sesama negara atau umat Islam, masing-masing berkeras dengan pendirian masing-masing. Banyak perkara yang susah mendapat kata sepakat. Mungkin juga disebabkan oleh tekanan-tekanan luar atau sebagainya. Banyak isu yang dibincangkan hanya berakhir tersimpan dalam fail sahaja.

5.3.4 Secara umumnya kita mendapati baik di luar negara maupun di dalam negara, banyak perkara yang nampak seperti seragam. Umat Islam kini sepertinya sudah hilang jatidiri. Mereka miskin dalam pegangan agama, miskin disudut akhlak dan juga miskin dalam pemilikan kebendaan. Virus cintakan dunia secara berlebihan dan takut mati telah merebak dan mempengaruhi umat dengan meluas seolah-olah sudah tidak ada titik hentinya.

5.3.5 Umat yang dijuluki sebagai ‘Khairu Ummah’ seolah-olah seperti alat mainan ditangan musuh-musuh Islam. Bagaikan bola yang boleh ditolak ke sana dan ke mari. Keberadaan mereka masih belum berhasil menjadikan diri mereka sebagai gambaran al Quran yang berjalan. Kagum dengan kemajuan dan pencapaian sains dan teknologi bangsa lain, umat kini seolah-olah lupa bahawa mereka adalah unggul di hadapan Allah SWT. Lebih teruk lagi ada yang menyembunyikan keimanan mereka seakan-akan malu diketahui sebagai umat yang beraqidah. Bukanlah musuh yang terlalu kuat, tetapi kaum muslimin yang sudah kehilangan ruh jihad.

5.3.6 Serangan pemikiran terus melanda. Berselindung disebalik badan-badan kebajikan ataupun misi kemanusiaan, pelbagai ideologi dan pemikiran diekspot kepada umat Islam. Media massa yang ada digunakan semaksimanya untuk memberikan kesan yang besar. Budaya hedonisma yang mementingkan keseronokan dengan mudah menjadi ikutan umat Islam terutamanya generasi muda. Keseronokan yang dipelbagaikan menjadikan umat lalai dari tanggungjawab sebenar mereka. Begitu juga telah menular dengan hebatnya kefahaman liberalisma, LGBT dan lain-lain.

5.3.7 Masalah perpaduan nasional juga dilihat masih belum menjadi realiti sepenuhnya. Walaupun sekian lama banyak program berkaitan dilaksanakan namun masih belum membuahkan hasil.

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

5.4 EKONOMI

5.4.1 Dunia hari ini mengukur kekuatan, kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara dengan melihat kepada faktor ekonomi negara berkenaan. Negara dikatakan maju bilamana taraf ekonominya tinggi dimana kuasa belinya juga tinggi. Telah berlaku penjajahan secara senyap oleh negara yang kuat ekonominya ke atas negara-negara miskin, penjajahan yang melibatkan bukan sahaja sector ekonomi, malah politik, social dan lain-lain.

5.4.2 Negara-negara Islam digolongkan dalam kumpulan negara membangun dengan mempunyai masalah yang tersendiri seperti kemiskinan, buta huruf yang tinggi, pengangguran dan taraf hidup yang rendah.

5.4.3 Dunia Islam masih bergantung harap kepada kuasa-kuasa besar dalam bidang ekonomi. Walaupun mempunyai hasil bumi yang banyak, kebanyakan negara Islam masih bergantung kepada bantuan berbentuk teknologi, kepakaran dan lain-lain daripada barat. Negara-negara Islam yang miskin pula terus terbelenggu dengan hutang melalui pinjaman-pinjaman, bantuan kemanusiaan dan kewangan yang dibuat dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia.

5.4.4 Dalam dunia hari ini, mana-mana negara yang kuat di segi ekonominya, maka merekalah yang mampu mempengaruhi atau menguasai negara lain. Kini terjadi pula perlumbaan kuasa ekonomi dunia, kalau dahulu mungkin antara negara-negara di Eropah dengan Amerika atau Rusia, kini negara China pula memasuki gelanggang. Negara-negara bukan kuasa ekonomi menjadi mangsa bilamana berlaku kejatuhan nilai wang, kenaikan harga barang dan sebagainya.

5.4.5 Kadar kemiskinan di Malaysia menurut Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston adalah 15% (New Straits Times – 23 Ogos 2019). Kadar ini adalah satu angka yang besar dan menggambarkan taraf hidup masyarakat kini.

5.4.6 Kadar penggangguran dikalangan siswazah peringkat ijazah pertama dan ke atas pula direkodkan sebanyak hamper 60% berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018. Kebanyakannya masih mengganggur selepas setahun tamat pengajian mereka.

5.4.7 Harga komoditi utama negara seperti minyak sawit mentah dan getah pula berada dalam keadaan yang tidak menentu. Kedua-duanya merupakan antara sumber pendapatan utama bagi penduduk di luar bandar dan ini tentunya memberi tekanan kepada kehidupan mereka.

5.4.8 Kemunculan Reformasi Industri 4.0 yang melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sector. Keperluan untuk berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing. Teknologi supercomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pemandu, suntingan genetic dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia lebih mengoptimalkan fungsi otak.

5.4.9 Musibah kekacauan ekonomi berpunca dari peralihan manusia dari saranan Allah SWT dalam hal-hal yang berkaitan dengannya. Berlaku kezaliman dalam pengagihan kekayaan, riba, penipuan berleluasa. Nilai-nilai kemanusiaan sudah lenyap, yang ada hanyalah keuntungan (kebendaan) semata-mata. Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah ar Rum : 41)

5.5 POLITIK

5.5.1 Politik sering disalahtafsirkan/dikaitkan dengan parti politik atau politik kepartaian. Sedangkan politik kepartaian adalah sebahagian dari politik sebenarnya. Lantaran pemahaman seperti ini tumpuan terhadap politik tidak menyeluruh dan menyebabkan berlakunya penjajahan politik dan sebagainya.

5.5.2 Penjajahan ke atas negara umat Islam bukan sekadar pemecahan kepada negara-negara kecil sahaja tetapi ia telah memberi kesan terhadap iklim politik setempat. Negara-negara umat Islam terus terkongkong dengan bekas penjajahnya walaupun dikatakan telah merdeka.

5.5.3 Sistem hidup masyarakat baik berupa politik, ekonomi, social dan sebagainya masih dalam acuan yang lama tinggalan penjajah dan seakan-akan tidak dapat keluar lagi dari lingkungan berkenaan.

5.5.4 Di peringkat global, Islam masih dilihat dengan pandangan negative dan sering dikaitkan dengan keganasan dan ancaman kepada keselamatan. Orang-orang Islam sudah tidak sebebas dahulu untuk ke sana dan ke mari kerana selalu dilihat sebagai mencurigakan.

5.5.5 Dunia umumnya membisu atau tidak bersungguh-sungguh bila berhadapan dengan pencabulan dan penafian hak yang berlaku di negara-negara umat Islam. Konflik terus berlaku di Palestin, Kashmir, Afghanistan, Iraq, Syria dan lain-lain lantaran negara-negara dunia tidak memberikan perhatian yang berat terhadap masalah ini.

5.5.6 Dikalangan negara umat Islam pula berlaku krisis sesama sendiri. Hubungan dingin dapat dilihat berlaku antara negara-negara umat Islam akibat dari sesuatu isu yang timbul. Walaupun terdapat badan ikatan antara negara umat Islam, seringkali negara-negara Islam tetap dengan pendirian sendiri.

5.5.7 Begitupun tidak dapat dinafikan bahawa di sana sini kedapatan kebangkitan Islam. Tanda-tanda kebangkitan Islam mula kelihatan di negara-negara Timur Tengah, Asia Tenggara, Afrika dan juga di negara-negara Eropah. Suasana ini tidak dapat tidak akan mencorakkan geografi dunia di masa hadapan.

5.5.8 Di Malaysia, kita lihat politik lebih condong kepada Politik Kepartaian. Parti itulah politik dan politik itu adalah parti. Jumlah parti-parti politik baharu semakin bertambah bilangannya dan ini mewujudkan perpecahan dari kalangan ahli parti serta mengurangkan kekuatan parti-parti berkenaan. Suasana ini juga telah menimbulkan bibit-bibit yang kurang enak disegi perpaduan antara kaum yang terdapat di negara ini.

5.5.9 Kita melihat keadaan ini sebagai keadaan yang kurang sihat dan merugikan umat samada Islam ataupun bukan Islam. Perbalahan politik menjadikan banyak masa terbuang dan melalaikan umat untuk melaksanakan perkara-perkara lain yang lebih penting.

5.5.10 Hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia nampak seperti dicabar. Kaum-kaum lain menuntut kesamarataan hak mereka dalam pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Dalam hal ini rakyat perlu memahami dengan jelas hasrat yang tersurat dan tersirat dalam perlembagaan untuk tidak timbul pelbagai kekeliruan.

5.5.11 Walaupun tidak mendokong mana-mana parti politik, kita perlu berpolitik kerana politik adalah sebahagian dari kehidupan kini. Perlu difahami politik dalam ruanglingkup yang luas dan tidak mudah untuk terpedaya dengan fahaman-fahaman serta helah dalam permainan politik, terutama politik kepartaian.

5.6 PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN

5.6.1 Pentadbiran dan pengurusan yang cekap adalah antara factor utama menjadikan sesebuah negara atau organisasi mampu membawa perubahan kepada masyarakat dan rakyat. Pentadbran dan pengurusan yang lemah hanya mendedahkan negara atau organisasi kepada bahaya kemunduran, ketinggalan dalam pelbagai bidang kehidupan.

5.6.2 Kini, pentadbiran dan pengurusan terpaksa berubah mengikut tekanan samada dalaman maupun luaran. Kesan globalisasi dengan perkembangan teknologi dan metodologi baharu, persaingan, keperluan piawai, permintaan pelanggan dan polisi yang dikehendaki oleh badan-badan dunia memaksa negara, organisasi merubah cara merancang, mengawal dan membuat keputusan.

5.6.3 Kebolehan bersaing semakin bergantung kepada kualiti dan produktiviti modal insan. Produk atau perkhidmatan yang kompetitif hanya mampu dicapai dengan adanya modal insan yang berkualiti. Pentadbiran dan pengurusan semasa tidak seperti dahulu yang mungkin lebih bergantung kepada kuasa pemerintah.

5.6.4 Dalam era yang dikatakan sebagai Era-K, yakni era pengetahuan, pengetahuan menjadi asas pentadbiran dan pengurusan dalam menggabungkan maklumat, fahaman dan pengalaman.

5.6.5 Negara-negara membangun terpaksa bersaing hebat dengan negara-negara yang telah maju. Kekurangan kos, kurang kemampuan disudut pengetahuan menjadi penghalang besar dalam usaha-usaha untuk bersaing ini. Banyak negara yang taraf ekonominya rendah tidak mampu lagi untuk bersaing dan ketinggalan di belakang.

5.6.6 Sama seperti negara lain, Malaysia juga terpaksa mengikut arus yang ada untuk kekal bersaing. Banyak system atau peraturan dari luar diambil , menjadikan sesetengah system yang digunapakai kerap berubah-ubah. Juga terpaksa akur dengan dasar-dasar yang ditetapkan oleh kuasa-kuasa besar atau badan-badan tertentu.

Para perwakilan dan pemerhati sekalian,

6.0 MENYAHUT CABARAN

6.1 PENDAHULUAN

6.1.1 Cabaran boleh dilihat dari perbagai persepsi.Sesetengah orang melihat sesuatu cabaran seperti gelombang besar yang boleh menenggelamkan kapal besar, manakala sesetengahnya pula melihat hanya seperti ombak yang menderu menghempas pantai.

6.1.2 Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi umat sekarang. Jika kayu ukur yang digunakan berdasarkan kepada kayu ukur semasa yang dipakai oleh kebanyakan orang, maka cabaran sekarang terlalu besar dan tidak mampu untuk dihadapi. Hanya berserah kepada Allah SWT semata-mata. Namun begitu kita seharusnya melihat cabaran yang ada dihadapan kita dengan neraca Allah SWT. Sebagaimana generasi awal yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, mampu berhadapan dengan kuasa-kuasa politik yang besar seperti Rom dan Farsi walaupun disegi bilangan adalah amat kecil, dalam sesetengah peperangan nisbah tentera Islam berbanding musuh adalah antara 1:3 (Perang Badar & Perang Khandak) dan 1:4 (Perang Qadisiyah). Penentuan kemenangan atau kejayaan terletak di tangan Allah SWT.

Firman Allah SWT :

Bermaksud: “Mereka berkata:” “Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari padanya”. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.”

(Surah al Munafiquun : 8)

Jika Allah SWT menghendaki sesuatu maka amat mudah untuk diberikan kepada makhluknya. Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah).

(Surah an Nasr : 1)

6.1.3 Bukan masanya lagi untuk kita menyebut seribu satu alasan, masa sekarang adalah masa melaksanakan tanggungjawab ini semaksima mungkin. Tugas kita dalam menghadapi cabaran adalah menyediakan sebab-sebab untuk mendapat pertolongan Allah SWT. Bukannya Sunnah Allah SWT, sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan hanya berdiam diri atau membuat hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Kejayaan akan diperolehi dengan pembinaan diri dan juga kemajuan masyarakat dan pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

(Surah Muhammad : 7)

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata:” “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;”

(Surah al Hajj : 40)

6.1.4 Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini beberapa pendekatan perlu dilakukan. Pendekatan yang dimaksudkan adalah melalui pembangunan iman dan akhlak, pembangunan ahli, pembangunan organisasi dan juga pembinaan dan pengukuhan jaringan.

6.2 PEMBANGUNAN IMAN DAN AKHLAK

6.2.1 Pembangunan iman dan akhlak berada ditangga teratas dalam apa juga tindak tanduk kita. Ia adalah perkara yang mesti dilaksanakan dengan serius dan sistematik. Iman dan akhlak yang ditegakkan dalam kehidupan adalah iman dan akhlak yang hakiki, bukan sekadar kegiatan spiritual, acara-acara keagamaan atau peringatan hari-hari besar Islam semata-mata.

6.2.2 Iman dan akhlak yang kita maksudkan adalah yang menjadi landasan atau cetusan, motivasi dan titik tolak dalam membangunkan sistem kehidupan. Iman yang melahirkan manusia yang berguna walaupun kecil potensi yang dimilikinya. Iman yang melahirkan kekuatan dalam segala aspek kehidupan seperti kebendaan, spiritual, idealisma, realistik dan sebagainya. Iman yang menumbuhkan keprihatinan, dedikasi, wawasan yang jauh, disiplin, amanah, jujur dan keadilan. Iman yang membentuk manusia menjadi produktif, dinamis, inovatif dan kreatif. Iman yang menjadikan seseorang itu tenang, bahagia, berlapang dada dan merasai bahawa kehidupan di dunia ini adalah sebagai medan ujian dan penuh dengan cabaran.
Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”

(Surah al Mulk: 2)

Iman dan akhlak yang bukan angan-angan, yang mudah dicapai. Tetapi ianya memerlukan kepada pengorbanan, perjuangan dan kerja keras.
Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

(Surah At Taubah : 111)

Berkata Al Hasan Rohimallah :

ليس الإيمان بالتمني ولا بالتحلي ولكنه بما وقر في الصدور وصدقته الأعمال

Bermaksud: “Iman bukanlah angan-angan semata, bukan pula sekadar baik penampilan, Namun, Iman adalah apa yang tertanam dalam dada dan dibenarkan oleh amal.”

6.2.3 Fenomena lemah iman perlu ditangani dengan segera. Jika dibiarkan ia akan merebak dan menjadi wabak yang boleh menghancurkan umat ini. Kita memandang serius keadaan masyarakat Islam hari ini yang berterusan melakukan dosa, hati yang keras, tidak tekun dan khyusuk dalam ibadah, malas melakukan amal taat, meremehkan ibadah, hati yang tidak tersentuh dengan ayat-ayat Allah, lalai mengingati Allah dan tidak merasakan kewajipan untuk beramal demi kepentingan Islam.

6.3 PEMBANGUNAN AHLI (PEKERJA ISLAM)

6.3.1 Pembangunan ahli adalah proses mempersiapkan individu dengan persiapan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliputi ruhani, jasmani dan akal fikiran. Demikian juga dengan kehidupan duniawinya dengan segenap aspek hubungan dan kemaslahatan yang mengikat mereka dengan kehidupan akhirat dengan segala amalan yang membuat Allah redha atau murka. Sehingga lahir manusia yang menampakkan perbezaan antara Islam dan bukan Islam.

6.3.2 Berdiri teguhnya sebuah bangunan adalah dari kukuhnya komponen-komponen binaan bangunan berkenaan. Bermula dari cerucuknya hinggalah kepada bumbung, kesepaduan bahan-bahan ini menjadikan ia objek yang tahan dengan panas dan hujan dan mampu bertahan hingga ratusan tahun lamanya. Begitulah juga Deen Islam, untuk tegak gagah di bumi ini memerlukan kepada penganut-penganut yang kuat disegi keimanan mereka, keterampilan, kemahiran dan apa sahaja yang diperlukan dalam kehidupan ini.

6.3.3 Tunjang kepada pembangunan ahli mestilah berasaskan kepada keimanan yang teguh kepada Allah SWT dan rukun-rukun Iman yang lain. Ia adalah perkara yang paling utama dari segala keutamaan. Sebuah negara maupun organisasi walaupun tampak hebat pada pandangan, namun jika ahli-ahli di dalamnya tidak dipenuhi dengan keimanan kepada Allah SWT, ia sebenarnya adalah rapuh dan boleh rosak pada bila-bila masa.

6.3.4 Pembangunan ahli atau pekerja Islam bersifat bersepadu dan menyeluruh meliputi pembangunan jasmani dan rohani, dunia dan akhirat. Pembangunannya juga bukan sahaja menekankan aspek pembangunan insan daripada sudut latihan kemahiran, kepakaran, profesional, dan penguasaan maklumat seperti yang ditekankan dalam konsep pembangunan insan di negara–negara barat, tetapi melangkaui hal ini dengan menekankan pembentukan insan mulia, iaitu insan yang berilmu dan sejahtera jiwa, yang menjadikan al–Quran dan al–Sunnah sebagai petunjuk kehidupan, intim hubungannya dengan Allah SWT dan baik hubungannya sesama manusia.

6.3.5 Ahli atau pekerja Islam yang kita ingin lahirkan adalah ahli yang Soleh dan Musleh, iaitu ahli yang bukan baik pada dirinya tetapi juga membawa kebaikan dan perubahan kepada orang lain. Pekerja-pekerja Islam sentiasa memperingatkan diri mereka tentang dari mana mereka datang, untuk apa mereka didatangkan ke dunia ini dan kemanakah mereka akan kembali. Memahami asal usul mereka, merasai tanggungjawab yang dipikulkan di bahu-bahu mereka dan meyakini bahawa mereka akan kembali ke tempat asal mereka (akhirat) bila masanya telah sampai.

6.3.6 Sayyid Abul Ala Al Maududi menggariskan syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh pekerja-pekerja Islam ada empat iaitu, kefahaman Islam yang sebenar, keimanan yang teguh, peribadi yang unggul dan menjadikan Islam sebagai matlamat hidup mereka. (Buku Prasyarat Kejayaan Harakah Islamiyyah). Dengan kata lain, pembangunan ahli (pekerja Islam) mestilah kearah atau memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan, program-program tarbiyah yang dirangka perlu menjurus kepada pencapaian ahli-ahli hingga mampu memiliki sifat-sifat berkenaan.

6.3.7 Telah terbukti dalam sejarah bilamana sesebuah negara atau organisasi mengalami kemerosotan keyakinan dan kerosakan akhlak, maka negara atau organisasi berkenaan akan jatuh merudum dan sukar untuk bangkit kembali.

6.3.8 Sebagai khalifah di muka bumi ini, ahli-ahli atau pekerja Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan keperluan kehidupan di dunia tanpa mengasingkannya dengan matlamat akhirat.

6.3.9 Saya menyeru kepada semua ahli-ahli HALUAN agar mengambil cakna tentang hal ini. Kita perlu berusaha baik secara individu maupun organisasi untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah SWT, mengambil berat dengan program-program tarbiyah, berusaha sedaya upaya meningkatkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Renungilah apa yang diucapkan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib:

من كان يومه خيرا من أمسه فهو رابح. ومن كان يومه مثل أمسه فهو مغبون. ومن كان يومه شرا من أمسه فهو ملعون

Bermaksud “Barangsiapa yang harinya sekarang lebih baik daripada kemarin maka dia termasuk orang yang beruntung. Barangsiapa yang harinya sama dengan kemarin maka dia adalah orang yang merugi. Barangsiapa yang harinya sekarang lebih jelek daripada harinya kemarin maka dia terlaknat.”

6.4 PEMBANGUNAN ORGANISASI

6.4.1 Pembangunan organisasi bertujuan untuk menghasilkan kualiti ahli-ahli yang mana secara tidak langsung membawa organisasi berfungsi dengan baik dan lebih cemerlang lagi.

6.4.2 Organisasi berfungsi umpama sebuah negara walaupun ruang lingkupnya lebih kecil. Sebahagian besar keperluan yang ada dalam sesebuah negara perlu dimiliki oleh sesebuah organisasi.

6.4.3 Dalam konteks kita sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah penting untuk memperkasakan organisasi ini bagi membolehkan ia melangkah lebih jauh. Perhatian perlu diberikan kepada yang berkaitan dengan pengurusan organisasi seperti system dalam organisasi, perancangan strategi, pengurusan sumber manusia, pengurusan masalah, Pendidikan, pengurusan kewangan dan lain-lain lagi.
Berkata Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a :

الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام

Bermaksud: “Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.”

6.4.4 Sayyid Abul A’la Al Maududi menambah lagi empat perkara yang menjadikan sesebuah organisasi kukuh iaitu ukhuwwah, syura, disiplin dan teguran membina.

6.4.5 Kita perlu keluar dari kerja-kerja yang berbentuk organik kepada kerja berorganisasi dalam ertikata yang sebenarnya. Kerja-kerja yang bukan sahaja berpegang kepada empat perkara yang disebutkan Sayyid Abul A’la Al Maududi di atas, bahkan juga meliputi perkara-perkara lain seperti aspek pengurusan, kewangan dan lain-lain.

6.4.6 Paling utama perlu sentiasa diperingatkan, bahawa penggabungan kita dalam organisasi adalah penggabungan dalam rangka melaksanakan tuntutan Allah SWT.
Firman Allah SWT:-

Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Surah ali Imran : 104 )

6.5 PEMBINAAN DAN PENGUKUHAN JARINGAN

6.5.5 Kerja-kerja dakwah dan tarbiyah adalah kerja-kerja yang berhubungkait dengan hubungn sesama manusia. Tidak berlaku dakwah sebenarnya jika hanya berlegar-legar dalam kelompok-kelompok kecil atau tertentu sahaja. Misi kita, HALUAN perubah dan pemimpin masyarakat tidak mungkin dapat direalisasikan jika hanya seronok dengan kegiatan sesama sendiri.

6.5.6 Di awal dakwah lagi, Rasulullah SAW telah menjalinkan hubungan dengan Raja Najasyi di Habsyah dengan penghantaran sebilangan sahabat berhijrah ke sana. Manakala seawal tibanya di Madinah dalam peristiwa hijrah, jalinan dibuat dengan kaum Yahudi dan lain-lain kabilah yang telah lama menetap di Madinah dibuat melalui Piagam Madinah. Begitu juga setelah berkembangnya Islam banyak surat-surat dihantar ke negara-negara luar mengajak jalinan hubungan dan sebaran dakwah, antaranya negara Bahrain, Yaman, Oman, Mesir, Ghassam, Byzantine dan Parsi.

6.5.7 Kesempatan-kesempatan untuk membina jaringan dengan sesiapa sahaja, baik individu, organisasi atau kerajaan harus direbut agar ruang dakwah dan tarbiyah menjadi lebih luas lagi. Jangan pula kerana perbezaan dalam perkara-perkara kecil atau sangkaan-sangkaan menjadikan kita mengasingkan diri dari orang lain. Amat mudah untuk memutuskan perhubungan berbanding untuk mempertautkan kembali hubungan yang telah putus.

6.5.8 Kita mengambil sikap untuk berbaik dengan sesiapa sahaja kerana kita tidak mampu untuk melihat perpecahan dalam masyarakat dan negara, baik sesama Islam maupun bukan Islam. Kita berpegang kepada prinsip bersama dalam perkara yang disepakati, dan berlapang dada dalam perbezaan perkara-perkara kecil atau ranting.

6.5.9 Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana sehingga kini kita telah menjalin hubungan yang baik dengan pelbagai pihak, di dalam dan luar negara. Melalui jalinan ini banyak usaha-usaha kemasyarakatan dan kemanusiaan telah dapat dilaksanakan.

6.5.10 Kita amat berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan seperti JAKIM, YADIM, Majlis-majlis Agama Islam Negeri, Kementerian-kementerian yang antaranya Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan lain-lain. Disamping itu jalinan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan di dalam negara seperti ABIM, IKRAM, ISMA , MDN dan lain-lain. Melalui hubungan ini banyak program dan aktiviti telah dapat dilaksanakan seperti bantuan kepada mangsa banjir, kebajikan masyarakat, program-program remaja dan sebagainya.

6.5.11 Di dalam negara perlukan lebih usaha menambahkan lagi jaringan, tumpuan yang lebih diberikan kepada golongan-golongan tertentu seperti saudara-saudara kita yang belum Muslim, saudara baru dan golongan yang masih berada dalam paras kemiskinan yang tinggi baik yang tinggal di bandar maupun di luar bandar. Projek atau aktiviti membantu rakyat miskin perlu menjadi program bersifat nasional agar sumbangan yang diberikan menyeluruh dan meliputi setiap lapisan masyarakat. Aktiviti menyantuhi saudara-saudara Muslim (Saudara Baru) dan juga yang belum Muslim juga perlu dipergiatkan lagi. Kita percaya bahawa kemakmuran hidup rakyat dan juga perpaduan yang diikat dengan asas aqidah akan mengekalkan kehidupan yang lebih baik.

6.5.12 Di peringkat antarabangsa, jalinan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti di Kemboja, Palestin, India, Pakistan, Turki, Indonesia telah memungkin kita melaksanakan program dan projek kemanusiaan, pendidikan, Ibadah korban dan lain-lain.

6.5.13 Dalam hal ini kita masih kurang meneroka negara-negara di nusantara yang budayanya hampir sama dengan kita. Kita perlu memperbanyakkan usaha jalinan kerjasama kemasyarakatan dengan negara-negara jiran untuk membentuk hubungan yang lebih erat lagi.

6.5.14 HALUAN pada umumnya masih belum dikenali secara meluas oleh masyarakat, baik di dalam ataupun di luar negara. Usaha-usaha memperkenalkan HALUAN perlu ditingkatkan lagi.

6.6 RANCANGAN JANGKAPANJANG HALUAN

6.6.1 Rancangan Jangkapanjang (RJPJ) yang dirangka dan telahpun memasuki fasa kedua sangat relevan dengan visi dan misi serta mampu mengharungi cabaran yang ada.

6.6.2 Adalah sangat penting untuk kita semua memahami dan menghayati apa yang telah digariskan dalam sector-sektor Rijal, Massa dan Dana. Sedapat mungkin kita ingin mencapai sasaran dalam masa yang ditetapkan.

6.6.3 Kejayaan Rancangan Jangkapanjang bergantung kepada komitmen, pengorbanan dan hubungan erat dengan Allah SWT. Untuk menjayakan perancangan ini, kekuatan keimanan dalam diri perlu berjalan seiring dengan kekuatan luaran yang berupa ilmu-ilmu dan alat-alatan. Kita tidak mahu suatu kejayaan yang nampak gah di luar tetapi kosong di dalamnya.

6.7 STRUKTUR BAHARU

6.7.1 Hasil daripada kajian pertengahan penggal RJPJ telah membuahkan sedikit perubahan dalam organisasi kita. Pada 15 Oktober 2019, kita telah melancarkan struktur baharu organisasi bertujuan memperkemas dan melicinkan lagi gerakkerja yang akan dilaksanakan. Perubahan struktur baharu ini dibuat dengan mengambilkira pelbagai perkara berdasarkan kepada dapatan-dapatan prestasi terdahulu dan juga pengalaman-pengalaman yang telah dilalui. Perubahan ini melibatkan struktur di peringkat pusat dan cawangan. Kita mengharapkan agar dengan struktur baharu ini dapat memperbaiki kelemahan yang ada serta meningkatkan lagi prestasi.

6.7.2 Suatu hakikat yang harus kita yakini bahawa setiap perkara terdedah kepada perubahan, yang tidak berubah adalah perubahan itu sendiri. Kita perlulah menerima perubahan yang ada dan bersedia melakukan perubahan.

7.0 PENUTUP

7.1 Gabungan pelbagai kemahiran dalam organisasi adalah kekuatan yang menggerakkan kerja-kerja yang dirancangkan. Sumbangan tenaga dan wang ringgit sangat bermakna untuk kelangsungan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Pengorbanan generasi awal dalam perjuangan mereka amat besar sekali sehingga kita dapat merasakan hasil perjuangan mereka dengan kita diberi Allah dengan iman. Mereka menyerahkan segala yang ada hatta jika tulang belulang mereka berguna untuk menegakkan deen Allah ini, mereka merelakannya.

7.2 Selama 30 tahun ini kita telah dibekali dengan banyak bekalan dakwah dan tarbiyah dalam perlaksanaan tanggungjawab ubudiyah kepada Allah SWT. Perkongsian Ilmu dari ulama-ulama muktabar, pengalaman-pengalaman mereka yang bekerja tanpa mengenal penat atau lelah adalah anugerah Allah SWT kepada kita agar tidak terpesong dari jalan yang sepatutnya.

7.3 Sentiasalah kita semua memperbaharui iman kita. Iman yang sentiasa terdedah kepada kotoran maksiat dari dalam dan luar. Iman yang menuntut penjagaan dan pengawasan yang sangat rapi.


جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ “، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: ” أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Hadis Rasulullah SAW: “Dari Abu Hurairah r.a katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Perbaharuilah iman kamu. Para Sahabat bertanya; Wahai Rasulullah SAW bagaimana kami memperbaharui iman kami? Baginda SAW bersabda: Perbanyakkanlah mengucap kalimah La ilaha illallah.

(HR Ahmad, Tabrani dan at-Targhib)”

7.4 Lazimilah dengan amal-amal yang menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Jadikanlah al Quran sebagai teman hidup setiap dedik dalam kehidupan. Ikutilah Sunnah Rasulullah SAW dalam apa jua tindak tanduk kita. Contohilah sahabat-sahabat generasi awal dan ulama-ulama muktabar dalam memahami al Quran dan as Sunnah. Basahkanlah bibir kita dengan kalimat-kalimat zikir, tasbih dan tahmid seirama dengan berdegupnya jantung .

7.5 Apa yang kita kejar sudah semakin jauh, yang kita lari darinya semakin dekat. Inilah hakikat umur kita. Samada kita suka atau tidak suka kita tetap akan berhadapan dengannya, pergunakanlah apa yang kita miliki, masa, tenaga dan nyawa kita untuk meraih redha Allah SWT.

7.6 Akhirnya, dengan niat yang betul, amal yang tersusun rapi, kita akan sampai ke matlamat yang dituju. InsyaAllah.

تبارك الله أحسن الخالقين
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته