fbpx

Doa Untuk Australia

Doa Untuk Australia

Doa Untuk Australia

BANDAR BARU BANGI, 10 Januari 2020 – HALUAN dan seluruh rakyat Malaysia turut berdukacita dan bersimpati kepada rakyat Australia yang sedang bertarung memadamkan kebakaran besar-besaran di sana. Bencana ini telah memusnahkan sebahagian besar negara yang kaya dengan flora dan fauna serta tempat-tempat yang menarik.

Kebakaran yang memusnahkan wilayah Victoria dan New South Wales serta banyak tempat-tempat lain sejak beberapa minggu yang lepas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 nyawa dengan beberapa lagi dilaporkan hilang. Hampir 2000 buah kediaman musnah. University of Sydney melalui ahli ekologinya turut menganggarkan lebih 480 juta mamalia, burung dan reptilia telah terbunuh dan angka itu akan terus melonjak dengan maraknya api.

Usaha memadamkan kebakaran ini terus-menerus dilaksanakan oleh agensi kerajaan serta pelbagai pihak. Umat Islam walau di mana jua berada boleh melaksanakan solat sunat Istisqa’ sepertimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW meminta agar hujan mencurah turun ke bumi Australia serta memadamkan maraknya api.

Sesungguhnya ini adalah ujian daripada Allah kepada hambaNya. Semua manusia di dunia ini tidak akan terlepas daripada ujian. Kembalilah kepada Allah agar jiwa akan terdidik dan Allah tidak akan menguji hambaNya atas ujian yang tidak mampu mereka hadapi.

Allah berfirman dalam surat Al Baqarah ayat 286 :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan Kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa):

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”


Laporan mediaHALUAN