fbpx

Iman Dan Ukhuwah Pencetus Perubahan

Iman Dan Ukhuwah Pencetus Perubahan

Iman Dan Ukhuwah Pencetus Perubahan

Sebuah perubahan yang ingin dicetuskan dalam sesebuah negara, bangsa atau agama semestinya berpunca dan bersumberkan suatu asas yang kukuh, kuat dan berpengaruh. Lantaran itu, perubahan yang ingin dilaksanakan oleh seseorang individu mahupun sesebuah organisasi hanya akan berlaku apabila sumber, punca dan pancarannya bermula dengan pancaran keimanan dan ikatan ukhuwah (persaudaraan) yang utuh.

Iman adalah thabi’ah (tetap) dan malakah (darah daging), tidak terbatas kepada ilmu semata-mata, syu’ur (perasaan) dan bukan sekadar falsafah, keimanan yang hidup dan diterjemahkan menjadi akhlak kerana hati yang disinari cahaya keimananlah yang akan menyerap hidayah, seterusnya memancarkan dorongan-dorongan ketaatan hingga jiwa menjadi ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT.

Iman adalah ikatan kerohanian yang mengikat seseorang dengan Rabbnya. Ia merupakan ikatan yang kukuh, yang tak tergoyahkan oleh adanya krisis kebendaan atau penindasan manusia.

Seorang alim ulama ada menyebut:

“Iman itu bukan satu angan-angan, sebaliknya apa yang tersemat dihati dan dibuktikan dengan amalan.”

Kemanisan Iman

Kemanisan iman adalah kehidupan yang dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa dan sinarnya melimpah diwajah.

Erti sebuah keimanan

“Iman yang benar meresap ke dalam hati, bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT , menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-seolah hadir di hadapan mata…”

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Akan merasai kemanisan iman bagi siapa yang redho Allah sebagai Rabb, Islam sebagai Deen dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul.”

Graviti iman

Rasulullah SAW mendidik para sahabat generasi awwalun dengan didikan keimanan yang benar, jernih dan tulus kepada Allah SWT.

Hasilnya, lahirlah jiwa-jiwa mereka yang sentiasa tertarik dengan iman yang kuat kepada Allah SWT. Sehinggakan mereka dirasuk oleh keimanan dan melahirkan tindakan-tindakan yang luar biasa dalam sejarah ketamadunan manusia.

Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan di jalan Allah SWT, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakkal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT.

Kata seorang penyair sufi, Jalaluddin Ar-Rumi:

“Sesungguhnya kecintaan itu mampu mengubah kepahitan menjadi manis, kesakitan menjadi penyembuh, penjara sebagai taman, kepedihan merukan kenikmatan, kekerasan sebagai rahmat, sesungguhnya cinta itulah yang melembutkan besi dan memecahkan batu, dan menghidupkan orang yang telah ati lantas meniupkan untuknya kehidupan.”

Seorang sahabat Rasulullah SAW yang gagah lagi perkasa berkata:

“Ya Allah kurniakan kepadaku seorang lelaki dari musuhmu yang gagah, lantas aku bertarung dengannya, dan dia bertarung denganku,maka dia memotong hidung dan telingaku, dan apabila aku bertemu denganmu dan engkau bertanya : Apa jadi dengan hidung dan telingamu, lantas aku menjawab Untuk Mu dan Rasul-Mu.”

Iman yang merasuk jiwa

Di dalam sirah Rasulullah SAW, telah memaparkan pelbagai bentuk, cerita dan kisah para sahabat Rasulullah SAW yang sanggup melakukan apa sahaja pengorbanan semata-mata untuk mempertahankan keyakinan, kepercayaan dan keimanan mereka hanya kepada Allah SWT.

Kisah mereka bukanlah dongengan, rekaan atau penglipu lara. Tetapi, kisah paparan manusia yang benar-benar dirasuk oleh Iman!

Abdullah Bin Huzafah As-Sahmi adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang tegar dengan keislamannya. Saat diseksa, ditindas dan dikecam dengan pelbagai seksaan beliau mampu berkata :

“Aku menangis kerana aku berkata kepada diriku : kamu akan dicampakkan kedalam kawah panas ini, maka nyawamu akan terbang, sedangkan aku bercita-cita agar aku mempunyai nyawa sebanyak mana bulu-bulu yang tumbuh di badanku lantasku campakkan satu persatu seperti ini di jalan Allah.”

Berkata Sobri Ahmad :

“Semua itu (pengorbanan) tidak ada melainkan hanya kerana Allah, yang tergantung padanya hati-hati para muhibbin dan muawhhidin, yang mengetahui hakikat dunia, maka Allah SWT mengurniakan kepada mereka kebaikan dunia dan akhirat selepas ikatan aqidah terikat kukuh di dalam hati, ketika itu keluarlah daripaa hati-hati ini kotoran-kotoran keduniaan dan penyakit-penyakitnya, yang terdiri dari penyakit cintakan dunia dan bencikan kematian, pada ketika itu, semua hati-hati berada dalam genggaman yang Maha Pemberi nikmat, maka dijinakkan dengan kehendak dan kekuatannya, firman Allah SWT: (Dan Dia Allah yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walapun kamu menginfakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha bijaksana).”

Iman adalah ikatan paling kuat yang mengikat antara pejuang dan tujuannya dengan orang-orang yang sefaham dengannya. Tidak ada ikatan yang paling kuat selain ikatan iman dan tidak ada iman yang paling kuat selain Islam.

Bermula dari keimanan kepada Allah, maka hati-hati ini mula terpaut dan jiwa telah terpadu, barulah persaudaraan seseorang dengan yang lainnya dapat berjalan, bersih dan penuh rasa kasih. Hati manusia hanya mampu disatukan secara murni dan bersih apabila bermuara pada satu simpul ikatan yang fitrah. Simpul tali itu adalah aqidah. Inilah satu-satunya dasar berpijak, bertemu dan pengikat yang utuh dan abadi.

Pengertian Ukhuwah

Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah mentakrifkan ukhuwah :

“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah ialah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah.”

Ukhuwah ialah hati atau jiwa yang terikat. Ia diikat oleh Tauhidullah dan bukan dengan ikatan yang lain. Tauhid kepada Allah SWT merupakan ikatan yang paling kukuh. Dengan ukhuwah seseorang itu akan merasai bahagia bersama-sama dengan saudaranya dan akhirnya mengarah pada apa yang dicintai Allah SWT semata.

Cinta Anugerah Allah SWT

Ukhuwah adalah anugerah Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Allah SWT sahajalah yang mampu menumbuhkan pohon ukhuwah yang disemai dengan benih keimanan di dalam hati mereka . Ia bukanlah ciptaan manusia. Ia bukan juga hasil daripada mana-mana ideologi atau pertubuhan duniawi. Ia adalah kurniaan Allah SWT ke atas hati-hati yang memiliki iman.

Rasulullah SAW bersabda :

“ Sesungguhnya Umar Al Khattab berkata, sabda Nabi SAW : Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah SWT ada manusia yang mana mereka bukanlah nabi-nabi dan bukan juga para syuhada’, para anbiya’ dan nabi-nabi merasa cemburu pada mereka kerana kedudukan mereka dihari kiamat disisi Allah SWT. Sahabat-sahabat bertanya: Beritahulah kepada kami, siapakah mereka? Sabda Rasulullah SAW: Satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah walaupun tanpa sebarang tali silaturrahim sesama mereka dan bukan kerana urusan keduniaan, demi Allah, sesungguhnya wajah2-wajah mereka bercahaya, dan sesungunya mereka juga di atas cahaya, mereka tidak takut apabila manusia takut, dan tidak bersedih apabila manusia bersedih, dan baginda membaca ayat ini : ( Dan sesunggunya tidaklah wakil Allah SWT itu takut terhadap mereka dan mereka tidak bersedih.”

( Hadis riwayat Abu Daud)

“ Daripada Anas bin Malik RA, daripada Nabi SAW telah bersabda : Tiga perkara yang barangsiapa ada padanya, dia akan dapati kemanisan iman : Allah dan Rasul lebih dicintai dari yang lain-lain, dia tidak kasih seseorang melainkan hanyasanya kerana Allah, dan dia benci untuk kembali pada kekufuran sepertimana dia benci dicampakkan di dalam neraka.”

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“ Allah berfirman pada hari kiamat : Dimana orang yang berkasih sayang kerana keagungan ku pada hari aku akan lindung mereka dihari tidak ada lindungan melainkan lindunganku.”

( Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang terbaik

Rasulullah SAW bersabda :

“ Sebaik-baik manusia dikalangan kamu adalah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah apabila melihatnya, dan menambahkan amalan kamu denga mendengar kata-katanya, dan menyukakan kamu dengan akhirat apabila melihat amalannya.”

Seorang badwi pernah ditanya siapakah sahabat yg paling baik : “Ia adalah orang yang : jika dekat mahu memberi, jika berpisah memuji, jika disakiti memberi maaf, dan jika ditekan tetap lapang dada“.

Abu Hayyan menukilkan : “Bergaullah dengan manusia sehingga jika engkau jauh, mereka merindukanmu, dan jika engkau mati, mereka menangisimu”.

Firman Allah SWT :

( Surah Taha 20 : 29 – 34)

Maksudnya :

“ Dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepada-Mu, dan banyak mengingati-Mu.”

Seorang tabieen Ibrahim an-Nakhaie pula berkata :

“Janganlah kamu memutuskan hubungan kamu dengan sahabat kamu dan janganlah kamu meninggalkannya ketika dia membuat dosa, sesungguhnya dia membuatnya pada hari ini dan mungkin akan meninggalkan dosa itu pada esok hari.”

Jangan tinggalkan sahabatmu

Pada suatu hari telah berlaku suatu peristiwa kepada sahabat nabi yang bernama Hatib bin Abi Balta’ah yang mana ia boleh dikira sebagai pengkianatan yang besar, lantas Umar berkata :

“ Semoga Allah SWT memberi keampunan kepada ahli badar, maka dia berkata kepada para sahabat .. buatlah apa sahaja yang kamu suka sesungguhnya aku telah memaafkan kamu.”

(Dikeluarkan oleh Jemaah kecuali Ibnu Majah).

Anak Kunci Hati

Kunci Pertama – Maklumkan Kamu Mencintainya

“ Daripada Anas Bin Malik : Sesungguhnya seorang lelaki berada bersama RasulullahSAW , maka ada seseorang melalui melalui mereka, maka lelaki itu berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai dia. Maka Nabi SAW bersabda : Adakah kamu beritahunya? Dia berkata : Tidak. Nabi bersabda: Beritahu dia. Maka dia mengikuti lelaki tersebut dan berkata : Aku cinta kamu kerana Allah. Maka dia berkata: Aku kasih kamu yang mengkasihkan aku kerananya.”

Nyatakan isi hati kita kepada sahabat kita melalui tutur bicara dan juga tindakan kita. Utamakan sahabat kepada perkara maaruf dan sentiasa saling ingat-mengingati ke arah kebaikan.

Kunci Dua – Manis Muka

Rasululllah SAW bersabda :

“Senyuman kamu pada wajah sahabatmu adalah sedekah.”

Setiap kali bertemu, bersapa dan berjumpa sahabat-sahabat kita maka ukirkanlah senyuman manis dengan setulus hati. Senyuman dari hati. Benar-benar dari hati yang ikhlas dan dipenuhi keimanan kepada Allah SWT.

Ketahuilah, senyuman yang terukir di raut wajah yang terpancar dari hati akan jatuh ke hati jua.

Kunci Tiga – Saling Memberi Hadiah

Rasulullah SAW bersabda :

“ Berilah hadiah kau kan berkasih sayang.”

Hadiah disini tidaklah yang dimaksudkan yang berharga mahal, berjenama atau yang besar-besar. Tetapi, cukuplah sebagai tanda ingatan dan juga sebagai wanaha mencetus kegembiraan kepada sahabat-sahabat serta teman-teman akrab kita.

Kunci Keempat – Sebarkan Salam

“Tak masuk syurga hinggalah kamu beriman, tak beriman hinggalah kamu berkasih sayang, hendakkah aku beritahu kamu sesuatu yang jika kamu laksanakan kamu akan berkasih sayang sebarkan salam sesama kamu.”

Sebarkan salam serta bertanya khabar adalah amalan ahli syurga. Mendoakan mereka dengan kebaikan dan kesejahteraan akan mengikatkan hati-hati sesama manusia dalam rangka ruh persaudaraan yang diberkati oleh Allah SWT.

Kunci Lima – Cermati Hak-hak Ukhuwah

“ Sebahagian salaf menyebutkan tentang hak-hak ukhuwah : hak harta, jiwa, lidah dan hati dgn kemaafan dan doa, ikhlas dan tepati janji.”

Bersamalah kita bersungguh-sungguh dalam menunaikan hak-hak ukhuwah sesama kita. InsyaAllah, keberkatan dan payungan rahmat Allah SWT bersama persaudaraan ini. Sentiasalah berzuhud dengan apa yang ada ditangan manusia agar kita mudah untuk memberi. Rasulullah SAW bersabda :

“Zuhudlah kamu dengan dunia kamu akan dikasihi Allah dan zuhudlah dengan apa yang ada ditangan manusia kamu kan dikasihi.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Kunci Keenam – Penghancur Cinta Imani : Hubbud Dunya

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda : “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (kalangan Muhajirin); dan mereka mengutamakan (kalangan Muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka sangat memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung”

(al-Hasyr 59: 9).

Penutup : Iman Paksi Segalanya

Segala-galanya bermula dengan keimanan. Dengan keimananlah kita mampu mengumpulkan hati-hati manusia untuk tunduk, patuh dan taat hanya sanya kepada Allah SWT. Dengan keimananlah yang akan menggerakan jiwa-jiwa manusia untuk melaksanakan perintah Allah SWT sekali gus melakukan perubahan yang di kehendaki oleh-Nya.

Justeru, proses pembinaan iman harus diutamakan dan difokuskan dalam mana-mana fasa dalam kehidupan manusia. Tidak dapat tidak, keimanan inilah yang akan terus dibajai dalam jiwa manusia sehingga bertemu Allah SWT kelak.

Munajat cinta

Ya Allah, sesugguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan)-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu, maka kuatkanlah ikatan pertaliannya. Ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengn cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu,dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu.

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Allahumma Amin.


Tajuk ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Muhtad Bin Yusoff, Pengetua Sekolah Rendah Agama At-Toyyibah, Changlun Kedah semasa KOBAR 2013 yang lalu.

Suntingan: Unit MediaHALUAN

1 Comment

  1. salwana

    Says August 04, 2022 at 5:33 PM

    Alhamdulillah. Bahan ilmiyah ini bermanafaat. Semoga diperbanyakkan bahan2 untuk tarbiyah

Leave Your Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.