fbpx

Sentuhan Mufti Terengganu di JDK Zon Timur

Sentuhan Mufti Terengganu di JDK Zon Timur

Sentuhan Mufti Terengganu di JDK Zon Timur

KUALA TERENGGANU, 24 Dis 2013 – Terengganu sekali lagi menjadi tuan rumah bagi kursus popular Jati Diri Dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) untuk zon timur yang berlangsung selama tiga minggu mulai 14 Disember di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di sini.

Kursus tahunan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ini bertujuan memperkasakan remaja untuk bersaing secara sihat dan berakhlak semasa memasuki insititusi pengajian tinggi nanti. Di zon timur, peserta seramai 30 lelaki dan 30 perempuan dari Terengganu dan Kelantan mendominasi penyertaan tahun ini.

Majlis Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh YBhg. Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Muda, Mufti Terengganu pada 22 Disember. Beliau telah disambut oleh Pengarah program JDK Zon Timur, Ustaz Mohd Nor Awang Kechik berserta Exco HALUAN Terengganu.

Seawal pukul 8.00 pagi, semua peserta, fasilitator dan kem komandan di bawah bimbingan pengurus kem serta urusetia telah menjalani raptai penuh yang juga merupakan salah satu daripada aktiviti Modul Perasmian.

Majlis Perasmian dimulakan pada jam 10.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, March HALUAN dan nasyid Tema. Majlis diteruskan dengan bacaan al-Quran oleh peserta JDK, Muhammad Fitri Abdullah diikuti tayangan Montaj JDK.

Dr. Zulkifli semasa ucapan perasmian beliau menekankan solat sebagai satu gagasan sumber kebajikan dan penghalang kejahatan. Kemampuan mencegah kejahatan pada diri sendiri merupakan petunjuk sejauh mana keberkesanan solat seseorang itu, tegas beliau. Seterusnya beliau menghuraikan satu persatu secara terperinci tentang sifat–sifat yang perlu ada pada peserta JDK iaitu 10 muasafat yang dipetik daripada kitab Imam Hassan Al-Banna ‘Majmu’atur Rasail’.

Beliau juga telah mengisahkan seerah “Perang Lantai Penuh Syuhada” yang berlaku di Tours, Perancis di mana tentera Islam telah dikalahkan kerana oleh ujian kecintaan kepada simpanan ghanimah. Inilah sempadan terakhir kemaraan tentera Islam di Eropah semasa pemerintahan Khalifah Hisyam Abdul Malek.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar penuh bersemangat oleh semua peserta diketuai oleh salah seorang peserta JDK, Mukhriz Adnan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh pengurus kem, Ustaz Ahmad Mus’ab Ghazali. Selesai makan tengahari Dr Zulkifli telah mengimamkan solat zohor di Surau Kompleks Pejabat Felda. Beliau juga dengan rendah hati telah sudi bergambar dengan semua peserta sebagai kenangan indah majlis pembukaan JDK zon timur.

HALUAN Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Zulkifli dan pejabat mufti Terengganu kerana sudi menceriakan majlis pembukaan yang sungguh bermakna ini.

Laporan oleh Roziah Abdullah, Petugas Media JDK Zon Timur.