fbpx

Hentikan Penghapusan Etnik Uyghur

Hentikan Penghapusan Etnik Uyghur

Hentikan Penghapusan Etnik Uyghur

BANDAR BARU BANGI, 30 Disember 2019 – Uyghur adalah bangsa atau etnik asal di wilayah yang pernah dikenali sebagai Turkistan Timur atau disebut Xinjiang pada hari ini. Mereka menganuti Islam sejak sekian lama di wilayah tersebut. Wilayah tersebut juga dikenali sebagai Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang oleh Republik Rakyat China. Walau bagaimanapun, mutakhir ini kerajaan China berubah pendirian dengan hasrat mentakrif semula identiti mereka sebagai Wilayah Minoriti di dalam negara pelbagai budaya dan mula menafikan kefahaman tradisi bahawa Xinjiang sebenarnya sebagai tanah etnik atau bangsa Uyghur.

Memahami Republik Rakyat China sebagai sebuah negara biar apa jua ideologi mereka, membawa kita untuk melihat pelbagai aspek yang datang daripada negara tersebut. Pencapaian ekonomi dan teknologi meletakkan mereka unggul di persada antarabangsa. Kemampuan mereka tidak kita khilafkan.

Namun begitu, kerajaan China gagal dalam aspek kemanusiaan. Pendekatan kerajaan China terhadap penduduk di Xinjiang atau etnik Uyghur yang  keseluruhannya beragama Islam adalah amat mendukacitakan. Kewujudan puluhan kompleks yang disifatkan sebagai kem tahanan bagi ‘mencuci’ etnik Uyghur agar mereka meninggalkan resam mereka selama ini termasuklah melarang mereka mengamalkan ajaran Islam amat memeranjatkan. Keabsahan tentang apa yang terjadi terhadap etnik atau bangsa Uyghur di Xinjiang sudah bukan rahsia lagi. Ia telah tersebar di dalam semua media sosial tanpa terkecuali. Kekejaman berterusan serta layanan buruk terhadap etnik Uyghur ini adalah ibarat usaha besar-besaran untuk melenyapkan mereka dari bumi Xinjiang.

Polisi ‘Anti-Uyghur’ telah sekian lama dilaksanakan oleh Regim Komunis China. Namun beberapa dekad yang lalu, Republik Rakyat China mengamalkan dasar tertutup, kerana itulah kekejaman terhadap etnik Uyghur tidak disedari oleh dunia. Menurut sumber yang boleh dipercayai, terdapat tidak kurang daripada 12 etnik lain yang beragama Islam yang sebahagiannya digunakan bagi meminggirkan etnik Uyghur secara sistematik. Hari ini, dunia telah mula menyedari apa yang berlaku di Xinjiang. Kekejaman demi kekejaman telah dan sedang berlaku.

HALUAN dengan tegas menentang apa jua bentuk kekejaman ke atas etnik Uyghur seperti yang telah dilaporkan dalam pelbagai saluran media. Etnik Uyghur wajib diterima sebagai rakyat Republik Rakyat China seperti yang lainnya dan menikmati hak-hak kerakyatan dan kemanusiaan. HALUAN bersetuju dengan bantahan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak menurut peruntukan undang-undang Malaysia dan akan bersama di dalam gabungan NGO yang terpilih yang dibentuk bagi menyatakan suara rakyat Malaysia.

Sekali lagi ditegaskan, etnik Uyghur wajib diterima sebagai manusia yang bermaruah dan wajib dibenarkan beramal dengan Islam sebagai cara hidup mereka. Menanggalkan kepercayaan mereka secara paksa adalah jenayah terbesar dan kejam di sisi peradaban manusia.