
HALUANITA WP Putrajaya Santuni Ibu Tunggal
BANDAR BARU BANGI, 19 Mei 2020 – Golongan ibu-ibu tunggal B40 yang berada di kawasan bandar adalah di antara golongan yang terjejas teruk pendapatan mereka terutama semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berlangsung akibat pandemik COVID-19.
Ini kerana, ramai di kalangan mereka adalah pekerja yang menerima upah harian dan juga peniaga kecil-kecilan.
HALUAN cawangan WP Putrajaya melalui Biro HALUANITA telah mengagihkan hasil kutipan sumbangan orang ramai melalui kempen Sejuta Barakah Ramadan untuk kumpulan ini. HALUANITA WP Putrajaya memfokuskan untuk memberi sumbangan berupa pek makanan keperluan asas seperti beras, telur, minyak masak, gula dan tepung di samping sejumlah wang tunai kepada empat orang ibu tunggal yang terpilih di kalangan B40 sekitar Bandar Baru Bangi.
Dengan mematuhi peraturan keselamatan semasa, tiga orang aktivis dari Biro HALUANITA di bawah kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga HALUAN dan cawangan WP Putrajaya telah menyampaikan sumbangan iaitu Naib Presiden 6, Dr. Zurina Muda; NYDP 3 HALUAN WP Putrajaya, Dr. Norhaiza Nordin; dan AJK Unit Kebajikan, Puan Norhazalika Hamid.
“Tujuan pengagihan kepada ibu-ibu tunggal ini adalah untuk mengurangkan sedikit bebanan yang dipikul oleh mereka, di samping memberi sokongan moral kepada mereka ketika melalui ujian ini,” ujar Dr. Norhaiza.
Majlis penyampaian sumbangan itu telah diadakan di rumah Persatuan Ibu Tunggal Islam Bangi (PITIB) yang juga merupakan tempat perlindungan sementara ibu tunggal yang terletak di Seksyen 5 di sini. Turut serta adalah Pengerusi dan Setiausaha PITIB, Puan Samsiah Hasan dan Puan Maria Mohd Arifin.
Menurut Dr. Norhaiza, penerima-penerima sumbangan tersebut begitu berbesar hati di atas keprihatinan dan sumbangan yang telah diberikan. Sumbangan ini merupakan rentetan daripada usaha berterusan HALUANITA dalam menyantuni golongan ibu tunggal. Semoga usaha murni ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka dan memberi kekuatan kepada mereka dalam melalui fasa getir ini.
Laporan Biro Kebajikan, Shah Aznie Ariffin Kashinath