fbpx

HALUANITA Sertai Seminar Duat Al-Falah

HALUANITA Sertai Seminar Duat Al-Falah

HALUANITA Sertai Seminar Duat Al-Falah

SHAH ALAM, 27 Jan 2024 – Pertubuhan Duat Al-Falah telah mengadakan Seminar Duat Al-Falah di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Shah Alam pada 25 Januari lepas, yang buat pertama kalinya melibatkan peserta wanita sahaja.

Duat Al-Falah (DAF) merupakan sebuah gabungan pendakwah yang terdiri daripada kalangan ilmuwan, golongan profesional dan para asatizah yang membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah ahli sunnah wal jamaah yang sebenar.

Seminar ini menyasarkan 200 orang peserta, terdiri daripada 50 pendakwah terpilih serta wakil NGO, institusi dan beberapa agensi kerajaan. Biro HALUANITA telah menghantar seramai lapan wakil untuk menghadiri seminar tersebut sekaligus dilantik sebagai DAF.

Dengan slogan “Pembimbing Malaysia Madani”, objektif DAF adalah mewujudkan ejen dakwah yang membawa pendekatan sederhana (wasatiy) dan pemikiran bertamadun (madaniyyah) dalam proses perubahan dan menegak keadilan sosial di Malaysia. Selain itu, ia berhasarat agar dapat juga membentuk kualiti pendakwah yang sihat dan mengangkat nilai akhlak dan prinsip keagamaan.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Naim Haji Mokhtar. Antara amanat daripada beliau adalah para DAF tidak boleh berhenti belajar dan perlu sentiasa mantapkan penguasaan ilmu dalam bidang tauhid, fiqh, fardhu ain, tasawuf dan isu semasa. Para pendakwah perlu menjadi tunggak kepada masyarakat, agar akhlak baik yang menonjolkan kesyumulan Islam boleh menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam. Beliau juga menggesa agar dimanfaatkan semua media sosial terutamanya Facebook, Instagram dan Tiktok sebagai medan dakwah untuk mencapai golongan belia.

Majlis diteruskan dengan penyerahan sijil pelantikan DAF kepada semua NGO yang terlibat. Naib Presiden 6 HALUAN, Dr. Zurina Muda telah menjadi wakil bagi HALUANITA.

Seterusnya berlangsung pembentangan oleh penceramah-penceramah yang sangat berpengalaman dan antara tajuk mereka adalah Konsep Madani sebagai Falfasah Kenegaraan Islam, Manhaj Ahli al-Sunnah Wal Jamaah Sebagai Teras Perpaduan Ummah di Malaysia, Ancaman Pemikiran Ekstremisme di Malaysia, serta Wanita dan Dakwah di Malaysia. Penutupnya adalah forum yang bertajuk Prinsip Wasatiyyah dan Adab Al-Ikhtilaf Dalam Menangani Pertembungan Pemikiran Umat.

HALUANITA mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Persatuan Duat Al-Falah kerana melantik HALUANITA sebagai DAF. Semoga kerjasama yang dibina ini dapat menggencarkan lagi kerja dakwah di Malaysia dan seterusnya membina masyarakat yang harmoni, berkasih sayang dan saling bertoleransi antara satu sama lain.


Laporan Ummu Hani Mohd Nasaruddin
Setiausaha Kerja Kanan 1 (Wanita Dan Pembangunan Keluarga)