fbpx

HALUAN  Dilantik Sebagai Pelaksana Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar

HALUAN  Dilantik Sebagai Pelaksana Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar

HALUAN  Dilantik Sebagai Pelaksana Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar

PUTRAJAYA, 31 Jan 2024 — HALUAN Malaysia telah dilantik sebagai pelaksana Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) tahun 2024 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB kepada wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) terpilih telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib di Bilik Mesyuarat Berlian, KPKT di sini petang semalam. 

Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia (Kluster Profesional dan Agensi), Sr. Baderol Allam Awang telah hadir menerima surat lantikan daripada p Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Encik Suhaimi Ali @ Ahmad. Ketua Biro Profesional HALUAN Malaysia, Dr. Mohd Razali Maarop turut hadir di majlis tersebut.

Program PEKB melalui kerjasama NGO adalah salah satu usaha KPKT dalam membendung isu kemiskinan tegar di bandar. Ia dilaksanakan sejak tahun 2013 dan telah berjaya melatih seramai 16,294 orang usahawan. Bagi tahun ini, sebanyak RM7 juta diperuntukkan oleh KPKT dan dijangka akan memberi manfaat kepada 672 peserta.

Peserta PEKB dipilih daripada golongan usahawan berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Mereka akan dilatih untuk meningkatkan kemahiran dalam pengendalian perniagaan dan keusahawanan, dengan harapan akan dapat meningkatkan perniagaan dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi dan berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan. Mereka juga akan diberikan peralatan perniagaan sejurus selepas tamat menjalani latihan agar dapat terus memulakan perniagaan. 

Pihak NGO akan memantau perniagaan peserta dalam tempoh selama enam bulan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan di atas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Per Kapita iaitu RM750 sebulan. 

HALUAN Malaysia diamanahkan untuk melatih 30 usahawan dalam Bidang Peruncitan dan Pemasaran Online yang menetap di Pulau Pinang. Latihan akan bermula pada bulan ini dan para peserta akan memulakan perniagaan menjelang Ramadan nanti.

——-

Laporan Muhammad Mus’ab Sa’ari
Penolong Setiausaha Agung 1, HALUAN Malaysia