fbpx

HALUANITA Digesa Jatikan Kepimpinan Diri

HALUANITA Digesa Jatikan Kepimpinan Diri

HALUANITA Digesa Jatikan Kepimpinan Diri

Bangi, 18 Mac 2017 – HALUANITA perlu memperkasakan ciri-ciri kepimpinan dalam diri supaya mampu menjadi pembina generasi yang gemilang.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Ustaz Salleh Saad, kepimpinan diri ini merupakan ramuan penting dalam mempersiapkan barisan kepimpinan wanita yang mampan yang mampu mendorong lebih ramai kaum hawa untuk menerajui pelbagai bidang tanggungjawab yang semakin ramai diterajui oleh mereka.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian Nadwah Kepimpinan Wanita 2017 yang dianjurkan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) melalui Biro HALUANITAnya, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program dua hari bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) itu dihadiri oleh 310 peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan, perwakilan, pemerhati dan ahli HALUANITA dari seluruh Malaysia.

Nadwah sedemikian merupakan antara wasilah yang perlu dilalui oleh para pendakwah untuk menyemarakkan semangat diri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada Deen Islam. “Wanita Pembina Generasi Masa Depan” dipilih sebagai tema pada tahun ini bertepatan dengan fokus Nadwah Kepimpinan Wanita 2017 dilaksanakan iaitu untuk melahirkan barisan kepimpinan yang mempunyai ciri kepimpinan yang boleh dicontohi oleh pelapis dan berupaya memenuhi tuntutan sebagai perintis serta pemilik risalah dakwah Rasul SAW.

Kertas Kerja pertama oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman bertajuk Pra-Syarat Kepimpinan Wanita. Beliau menekankan keutamaan kepada kelayakan peribadi, organisasi dan kelayakan tambahan sebagai syarat yang perlu ada untuk meneraju kepimpinan. Beliau berharap HALUANITA akan dapat membina barisan yang komited, disertai dengan ilmu, dilengkapi kefahaman Islam yang sebenar, iman yang tulen dan akhlak yang mulia.

Pada hari kedua, dua pembentangan kertas kerja selari diadakan. Kertas Kerja 2 disampaikan oleh penceramah jemputan yang bertajuk Ciri-ciri Barisan Kepimpinan Wanita, manakala Kertas Kerja 3 disampaikan oleh Dr. Mohd Razali Maarof yang bertajuk Keluarga Legasi Akhirat. Kesemuanya bersesuaian dengan objektif nadwah iaitu untuk mempertingkatkan kesedaran barisan kepimpinan HALUANITA tentang persiapan dan peranan mereka dalam meneruskan kerja-kerja Islam.

Ucapan dasar disampaikan oleh Puan Alfiah Samingan selaku Ketua Biro HALUANITA, mengupas tema nadwah “Wanita Pembina Generasi Masa Depan” secara terperinci. Beliau memulakan ucapan dengan memperingatkan semua tentang kedudukan wanita dalam Islam.

“Wanita merupakan aspek yang penting dalam kehidupan kerana mereka adalah penentu kesinambungan sebuah generasi. Selain itu, beberapa perkara seperti hak, peranan dan kepimpinan wanita turut dirangkumi di samping kita merujuk kepada contoh wanita daripada sirah dan juga Al-Quran,” katanya.

Sesi perbahasan ucapan dasar menyaksikan perbahasan dan penglibatan aktif perwakilan dari 12 negeri seluruh Malaysia yang mengupas isu-isu semasa yang penting dari negeri masing-masing. Slot Success Stories pula melibatkan tiga orang wakil HALUANITA daripada Putrajaya, Selangor dan Kedah yang menceritakan pengalaman masing-masing dalam menjayakan aspek massa, rijal dan dana.

Nadwah Kepimpinan Wanita 2017 tamat dengan resolusi yang dirumuskan oleh Pengarah Nadwah, Dr. Zurina Muda, merangkap Naib Pengerusi 1 Biro HALUANITA.

Urusetia nadwah berharap agar resolusi ini dapat dihadamkan oleh semua perwakilan dan ahli HALUANITA untuk dimanfaatkan bersama dalam perancangan, pembentukan dan pembangunan setiap ahli HALUANITA khususnya dan ahli HALUAN, amnya.


Laporan Rabiahtul Zulkafli.
Setiausaha Nadwah Kepimpinan Wanita 2017