fbpx

HALUAN Santuni Masyarakat Rohingya

HALUAN Santuni Masyarakat Rohingya

HALUAN Santuni Masyarakat Rohingya

BANDAR BARU BANGI, 5 Mac 2016 — Sehingga akhir Ogos 2015, ada lebih 150,000 pelarian di Malaysia yang berasal dari negara-negara yang bergolak seperti Myanmar, Syria dan Palestin. Menurut sumber UNCHR Malaysia, hampir 140,000 mereka berasal dari Myanmar dengan etnik Rohingya Muslim dari wilayah Arakan atau Rakhine yang paling ramai.

Krisis kemanusiaan berpunca daripada penafian hak kewarganegaraan serta konflik antara agama yang berpanjangan di Arakan sejak puluhan tahun lalu menyebabkan sekitar 60% penduduk etnik Rohingya beragama Islam mencari perlindungan di negara jiran. Malaysia adalah sebuah negara berdekatan yang secara ‘terpaksa’ mengambil etnik Rohingya walaupun secara zahirnya Malaysia tidak bersama dalam deklarasi pelarian Geneva 1951.

Kemelut pelarian yang meruncing ini mendapat perhatian HALUAN, selain di negara-negara lain yang turut bergolak. Tanpa kem pelaraian, pelarian-pelarian Rohingya tinggal bertaburan di seluruh Malaysia dengan konsentrasi di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor. Kehidupan kebanyakan mereka amatlah dhaif, tanpa pekerjaan yang tetap, tiada tempat tinggal yang selesa, serta kemudahan pendidikan dan perubatan yang amat minima. Majoriti pelarian Rohingya yang beragama Islam mengharapkan simpati dan bantuan masyarakat tempatan dan sumbangan-sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

Sejak 2011, sukarelawan HALUAN telah terlibat dalam menyantuni isu kemanusiaan yang melibatkan etnik Rohingya di wilayah Arakan dan juga di kem-kem pelarian di Bangladesh. Aktiviti bantuan berupa penghantaran pek makanan, pakaian, pembinaan penempatan sementara dan juga agihan daging korban semasa musim haji dilaksanakan dengan kerjasama NGO-NGO negara jiran. Sejak pertengahan 2015 pula, HALUAN mula menyantuni pelarian Rohingya yang berada di Malaysia dengan penumpuan aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak mereka.

Satu program kebajikan agihan makanan dan pakaian telah dilaksanakan khasnya untuk sebilangan pelarian Rohingya yang baru dan berada di sekitar Lembah Kelang. Program agihan ini adalah kerjasama dua badan bukan kerajaan iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dari Turki dan HALUAN. Gerak kerja bantuan telah dimulakan seawal bulan Disember 2015 dengan IHH sebagai penyalur dana dan HALUAN selaku pelaksana agihan bantuan kepada mangsa.

“Gabungan HALUAN dan IHH Turki ini memungkinkan perlaksanaan bantuan kemanusiaan dan kebajikan kepada puluhan ribu pelarian Rohingya yang mencari simpati di Malaysia terutamanya dari sudut sara hidup dan pendidikan anak-anak mereka,” ujar Dr Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.

Dengan bantuan Persatuan Arakan Rohingya Council Malaysia (ARC), seramai 250 penerima yang layak telah dikenalpasti dari kawasan Cheras Baru, Sri Kembangan, Puchong dan Batu Caves. Di antara barangan yang diagihkan ialah beras, gula, minyak masak, sardin, susu pekat manis, biskut, sejadah dan tuala mandi. Beberapa hari sebelum hari agihan, pasukan sukarelawan HALUAN diketuai oleh Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan, Encik Mohamad Shakir Sabarudin telah bekerjasama dengan sukarelawan ARC membeli dan mengumpulkan barangan keperluan berkenaan. Program agihan telah dilaksanakan bermula di kawasan Cheras Baru dengan sejumlah pelarian Rohingya sebagai penerima yang telah didaftarkan. Pada sebelah petangnya agihan telah dilakukan kepada pelarian di kawasan Sri Kembangan dan Puchong.

MenurutEncik Shabbin Ahmad Saleh Ahmad, Pengerusi ARC , Pengerusi ARC, “program bantuan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik. Bagi pihak ARC serta penerima-penerima bantuan, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada HALUAN dan IHH di atas usaha yang murni ini,” jelasnya.

Dengan sempurnanya perlaksanaan program ini, HALUAN akan meneruskan aktiviti menyantuni pelarian Rohingya dengan tumpuan kepada program pendidikan kepada lebih 12,000 anak-anak mereka. Perkhidmatan pendidikan yang ada dibangunkan oleh NGO-NGO sehingga kini masih jauh daripada mencukupi keperluan asas anak-anak pelarian tersebut. Walaubagaimanapun HALUAN melalui pelbagai biro yang ada akan membuat kajian yang teliti sebelum melaksanakan usaha pendidikan agar ia benar-benar memberi fokus kepada yang mereka hajati dan bermanfaat untuk masa depan mereka.

Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut:

✔Hotline: +601114193929 (Call/SMS/Whatsapp) – 24jam
✔Phone: +60389268892
✔Fax: +60389266892
✔Email: info@haluan.org.my


Sumbangan ikhlas tuan-puan kepada mereka yang memerlukan boleh disumbangkan melalui:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

*Sila emel slip/resit sumbangan [Rohingya] ke unit.kewangan@haluan.org.my

Teruskan CAKNA isu kemanusiaan, Bersama HALUAN. Semoga sumbangan anda dirahmati Allah SWT.


Laporan Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Encik Muhammad Shakir Sabarudin