fbpx

Kuala Lumpur Berkongsi Mata Bertemu Putrajaya

Kuala Lumpur Berkongsi Mata Bertemu Putrajaya

Kuala Lumpur Berkongsi Mata Bertemu Putrajaya

SUNGAI BULOH, 20 Feb 2016 – Perlawanan ketiga Liga Bola Sepak HALUAN Wilayah Tengah telah berlangsung awal sehari dari tarikh yang dijadualkan, di mana pasukan Kuala Lumpur menerima kunjungan pasukan Putrajaya bertempat di Pusat Sukan Kolej Vokasional Sungai Buloh, Selangor.

Perlawanan pertama dengan sepak mula tepat jam 8:30 pagi adalah di antara Kuala Lumpur berjersi hitam yang menerima kunjungan Putrajaya berjersi hijau. Perlawanan berlangsung secara tiga kali separuh masa, setiap separuh masa selama 25 minit. Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menunjukan serangan balas yang sengit dengan kesudahan jaringan pembukaan perlawanan oleh Ubaidah Munzir Riduan pada minit ke 16 daripada pasukan Selangor, setelah berjaya melepasi perangkap “offside” barisan pertahanan Putrajaya.

Pada separuh masa kedua pertukaran pemain dan strategi setiap pasukan turut mengubah rentak permainan menjadi bertambah sengit, namun perlawanan separuh masa kedua berakhir tanpa sebarang jaringan daripada kedua-dua pasukan atas faktor kekebalan pertahanan pasukan masing-masing.

Masuk separuh masa ketiga, sekali lagi pertukaran strategi menyaksikan serangan balas kedua-dua pasukan menjadi seimbang. Sehingga pada minit ke 63 sepakan penalti “handball fault” dihadiahkan kepada pasukan Putrajaya dan dijaringkan oleh Amir Hamzah Razali. Kedudukan jaringan gol terikat seri satu sama sehingga ke akhir wisel penamat. Keputusan masa penuh perlawanan kedua-dua pasukan berkongsi satu gol dan satu mata untuk keseluruhan liga.

Perlawanan timbal balik antara pasukan Putrajaya yang bakal menerima kunjungan pasukan Kuala Lumpur dijadualkan pada 13 Mac nanti, yang juga merupakan perlawanan keempat liga akan berlangsung di Presint 5 Putrajaya. Keputusan semasa keseluruhan Liga Bola Sepak WT, pasukan Kuala Lumpur mendahului dengan jumlah kutipan empat mata, manakala pasukan Selangor kekal tempat kedua dengan tiga mata, seterusnya pasukan Putrajaya berbekalkan satu mata meneruskan kempen liga Wilayah Tengah.

Encik Hamdan Salleh selaku wakil penganjur dalam ucapan penutupnya mengucapkan tahniah kepada pasukan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang telah mempamerkan perlawanan yang cukup bersemangat. Encik Riduan Rahmat mewakili pengurusan pasukan Kuala Lumpur turut juga menyampaikan ucapan ringkas, antara intipati ucapan beliau menekankan pesanan Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin iaitu “Fit to play, not play to get fit”, bermaksud kecergasan adalah pra-syarat untuk bersukan, bukan dengan bersukan kita akan mendapatkan kecergasan, kerana kecergasan adalah penting untuk mengurangkan risiko kecederaan ketika bersukan.

Turut berucap adalah Encik Hafiizh Ghazali selaku wakil pemuda HALUAN KL yang telah memberi suntikan semangat kepada para pemain.


Laporan Muhammad Nabil Jamalludin, Biro Sukan & Rekreasi