fbpx

HALUAN Salur Sumbangan Fasa Pertama

HALUAN Salur Sumbangan Fasa Pertama

HALUAN Salur Sumbangan Fasa Pertama

DONGGALA, SULAWESI TENGAH, 9 Okt 2018 – Pasukan pertama Misi Kemanusiaan Sulawesi HALUAN telah tiba di pusat koordinator (posko) lapangan di Donggala pada lewat malam hari Sabtu 6 Oktober. Perjalanan yang mengambil masa lebih 36 jam dari Kuala Lumpur itu sangat lama dan agak mencabar kepada sukarelawan terutamanya semasa laluan darat selama lapan jam dari Mamuju ke Donggala.

Banyak bahagian jalan yang rosak kesan daripada gempabumi yang telah berlaku serta banyak kenderaan membawa bantuan menuju Palu di sepanjang perjalanan tersebut.

Pasukan 1 HALUAN diketuai oleh aktivis kemanusiaan Encik Zailani Mohd Ali dan dibantu Encik Kamarojman Sulaiman dan Dr. Azman Wahab, seorang doktor dari Terengganu. HALUAN adalah salah sebuah NGO kemanusiaan Malaysia yang telah berada di Sulawesi untuk menyantuni puluhan ribu penduduk yang ditimpa musibah akibat bencana gempabumi berskala 7.7 Richter dan tsunami pada 28 September lepas. Dalam melaksanakan bantuan yang lebih efektif di lapangan, pasukan HALUAN sentiasa bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan termasuklah PKPU Human Initiative dan Bulan Sabit Merah Indonesia BSMI.

Menurut Encik Zailani, keadaan Sulawesi telah mula pulih setelah lapan hari dilanda bencana gempabumi dan tsunami yang telah mengorbankan lebih 2,000 penduduk dan memusnahkan infrastruktur awam serta perkampungan penduduk berhampiran pantai. Walau bagaimanapun masih terdapat mayat-mayat yang belum dijumpai dan lebih 80,000 mangsa masih tinggal di khemah-khemah sementara.

Katanya penduduk Palu dan Donggala masih mengalami trauma dan amat memerlukan bantuan makanan masak, air bersih, keperluan untuk beribadat dan rawatan perubatan.

Di hari pertama pasukan HALUAN bersama PKPU telah melaksanakan aktiviti rawatan kesihatan di posko Desa Kempis, Donggala. Seramai 42 penduduk dari pebagai lapisan usia telah menerima rawatan perubatan yang diketuai oleh Dr. Azman Wahab. Kebanyakan yang mendapat rawatan mengadu sakit otot sendi, batuk, demam, selsema dan gastrik. Tidak kurang juga yang datang mendapatkan rawatan penyakit darah tinggi dan kencing manis tidak terkawal akibat tidakmemakan ubat-ubatan mereka beberapa hari.

Berdasarkan tinjaun di lapangan dan aktiviti rawatan pada hari pertama, mangsa-mangsa gempabumi dan tsunami masih memerlukan pelbagai bantuan daripada masyarakat luar. Mereka yang lebih 70,000 tinggal di khemah sementara dan masih memerlukan bantuan asas untuk meneruskan penghidupan harian. Ia termasuk makanan asasi beras, gula, minyak masak, teh dan garam. Barangan lain yang juga amat diperlukan ialah telekong, pad wanita, pampers bayi, susu formula untuk bayi serta barangan kebersihan diri, sabun mandi, sabun basuh, ubat gigi, dan syampu.

Menurut Dr Azman, selain bantuan berbentuk barangan dan rawatan perubatan, ramai mangsa-mangsa bencana yang memerlukan rawatan trauma psikologi dan kaunseling yang mana pasukan-pasukan berikutnya akan mengisikannya.


Laporan Encik Kamarojman Sulaiman.