fbpx

HALUAN Mengadakan Musafir Dakwah Ke Kemboja

HALUAN Mengadakan Musafir Dakwah Ke Kemboja

HALUAN Mengadakan Musafir Dakwah Ke Kemboja

HALUAN Malaysia telah mengadakan program ziarah ke Kemboja yang diketuai sendiri oleh Dr Abdullah Sudin bin Abdul Rahman, Presiden HALUAN Malaysia.


Turut sertai rombongan ialah Ustaz Salleh bin Saad (Imam Masjid Putra, Putrajaya), Haji Mohamad Adi bin Ismail, Haji Mohamad Ritzuan bin Baharin (Exco Kelab Guru HALUAN Pusat), Ustaz Daniel Sallehi bin Abdul Hamid, Ustaz Badri Ibrahim @ Sos Pit Rey , saudara Shahizam dan Haji Razali Mohd Jamil (Timb. YDP HALUAN Perak merangkap Pengerusi Projek Kebajikan HALUAN Di Kemboja).

Hubungan mesra HALUAN dengan masyarakat Islam di Kemboja telah lama berputik tatkala HALUAN melancarkan projek membiayai pelajar-pelajar miskin terpilih dari Kemboja belajar di Malaysia sejak tahun 2002 sehingga kini. Setiap tahun antara 10 – 20 orang pelajar miskin akan dibawa ke Malaysia untuk belajar di IPTA / IPTS tempatan dalam pelbagai bidang dan jurusan.

Rombongan HALUAN telah berangkat pada 12 Jun yang lalu. Lawatan ini bertujuan untuk mengadakan kursus asas latihan guru kepada guru-guru Sekolah an Nikmah at Thanawiyah dan kursus pengurusan masjid di Kampung Cham dan Kampung Keh, Kompot di samping menjalinkan hubungan lebih akrab dengan institusi-institusi Islam di di Kemboja.

Sebaik rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pochentong, Phnom Penh, rombongan disambut oleh  Ustaz Wahid (Pembantu Khas Mufti) dan En Rafik. Ziarah pertama HALUAN bermula dengan kunjungan hormat ke pejabat Mufti Di Kemboja. Rombongan HALUAN disambut oleh Mufti Kemboja, Oknha Kamarudin bin Yusuf dan Datok Zakaria Adam, Timbalan Mufti merangkap ahli parlimen kawasan Kandal.

Pada sebelah petang rombongan HALUAN telah dibawa ke Potti In, Wilayah Kampung Cham iaitu kampung yang terawal dibina sekolah agama yang diasaskan oleh Mufti selepas zaman Komunis. Perjalanan mengambil masa selama tiga jam. Rombongan dibawa melawat Sekolah an Nikmah at Thanawiyah di Potti In dan melihat persekitaran asrama pelajar. Mufti telah menceritakan sejarah kampung tersebut dan cabaran utama yang mereka hadapi dalam membangunkan umat Islam di Kemboja

Pada hari yang seterusnya, relawan HALUAN telah menjayakan dua buah kursus yang dijalankan secara serentak di Sekolah an Nikmah at Thanawiyah iaitu kursus asas kepada guru-guru cawangan Sekolah an Nikmah seramai 31 orang dan 26 orang peserta kursus pengurusan masjid dari daerah Ponyia Kraik, Kampung Cham.

Rombongan HALUAN juga sempat mengadakan pertemuan bersama bekas pelajar Kemboja yang dibiayai melalui Tabung Kebajikan HALUAN yang telah menamatkan pengajian mereka di Malaysia dalam pelbagai bidang. Dalam perjumpaan tersebut pelbagai perkara dibincangkan khususnya bagi membantu meningkatkan kualiti umat Islam di Kemboja.

Pada hari terakhir, HALUAN telah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Leadership Training Academy of Cambodia (LTAC). Seramai 4 orang wakil LTAC hadir bersama dalam pertemuan mahabbah tersebut antaranya En. Nurul Yakin bin Fauzi, En. Ariffin bin Abd. Rahman, En. Muhammad Musa, Mohd. Nor bin Ali dan Ustaz Wahid. Kedua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan khidmat masyarakat.

Sebelum pulang, rombongan HALUAN sempat mengunjungi sebuah tempat bersejarah yang dikenali Killing Field untuk melihat kesan sejarah kekejaman rejim Polpot membunuh rakyat Kampuchea beramai-ramai.