HALUAN Jadi Keluarga Angkat Murid Orang Asli
GERIK, PERAK, 16 Ogos 2023 – Pencapaian membanggakan kanak-kanak orang asli yang menyertai program pendidikan awal Edu Banun kelolaan HALUAN kini telah membolehkan sebilangan mereka menyertai i pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun berhampiran.
Hasil penat lelah usaha Kelab Guru HALUAN Pulau Pinang bawah penyeliaan Cikgu Dalmataksiah Mohd Zain berjaya melahirkan enam pelajar baharu daripada Kampung Air Banun di sini untuk memasuki sekolah rendah di kampung itu. Mereka yang sebelum ini terasa malu dan rendah diri kerana buta huruf kini bertambah yakin mengorak langkah untuk ke sekolah, hasil modul khas yang berkesan yang diaplikasikan dalam projek Edu Banun.
Justeru itu, HALUAN membuat keputusan untuk menjadikan kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat HALUAN, tanda sokongan dan bimbingan bersesuaian dengan motto HALUAN, “Berakhlak, Mendidik & Berbakti”. Untuk merealisasikannya, Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri dan Bendahari HALUAN Pulau Pinang, Encik Zulkifli Ismail telah mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dengan Penolong Kanan HEM di SKRPS Air Banun, Cikgu Johari Idris untuk mengatur gerak kerja. Daripada perbincangan tersebut, pihak sekolah menyatakan kesediaan untuk menyokong dan memberikan kerjasama untuk program Edu Banun ini mencapai matlamatnya iaitu supaya kesemua kanak-kanak kampung itu akan bersekolah dan berjaya. Ini secara langsung dapat membawa warga kampung ke arah arus pembangunan masyarakat Madani. Terdapat hampir 100 orang yang bermastautin di kampung berkenaan.
Pada hari kunjungan yang sama, HALUAN telah mengedarkan sebanyak 35 kampit beras fidyah sumbangan orang ramai kepada semua ketua keluarga kampung berkenaan. Sumbangan diterima oleh Naib Batin, Encik Dalong.
Anda pembaca artikel ini boleh turut berkongsi pahala dengan usaha pendidikan kami ini. Dermalah seikhlas hati untuk membantu kami melaksanakan projek transformasi pendidikan anak-anak orang asli di Kampung Air Banun ini. Dermalah seikhlas hati ke:
Nama Akaun : TABUNG KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN HALUAN
Nama Bank : Maybank Islamic
No. Akaun : 5622 6350 2611
Tandakan: “Edu Banun”
Laporan Biro Kebajikan
HALUAN caw. Pulau Pinang