fbpx

HALUAN Fitrah Kedah Rai Mualaf B40 di Iftar Perdana

HALUAN Fitrah Kedah Rai Mualaf B40 di Iftar Perdana

HALUAN Fitrah Kedah Rai Mualaf B40 di Iftar Perdana

SUNGAI PETANI, 2 Apr 2023 – Seramai 25 orang mualaf bersama ahli keluarga mereka diraikan sempena Iftar Perdana HALUAN Fitrah Kedah 2023 di Hotel Seri Malaysia semalam. Program bertujuan mengumpul dana dakwah dan pembangunan mualaf bagi tahun 2023 ini adalah juga untuk meraikan golongan mualaf khususnya kumpulan B40.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman, dan penceramah jemputan khas, Encik Khaw Lek Ming daripada Hidayah Centre Foundation (HCF) Pulau Pinang. Majlis Iftar Perdana dimulai dengan bacaan Al-Quran, diikuti tayangan video berkaitan aktiviti HALUAN Fitrah Kedah (BHF) bagi tahun 2022 dan 2023.

Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh YDP HALUAN Kedah, Encik Abdul Kadir Mahamood serta tazkirah ringkas oleh Dr.Abdullah Sudin. Majlis seterusnya mendengar perkongsian kisah perjalanan menuju hidayah serta memeluk Islam oleh Encik Khaw. Sumbangan Hari Raya Aidil Fitri berupa wang tunai RM200 kepada 25 orang mualaf B40 turut disampaikan oleh Dr. Abdullah Sudin.

Semua mualaf yang hadir melahirkan rasa kegembiraan kerana telah diraikan di majlis tersebut. Puan Fatimah Abdullah mengucapkan rasa terima kasih dan terharu kepada pihak BHF Kedah yang telah menjemput beliau untuk hadir bersama. Begitu juga Encik Hussin Ooi Abdullah, seorang OKU cacat anggota kaki turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada BHF Kedah yang sudi menjemput serta memberikan sumbangan Hari Raya kepada beliau. Encik Fadhli Lai Abdullah yang telah lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke kaki turut menerima sumbangan Hari Raya. Beliau bekerja dari rumah dengan pendapatan hanya sekitar RM500 sebulan. Isterinya juga terpaksa menjaga beliau di rumah di samping menjual kuih-muih dari rumah. Mereka mempunyai tiga orang anak, dua orang bersekolah dan seorang lagi pra-sekolah.

Program Iftar Perdana 2023 berkenaan telah menyuntik perasaan kegembiraan kepada para muallaf B40 yang menghadapi pelbagai cabaran dan kesusahan dalam meneruskan kehidupan mereka sebagai saudara baharu. Namun mereka teguh mempertahankan iman mereka.

Sumbangan daripada majlis Iftar Perdana BHF Kedah itu sedikit sebanyak telah meringankan beban yang mereka tanggung selama ini. BHF Kedah berharap dana yang dikumpulkan melalui program iftar tersebut akan dapat digunakan untuk menyantuni golongan mualaf B40 yang memerlukan di masa hadapan.

Program tersebut turut dibiayai melalui geran daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah. Seramai 115 orang peserta yang terdiri daripada orang ramai, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Negeri Kedah serta ahli HALUAN turut hadir bersama. Wakil NGO Islam yang hadir ialah daripada Pertubuhan IKRAM cawangan Kedah, PERKIM Kedah, Persatuan Bimbingan Saudara Baru (PBSB) Kedah, MACMA Kedah, Hidayah Centre Foundation (HCF) Kedah, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) cawangan Kedah, dan Pusat Dakwah Islamiah Al Muhammadi, Kedah.

Anda yang ingin membantu kami dalam menjaga kebajikan para mualaf ini bolehlah berinfak ke akaun:

Nama: HALUAN Kedah
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
No. akaun: 0202 00100 22428
WhatsApp slip ke Tel: +60 19-598 6469

Laporan Dr. Mohamad Nasir Othman
Biro HALUAN Fitrah, Kedah