HALUAN Bantah Insiden Bakar Quran di Sweden
BANDAR BARU BANGI, 24 Jan 2023 – HALUAN mengecam dan mengutuk tindakan ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm Sabtu lepas. Lebih mendukacitakan adalah aksi tersebut telah mendapat restu daripada kerajaan Sweden untuk membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di sana.
Membakar kitab suci sesebuah agama seperti al-Quran layak diklasifikasikan sebagai kegiatan pelampau atau pengganas kemanusiaan dan ketamadunan. Sentimen Islamofobia seperti ini atau dalam apa jua bentuk sekalipun adalah tindakan kekecewaan sesuatu kaum yang tidak bertamadun. Kekeliruan atau apa jua salah faham boleh dimurnikan melalui aktiviti dialog, muzakarah atau perdebatan sihat yang lebih membuka minda.
Amat malang, tindakan kerajaan Sweden membenarkan perilaku seumpama itu atas dasar kebebasan bersuara adalah satu keputusan mengejutkan yang sangat tidak bermoral serta berfikiran dangkal dalam memelihara kebebasan beragama setiap individu di negara tersebut.
HALUAN seiring dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengutuk sekeras-kerasnya gerakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden berkenaan yang secara peribadinya menghadapi krisis konflik dalaman beliau sendiri terutama berkaitan identiti seksualiti beliau yang songsang. Kami menggesa agar kerajaan Sweden tangkas mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa hadapan dalam menangani isu Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.
HALUAN juga positif dengan bantahan daripada badan-badan bukan kerajaan lain yang bersama menentang sikap yang tidak bertamadun ini. Tidak kira sama ada yang dibakar itu adalah kitab Bible, Veda, Talmud, Tripitakas atau mana-mana kitab suci agama-agama dunia. Hentikan perbuatan biadap ini.