fbpx

400 Pelajar B40 Terima Sumbangan Persediaan Persekolahan

400 Pelajar B40 Terima Sumbangan Persediaan Persekolahan

400 Pelajar B40 Terima Sumbangan Persediaan Persekolahan

KOTA BHARU, 18 Januari 2023 – Seramai 400 orang pelajar terpilih dari kalangan keluarga B40 menerima sumbangan wang tunai dan beg sekolah sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan baharu nanti.

Sumbangan tersebut telah diagihkan dalam satu majlis di Dewan Sri Tunjong Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di sini, pagi tadi. Ia adalah sebahagian daripada kempen HALUAN menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana banjir Monsun Timur Laut yang melanda Pantai Timur baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah – Unit HEM, Sektor Pembangunan Murid, JPN Kelantan, Kamal Ruzaman Hassan dan Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, telah hadir menyempurnakan majlis.

HALUAN bekerjasama dengan JPN Kelantan bagi mengenal pasti murid-murid yang sangat memerlukan dari kalangan lebih 13,000 orang pelajar di Kelantan yang terkesan akibat bencana banjir. Bantuan tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai dan bantuan Yayasan Hasanah bernilai hampir RM50,000.

Yayasan Hasanah merupakan sebuah entiti GLC/GLiC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), iaitu rangkaian tindak balas bencana berkaitan kerajaan yang melibatkan GLC dan GLiC, yang menjadikan HALUAN sebagai rakan pelaksana bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Pada tahun lalu, HALUAN melalui kerjasama Yayasan Hasanah telah membantu membaik pulih 100 buah rumah yang rosak akibat banjir di Perumahan Awam Kos Rendah, Bukit Rangin, Kuantan.

Menurut Dr. Abdullah Sudin, HALUAN setakat ini telah menghulurkan bantuan mencecah RM200,000 untuk mangsa bencana Monsun Timur Laut di negeri Kelantan dan Terengganu. Bantuan kepada pelajar B40 ini akan turut dihulurkan kepada pelajar-pelajar di Terengganu.


Laporan mediaHALUAN