fbpx

Hadiah Ayam Goreng Sempena Deepavali

Hadiah Ayam Goreng Sempena Deepavali

Hadiah Ayam Goreng Sempena Deepavali

KUALA LUMPUR, 4 Nov 2021 – Pemuda-pemudi Biro HALUAN Fitrah (BHF) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah menyertai misi mahabah penghadiahan pek makanan berupa ayam goreng Kentucky Fried Chicken kepada mualaf dan masyarakat bukan Islam B40 sambil menjalin pertalian sejagat bersama golongan tersebut sempena Hari Deepavali yang jatuh pada 4 November lepas.

Penggerak program terdiri daripada enam orang pemuda-pemudi BHF WPKL dan seorang mualaf berbangsa Cina yang baru memeluk Islam dua tahun lepas, di mana program tersebut mensasarkan sebanyak 13 buah rumah B40 di sekitar kawasan Wilayah Kuala Lumpur.

Program bermula jam 10.30 pagi dengan tempahan ayam yang kemudiannya diagihkan bersama ang pow RM50 setiap satu yang diberikan kepada penerima. Islam satu sistem hidup yang bersifat rabbani dan menganjurkan kepada manusia agar sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang diambil.

Manusia diciptakan Allah dengan sebaik-baik ciptaan berbanding makhluk lain, bebas hidup dan meneruskan kehidupan. Hak itu tidak sedikitpun terhalang kerana perbezaan agama, bangsa, keturunan atau minoriti dalam sesebuah negara.

Semasa serahan hadiah, setiap sukarelawan perlu mematuhi SOP keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan demi mencegah perebakan wabak COVID-19.

Lokasi penerima kebanyakannya di sebelah Jinjang daerah Kepong dan Ampang. Antara rumah yang diziarahi adalah rumah Encik K Ganasan A/L Kuppusamy. K Ganasan mempunyai ramai anak dan beliau tidak bekerja kerana pernah pengsan di tempat kerja disebabkan masalah kesihatan. Sumber pendapatannya adalah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau menyambut baik kedatangan sukarelawan HALUAN dan menjemput mereka untuk masuk ke dalam rumah sambil bercerita mengenai rakan muslimnya kepada mereka.

Objektif program ini adalah demi melaksanakan sumbang saran terbaik di mana berbuat baik adalah satu daripada dasar Islam dalam hubungan etnik. Islam mengajar manusia berbuat baik sesama manusia termasuk kepada Non-Muslims kerana semuanya berasal daripada manusia pertama yang dicipta Tuhan iaitu Nabi Adam.

Dengan ini, generasi muda dapat belajar budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta menyambung sunah Nabi Muhammad SAW iaitu mengasihi manusia lain sebagaimana mengasihi diri sendiri. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Penyerahan bantuan tersebut tamat pada jam 8 malam.


Laporan Nurasna Abd Halim, Setiausaha Unit HALUAN Fitrah WPKL