fbpx

Guru Tadika PPMI Sabah Ikuti Kursus Program Alim Soleh

Guru Tadika PPMI Sabah Ikuti Kursus Program Alim Soleh

Guru Tadika PPMI Sabah Ikuti Kursus Program Alim Soleh

LAHAD DATU, SABAH, 20 Sep 2023 – Tugasan guru tadika bukanlah satu kerjaya yang mudah. Ia memerlukan kefahaman ilmu dan kesabaran yang tinggi. Ditambah pula cabaran berada di tempat yang terpencil dan jauh dari pembangunan.

Berikutan itu, pihak Alim Soleh telah menganjurkan Kursus Guru Kurikulum Program Alim Soleh di Tadika Dinamik, Lahad Datu yang melibatkan 20 orang guru tadika pada 15-18 September lepas.

Tadika yang terlibat adalah Tadika Dinamik Lahad Datu, Tadika Nur Kasih Tawau, Tadika PPMI Kunak, Tadika PPMI Kampung Tagupi, Tadika PPMI Simuning, Tadika PPMI Perpaduan Kampung Hidayat, serta Tadika PPMI Pulau Bum Bum, Sempurna. Kesemua tadika tersebut telah menerap Modul Alim Soleh dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran di tadika mereka.

Pengerusi program Alim Soleh, Puan Alfiah Samingan dan AJK Media Nurulbasyirah Yasni bersama empat orang guru pakar telah diundang dari semenanjung untuk memberi latihan dan pendedahan program Alim Soleh. Guru-gurunya adalah Puan Horsiah Ahmad, Puan Zulaini Ismail, Puan Shahbatun Abu Bakar, dan Puan Sofiah Abd Hadi.

Objektif kursus yang utama adalah bagi membugarkan para peserta kursus kepada Program Pendidikan Alim Soleh yang terdiri daripada Teras dan Huraian Teras serta Tema, Asmaul Husna dan Surah Ar Rahman. Selain itu, ia juga untuk meningkatkan kemahiran merancang dan melaksanakan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan menggabung jalin Kurikulum Standard Pra Sekolah Kebangsaan (KSPK) KPM dengan Kurikulum Alim Soleh HALUAN.

Dengan latihan sepanjang kursus, semua guru telah dapat membuat rancangan mengajar dan bahan bantuan mengajar dengan baik.

Temubual wakil media HALUANITA dengan Cikgu Nur Afifah Aliah menjelaskan, “Saya sangat bersyukur kerana dapat mengikuti kursus ini sehingga tamat. Ia telah memberi saya harapan dan semangat baharu untuk terus mendidik anak-anak tadika dengan ikhlas demi masa depan bangsa dan negara setelah melalui cabaran getir semasa wabak COVID19 melanda negara.”

HALUANITA dan pihak penganjur juga sangat berbangga kerana objektif kursus tercapai. Peserta berjaya mengikuti kursus sehingga tamat dan menerima sijil.


Laporan Nurulbasyirah Yasni dan Ummu Hani Mohd Nasaruddin
Biro HALUANITA