fbpx

Gempa bumi Turkiye-Syria: Bagaimana pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa?

Gempa bumi Turkiye-Syria: Bagaimana pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa?

Gempa bumi Turkiye-Syria: Bagaimana pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa?

BANDAR BARU BANGI, 10 Februari 2023 — Setakat ini, lebih 21,000 nyawa telah terkorban dalam bencana gempa bumi di selatan Turkiye dan utara Syria pada Isnin lalu.

Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) bergegas ke lapangan, di mana pasukan-pasukan pakar tiba dari serata dunia.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan yang terkesan teruk mendakwa operasi pasukan penyelamat agak perlahan. Bahkan mereka terpaksa menggunakan tangan untuk mencari ahli-ahli keluarga yang terperangkap di bawah runtuhan.

Bagaimana operasi mencari dan menyelamat dijalankan?

Setiba di lapangan bencana, pertamanya para penyelamat akan membuat penilaian untuk memutuskan bangunan runtuh yang manakah besar kemungkinan ada mangsa terperangkap. Mereka melakukannya dengan mencari “lompang-lompang” – ruangan di bawah rasuk konkrit yang besar atau ruang tangga di mana mangsa mungkin boleh ditemui.

Mereka juga mengambil kira kemungkinan bangunan tersebut akan runtuh lagi, serta beberapa kemungkinan bahaya yang lain seperti kebocoran gas, kebanjiran dan barangan berbahaya seperti atap asbestos.

Ketika para penyelamat cuba mendekati lokasi mereka yang terperangkap, petugas-petugas sokongan perlu memerhatikan pergerakan bangunan dan meneliti bunyi suara-suara pelik.

Lazimnya, operasi mencari di bangunan-bangunan yang sudah runtuh sepenuhnya akan dilakukan setelah selesai di bangunan-bangunan lain kerana kemungkinan menemui mangsa yang masih hidup adalah rendah.

Kerja-kerja pasukan penyelamat akan dikoordinasi oleh sebuah agensi, lazimnya agensi PBB dengan kerjasama negara tuan rumah. Para penyelamat perlu menjalani latihan khusus dan bekerja secara berpasangan atau dalam pasukan yag lebih besar, di mana penduduk tempatan juga selalu terlibat.

Apakah peralatan yang diperlukan?

Untuk mengalih runtuhan, pasukan penyelamat menggunakan jentera berat – termasuk mesin penggali dan pengangkat hidraulik.

Lantai-lantai konkrit besar di bahagian luar bangunan boleh ditarik ke tepi menggunakan penggali, bagi membolehkan penyelamat melihat sekiranya ada mangsa yang terperangkap di dalam.

Peralatan video di hujung batang fleksibel boleh dihantar melalui celah-celah runtuhan untuk membantu mengesan mangsa yang terselamat.

Peralatan bunyi khas boleh mengesan bunyi paling samar dalam jarak beberapa meter. Suasana sekeliling haruslah senyap ketika anggota penyelamat mengetuk tiga kali, dan berharap dapat mendengar jawapan.

Alat pengesan karbon dioksida boleh digunakan untuk mencari mangsa yang masih hidup yang tidak sedarkan diri. Alat ini berfungsi paling baik dalam ruangan terkurung di mana ia mengesan kepekatan CO2 yang lebih besar dalam udara yang dihembus oleh mangsa yang masih bernafas.

Alat pengimbas suhu boleh digunakan untuk mengesan orang yang berada di luar garis penglihatan penyelamat, kerana haba badan mangsa boleh memanaskan runtuhan di sekeliling mereka.

Apa yang boleh dilakukan oleh anjing-anjing penyelamat?

Menggunakan deria bau mereka, anjing yang terlatih boleh menangkap tanda-tanda kehidupan yang tidak dapat dilakukan oleh manusia.

Anjing juga dapat meliputi kawasan yang luas dengan cepat, justeru mempercepatkan proses mencari dan menyelamat.

Apakah orang perlu menggunakan tangan kosong?

Setelah lantai dan struktur besar dialihkan, pasukan penyelamat menggunakan tangan dan alatan kecil seperti tukul, beliung dan penyodok, serta gergaji rantai, pemotong cakera dan pemotong rebar – yang boleh digunakan untuk membuang batang logam dalam konkrit bertetulang.

Mereka mempunyai peralatan perlindungan, termasuk topi keledar dan sarung tangan untuk melindungi tangan mereka semasa mengeluarkan kepingan runtuhan yang tajam.

Bagaimanapun, di beberapa kawasan di Turki – di mana proses menyelamat agak perlahan – penduduk tempatan menggali runtuhan yang basah beku menggunakan tangan kosong.

Bedia Gucum, pemilik restoran di Adana di selatan Turki, memberitahu BBC: “Kami memerlukan sarung tangan yang kuat untuk mengalihkan runtuhan dengan tangan. Kerana apabila mereka mendengar seseorang masih hidup di dalam sana, semua jentera berat berhenti dan mereka perlu menggali dengan tangan, dan itu adalah di luar kemampuan manusia.

“Anda memerlukan tangan di tapak operasi, dan anda perlu guna sarung tangan.”

Bagaimanakah masa tamat sesuatu operasi diputuskan?

Keputusan ini dibuat antara agensi penyelaras PBB dan kerajaan pusat dan tempatan negara tuan rumah.

Percubaan mencari dan menyelamat biasanya ditangguhkan antara lima dan tujuh hari selepas bencana, apabila tiada seorang pun ditemui hidup selama satu atau dua hari.

Bagaimanapun, telah berlaku banyak kes di mana mangsa diselamatkan hidup-hidup selepas tempoh tersebut.

Pada tahun 2010, seorang lelaki ditemui hidup selepas 27 hari dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan dalam bencana gempa bumi di Haiti.

Pada tahun 2013, seorang wanita telah ditarik keluar dari runtuhan bangunan kilang di Bangladesh, 17 hari selepas ia runtuh.


Sumber asal: BBC


Masyarakat prihatin boleh bersama HALUAN serta gabungan NGO dalam meringankan bebasan saudara kita yang ditimba musibah perit ini. Sama-sama kita hangatkan mereka dengan doa dan infak tulus ikhlas. Bertindak sekarang di melalui pautan di bawah:-

Turkiye & Syria Earthquake

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.

ATAU

Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN

Maybank Islamik Berhad

562263502611

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)

Bank Islam Malaysia Berhad

14023010025718

Sila hantar mesej pengesahan kiriman derma anda ke nombor telefon wa.me/601120511909 untuk tujuan rekod dan permintaan resit.