fbpx

HALUAN Bersiap Hantar Bantuan Untuk Mangsa Gempa Bumi di Turkiye Dan Syria

HALUAN Bersiap Hantar Bantuan Untuk Mangsa Gempa Bumi di Turkiye Dan Syria

HALUAN Bersiap Hantar Bantuan Untuk Mangsa Gempa Bumi di Turkiye Dan Syria

BANDAR BARU BANGI, 8 Februari 2023 — Lebih 13 juta penduduk Turkiye terkesan oleh gegaran berganda gempa bumi terbesar pernah melanda negara itu sejak tahun 1939. Pegawai Kanan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Adelheid Marschang, menganggarkan sehingga 23 juta orang di Turkiye dan Syria terdedah kepada impak bencana ini, termasuk lebih sejuta kanak-kanak.

Selepas hujan lebat serta salji turun di selatan Turkiye dan utara Syria, cuaca sejuk terus menghantui mangsa. Begitu kritikal keadaan mereka, hingga terpaksa memilih di antara mengambil risiko berteduh dalam bangunan rosak yang akan roboh, atau berjaga di luar bangunan dalam kesejukan.

Bagi penduduk Syria di wilayah bersempadan Turkiye, mereka dikejutkan dengan gegaran ketika negara sudah musnah akibat peperangan selama lebih 10 tahun. Di Idlib, wilayah Syria yang paling teruk terkesan, sekitar empat juta penduduk terpaksa hidup dalam serba kesusahan sejak beberapa tahun – berteduh dalam khemah-khemah sementara dalam cuaca membeku dan sering dilanda banjir.

Menginsafi krisis kemanusiaan yang sedemikian rupa, HALUAN melancarkan kempen “Emergency Appeal Turkiye & Syria Earthquake” bagi menghantar bantuan ke lapangan, dengan menyasarkan kutipan dana bernilai RM1juta.

HALUAN mengambil perhatian khusus kepada nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tentang keadaan di lapangan yang masih tidak menentu. Justeru misi bantuan HALUAN akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu:

Fasa 1 – menghantar bantuan segera melalui kerjasama rakan NGO di Turki dan Syria. Antara keperluan yang akan disumbangkan termasuklah selimut, stoking tebal, jaket, alas lantai, dapur mudah alih, makanan bayi dan makanan siap dimakan.

Fasa 2 – menghantar relawan ke lapangan yang kurang mendapat perhatian bantuan luar, khususnya di wilayah Syria bersempadan Turkiye, melalui gabungan NGO Malaysia di bawah makluman NADMA serta Kementerian Luar Negeri.

HALUAN menjalin kerjasama erat dengan rakan NGO di Turkiye dan Syria sejak lebih 15 tahun lalu. Antaranya dalam membantu pembinaan Pusat Pendidikan Komuniti Syria (SCEC) di Şanlıurfa, tenggara Turkiye, dan penubuhan pusat pendidikan kanak-kanak TASKI Al-Khansaa di Idlib, Syria. HALUAN juga pernah menghantar pasukan relawan ke wilayah Hatay di sempadan Turkiye-Syria pada tahun 2014 dalam Misi Bantuan Musim Sejuk untuk pelarian Syria.

Masyarakat prihatin boleh bersama HALUAN serta gabungan NGO dalam meringankan bebasan saudara kita yang ditimba musibah perit ini. Sama-sama kita hangatkan mereka dengan doa dan infak tulus ikhlas. Bertindak sekarang di melalui pautan di bawah:-

Turkiye & Syria Earthquake

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.

ATAU

Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN

Maybank Islamik Berhad

562263502611

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)

Bank Islam Malaysia Berhad

14023010025718

Sila hantar mesej pengesahan kiriman derma anda ke nombor telefon wa.me/601120511909 untuk tujuan rekod dan permintaan resit.


Laporan mediaHALUAN