fbpx

Gema Semula: Laungan Desak Gencatan Senjata di Kuala Lumpur

Gema Semula: Laungan Desak Gencatan Senjata di Kuala Lumpur

Gema Semula: Laungan Desak Gencatan Senjata di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 14 Jan 2023 — Laungan “Free Palestine”, “Hancur Israel”, “Ceasefire Now” serta “Zionis Koyak” kembali bergema di Kuala Lumpur apabila lebih 2,000 orang daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa berhimpun menyertai perhimpunan “Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza”, di sini semalam.

Perhimpuan yang diadakan tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak itu merupakan kempen bersama Hari Bertindak Global yang diadakan di sekurang-kurangnya 74 kota di 38 buah negara termasuk Jakarta, London, Paris, Johannesburg dan Washington.

Cuaca panas terik tidak menghalang para peserta kekal di lokasi sehingga jam 3.00 petang, di mana seramai 28 individu mewakili NGO dan parti politik berucap menuntut serta mendesak rejim Zionis menghentikan serangan genosid. Ucapan mereka diselangi persembahan “flashmob” bagi menggambarkan penderitaan rakyat Palestin.

Ketua Biro HALUAN Palestin, Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman telah mengucapkan tahniah kepada yang hadir, walaupun bilangannya tidak sebesar kehadiran dalam perhimpunan di London atau Jakarta, kerana peranan para peserta adalah merupakan titik-titik tindakan ke arah pembebasan bumi Palestin.

“Kita yang hadir ini sebenarnya meraikan kebenaran, dan kebenaran itu sudah pasti akhirnya akan menang dan kebatilan akan hancur musnah,” tegas Ustaz Mohammad Umar Aiman. 

Beliau juga menggesa supaya masyarakat terus berpegang teguh dengan kebenaran sebagaimana yang sentiasa ditunjukkan oleh rakyat Gaza. Penduduk Palestin di Gaza tetap cekal mempertahankan maruah dan tanah air walaupun diserang tidak berkesudahan. Justeru rakyat Malaysia janganlah bertindak secara bermusim, sebaliknya terus membicarakan isu Palestin kerana kemenangan itu pasti akan tiba. “Kehadiran kita dalam perhimpunan ini menjadi jasa kepada dunia,” tegas beliau.

Secara keseluruhan, semua wakil menyentuh tentang perkembangan pendakwaan ke atas rejim Zionis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Afrika Selatan memfailkan kes terhadap rejim Zionis kerana kedua-dua negara menandatangani Konvensyen Genosid PBB, yang diwujudkan pada 1948 sebagai tindak balas kepada Holocaust.

Serangan berdarah rejim Zionis ke atas penduduk Gaza kini memasuki hari ke 100. Lebih 24,000 orang telah terkorban dan ribuan yang lain hilang. Manakala lebih 70% bangunan termasuk rumah penduduk musnah menjadi debu.

Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia yang juga Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh turut hadir menyampaikan ucapan. Turut dilihat hadir adalah Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek, serta beberapa keluarga warga asing dari negara Barat.

—————-

Laporan Bahagian Media
HALUAN Malaysia