Generasi Muda Harus Terajui Kesedaran Palestin
PUNCAK ALAM, SELANGOR, 11 Jan 2023 — Generasi muda terutama kalangan mahasiswa harus memimpin usaha menyebarkan isu Palestin yang sebenar kepada masyarakat, sekaligus berperanan dalam agenda membebaskan bumi anbiyak itu daripada cengkaman rejim zionis.
Menjawab persoalan tentang peranan para pelajar pusat pengajian tinggi dalam satu forum yang diadakan di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Ketua Biro HALUAN Palestin, Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman menasihati golongan muda agar benar-benar menguasai ilmu dalam bidang yang mereka ceburi sehingga berjaya mencipta produk-produk yang akan dapat membebaskan masyarakat daripada kebergantungan kepada kemahiran dunia Barat yang sememangnya mendukung rejim zionis secara tegar.
Forum Kempen Kesedaran Tentang Isu Palestin (Coretan Palestin) itu dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik. Program tersebut merupakan salah satu aktiviti keperluan akademik yang wajib dipenuhi setiap mahasiswa jurusan tersebut sebagai projek tahun akhir mereka.
Ustaz Mohammad Umar Aiman telah dijemput menjadi ahli panel, disertai Pengurus Media dan Komunikasi Korporat HALUAN, Encik Mohd Nizam Mohamad. Turut hadir di sepanjang program tersebut adalah pensyarah penyelia kursus yang juga berperanan sebagai penasihat program, Puan Farrah ‘Aini Lugiman. Majlis forum dikendali moderator Aida Karmila Mohammad Aswandi.
Menurut Ustaz Mohammad Umar Aiman lagi, mahasiswa juga harus menggunakan sepenuhnya kemudahan media sosial bagi menyebarkan kefahaman yang betul tentang Palestin dan melawan serangan media Barat yang memutar-belit fakta bagi menjaga kepentingan rejim Zionis.
Mohd Nizam turut menerangkan bagaimana media Barat memainkan peranan membawa naratif songsang sehingga penduduk Palestin yang dizalimi dan dirampas hak mereka dilihat sebagai pengganas, manakala rejim Zionis yang membunuh serta menzalimi penduduk Palestin dianggap sebagai mangsa.
Dalam menjawab soalan tentang perkembangan semasa di Palestin, Encik Mohd Nizam menegaskan bahawa selain serangan yang tidak berkesudahan, penduduk Gaza kini berhadapan dengan ancaman kebuluran dan penyakit berjangkit. Mereka juga bakal berhadapan dengan musim sejuk tanpa tempat berteduh, dalam keadaan lebih 70% bangunan termasuk rumah di Gaza telah musnah.
“Kita juga perlu peka dengan kezaliman yang berlaku di Tebing Barat dan Kota Baitulmaqdis yang dipenuhi dengan sekatan tentera, rampasan tanah dan rumah, serangan oleh pendatang Yahudi, penangkapan tanpa alasan, serta penyiksaan tahanan dalam penjara,” tegas beliau kepada mahasiswa.
Para pelajar turut mengambil kesempatan bertanya tentang pengalaman ahli-ahli panel dalam usaha membantu penduduk Palestin.
HALUAN mengucapkan tahniah kepada kumpulan mahasiswa yang telah menjayakan program tersebut demi cakna Palestin. Ia adalah salah satu usaha murni dalam membantu pembebasan bumi barakah Palestin akhirnya.
——-
Laporan Muhammad Mus’ab Sa’ari
Setiausaha Kerja Kanan HALUAN