fbpx

Era Muslimah Kini Berwajah Baru

Era Muslimah Kini Berwajah Baru

Era Muslimah Kini Berwajah Baru

ULU TIRAM, JOHOR, 31 Mei 2015 – Penerbitan majalah Era Muslimah telah mendapat nafas baru dengan sentuhan khas Biro HALUANITA mulai keluaran Jun 2015 ini. Perlancaran Era Muslimah Bil 30 tersebut telah disempurnakan oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman sempena upacara Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN (MTP) Ke-26 yang berlangsung di sini sejak 29 Mei.

Perlancaran konsep baru majalah tersebut turut disaksikan oleh lebih seribu orang perwakilan, pemerhati dan jemputan khas dari seluruh negara, suatu kejayaan unggul oleh HALUANITA yang sedang memantapkan pasukan editorialnya.

Biro HALUANITA telah terlibat secara langsung sebagai sidang editorial dan juga kolumnis majalah Era Muslimah kali ini dan seterusnya. Tugas ini telah diletakkan di bawah Biro Penerangan HALUANITA yang mempunyai skop tugas memfokus kepada media dan penerbitan bertujuan mempergiatkan penglibatan wanita di serata negara untuk menambahkan amal dan takwa mereka kepada Allah SWT.

Dengan tema penting, Walimah: Biar Mudah Asalkan Berkat, keluaran pertama ini turut menampilkan beberapa kolum yang ditulis sendiri oleh ahli HALUANITA iaitu terdiri daripada:

  1. Kolum Dari Meja HALUANITA
  2. Kolum Topik
  3. Kolum Psikologi & Kaunseling
  4. Kolum Teknologi & Dunia Siber
  5. Kolum Persediaan
  6. Kolum Kembara
  7. Kolum NGO, serta
  8. Kolum Bingkisan dari Madinah

Selain itu, Biro HALUANITA turut mencadangkan kolum baru seperti Kolum Hijrah Menara Gading. Keluaran kali ini sangat menarik dengan tajuk semasa seperti Misi Kemanusiaan Nepal, topik berkait tajuk Muktamar HALUANITA Kebangsaan 2015 yang lepas iaitu Wanita Mulia Ummah Sejahtera, dan topik semasa seperti Sejauhmana Selfie Dibenarkan; selain tema utama yg perlu diberi perhatian agar rumahtangga yang dibina penuh barakah.

Biro HALUANITA turut melantik sekumpulan penulis untuk menyumbang artikel kepada majalah ini dalam penerbitan seterusnya. Dari segi promosi dan edaran pula, seramai 14 pengedar dari seluruh Malaysia telah dilantik supaya majalah ini dapat diagih, diedar secara sistematik dan menemui pembacanya.

Majalah Era Muslimah ini diyakini akan dapat menjadi bacaan alternatif popular untuk pembaca di Malaysia, khasnya wanita, yang dahagakan ilmu dan bahan santai Islamik, di samping dapat pula membina potensi ahli HALUANITA untuk terlibat dalam dunia penulisan dan penerbitan serta media massa secara lebih aktif lagi.

Laporan oleh Dr Zurina Muda, Biro Penerangan HALUANITA
Foto oleh Nazim Amzed