fbpx

Gilang Gemilang Perasmian MTP HALUAN Ke-26

Gilang Gemilang Perasmian MTP HALUAN Ke-26

Gilang Gemilang Perasmian MTP HALUAN Ke-26

ULU TIRAM, JOHOR, 30 Mei, 2015 – Melepasi suku abad penubuhannya kini Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan berdiri gagah menongkah kebaktian di segenap lapangan yang memerlukan khidmat dan bimbingannya.

Jelas motto Berakhlak, Mendidik dan Berbakti menjadi pemangkin kepada ribuan ahlinya di dalam dan di luar negara dalam menyantuni masyarakat dengan penuh prihatin dan empati. Dalam upacara gilang gemilang sambutan Mesyuarat Tahunan Perwakilannya HALUAN (MTP) yang ke-26, Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman telah mengalu-alukan lebih 1,000 perwakilan, pemerhati dan ahli-ahli HALUAN serta dif-dif kehormat yang datang dari segenap pelusuk negara ke negeri Johor, kali pertama dalam sejarahnya.

Keceriaan bukan saja terpancar di wajah beliau malahan di kalangan peserta yang berhimpun sejak semalam di Savanna Hill Resort di sini untuk menadah ilmu, berdiskusi, berbahas dan menajamkan akal demi melangkah masuk ke era yang semakin mencabar. Majlis perasmian MTP-26 ini telah disempurnakan oleh Encik Jamaludin Md Ali, Naib Presiden Kanan, Jabatan CSR, Johor Corporation (JCorp). Beliau di dalam ucapannya telah menyatakan bahawa kita perlu merapatkan diri kepada masyarakat luar hingga ke akar umbi untuk mengenal pasti masalah. Beliau turut berbangga organisasi HALUAN sentiasa turun padang dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“NGO HALUAN telah melaksanakan tanggungjawab ini dengan melibatkan diri dalam isu banjir, Palestin dan baru-baru ini di Nepal, Projek di Sabah, tsunami dan lain-lain oleh HALUAN sendiri. HALUAN telah menunjukkan keprihatinannya, tahniah!” jelas beliau.

Di antara NGO dan pihak yang menghantar perwakilan mereka adalah Badan Agama Dan Pelajaran Radin Mas (BAPA) dari Singapore, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Zon Selatan, Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Johor (ISMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Cawangan Johor (PERKIM) dan Ketua Kg. Sungai Tiram.

Sebelum itu, majlis telah diserikan dengan upacara pemeriksaan perbarisan Briged Pemuda HALUAN sebagai mengalukan ketibaan dif-dif kehormat, diikuti dengan alunan bacaan al Quran oleh Encik Jaafar Sulaji, Bilal Masjid Kg. Sg. Tiram. Ini diikuti dengan nyanyian penuh bertenaga lagu Negara Ku dan lagu rasmi HALUAN.

Dalam mengalu-alukan kedatangan para delegasi, Dr Abdullah menjelaskan bahawa tema kali ini “Organisasi Profesional Ke Arah Keamanan Dan Kewujudan Bersama” adalah cerminan hasrat HALUAN serta ahli-ahlinya untuk mendaki paradigma yang lebih cekap terancang serta tersusun untuk memartabatkan umat Islam sebagai generasi canggih bertamadun penuh empati, tidak sepertimana yang cuba dikelirukan oleh media antarabangsa. Generasi yang melaksanakan agenda perubahan yang berkesan untuk setiap lapisan masyarakat tidak kira strata, etnik, agama atau warga.

“Kesudian tuan-puan hadir ke sini sudah cukup membuktikan inilah pertemuan hati-hati kita semua demi menyemarakkan lagi ruh berkerja dalam visi yang satu serta mengukuhkan lagi tali ukhuwah Islamiah yang telah terjalin. Dewasa ini, umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran. Kita melihat satu senario yang jelas menunjukkan umat Islam di serata dunia sedang bergelut dengan cabaran-cabaran semasa yang benar-benar menyentap seluruh keyakinan, keimanan, kepercayaan dan intipati kekuatan mereka terhadap Islam,” katanya.

Beliau menyentuh isu-isu geopolitik antarabangsa yang mengancam merubah peta dunia Islam kini kepada agih-serpih yang semakin membimbangkan, menguntai polemik demi polemik tiada kesudahan yang akhirnya melemahkan deen Islam itu sendiri. Dalam negara pula, beliau melahirkan keresahan yang kini menjadi buah mulut rakyat jelata yang semakin celik dan menagihi perubahan, ketelusan dan jawapan daripada para pemimpin negara. Ucapan penuh bertenaga beliau boleh dimuat turun melalui laman web rasmi HALUAN.

Selain daripada mesyuarat perwakilan hari ini, para peserta turut berpeluang menikmati pelbagai aturcara menarik beramai-ramai. Pada hari Jumaat dan Sabtu misalnya, Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) membuka klinik khas rawatan pakar untuk ahli-ahli yang berusia melebihi 40 tahun. Mereka dikehendaki membawa laporan makmal sebelum bertemu doktor. Ini kali pertama KKH menawarkan khidmat doktor pakar terdiri daripada ahli-ahlinya sendiri .

Acara riadhah, ceramah umum, forum perdana serta penyediaan berpuluh buah gerai jualan pelbagai barangan dan perkhidmatan memeriahkan lagi suasana karnival di MTP kali ini yang dibukakan juga untuk kunjungan orang ramai. Sudah pasti MTP kali ini bakal menjadi salah satu mercu tanda HALUAN yang akan kekal dalam memori delegasi yang hadir.

Laporan oleh mediaHALUAN
Foto oleh Nazim Amzed