fbpx

Catatan Relawan HALUAN Melaka & Negeri Sembilan di Segamat

Catatan Relawan HALUAN Melaka & Negeri Sembilan di Segamat

Catatan Relawan HALUAN Melaka & Negeri Sembilan di Segamat

Relawan-relawan HALUAN dari Melaka dan Negeri Sembilan telah menyertai Misi Kemanusiaan Bencana Banjir Johor (MKBBJ) di Segamat pada 15 dan 16 Disember 2007 yang lalu.


Pasukan kami yang terdiri daripada 5 orang sukarelawan telah bertolak ke Segamat pada jam 09:00 pagi 15 Dis 2007. Dengan berbekalkan persediaan dalam tempoh kurang dari 24 jam, kami bertolak dengan hasrat yang satu, iaitu untuk mendidik dan berbakti kepada mangsa-mangsa banjir, semoga dapat sikit sebanyak meringankan beban mereka.

Setibanya kami di pusat koordinasi MKBBJ Segamat yang terletak di Kampung Tengah, kami diberi taklimat mengenai keadaan terkini banjir di Segamat. Pusat koordinasi ini telah dibuka sejak 12 Disember lepas. 4 kumpulan Relawan HALUAN bersama seorang doktor masing-masing dalam setiap kumpulan telah pun di hantar ke pusat-pusat penempatan banjir sekitar Segamat sebelum pasukan kami tiba.

Jam 2.30 ptg, kami berlima bertolak ke Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah untuk membantu membersihkan sekolah tersebut yang turut dilanda banjir. Kami membersihkan apa yang termampu kami lakukan. Peralatan kerusi meja yang diselaputi lumpur kami bersihkan. Buku-buku teks yang berselerakan kami kumpulkan untuk diangkut oleh lori pembersih. Pastinya buku-buku teks yang terendam lama di dalam air itu tidak lagi boleh digunakan. Kami hanya mampu berdoa agar para pelajar-pelajar di sekolah ini tabah menghadapi musim persekolahan yang akan tiba tidak berapa lama lagi.

Kerja-kerja pembersihan tamat kira-kira jam 5 petang dan kami bertolak balik ke pusat koordinasi untuk meneruskan tugasan di tempat lain. Selesai solat maghrib, kami bertolak ke salah sebuah pusat penempatan banjir untuk menjalankan beberapa aktiviti bersama penduduk di sana. Kali ini, kami bersama-sama menjayakan program ceramah dan permainan-permainan berbentuk motivasi. Alhamdulillah, program pada malam itu yang berakhir pada jam 11.30 malam telah dapat memberi keriangan kepada mereka yang sedang dilanda musibah tersebut.

Pada keesokan harinya, seawal jam 5 pagi kami bersiap untuk solat Subuh. Seperti biasa, sebelum meneruskan kerja-kerja bantuan, kami berkumpul untuk mendengar sedikit kata-kata semangat dan perangsang daripada relawan-relawan HALUAN yang lebih senior. Antara lain, kami diingatkan agar terus ikhlas bekerja kerana ganjaran kepada amal-amal kebajikan yang ikhlas pasti tidak terhitung nilainya.

Jam 9 pagi kami ke pusat penempatan kampung Tendong untuk bersama anak-anak mangsa banjir di sana. Kami telah dapat mengumpulkan seramai 13 orang kanak-kanak yang masih belajar dalam sekolah rendah untuk memberi mereka sedikit semangat dan berkongsi pengalaman kami sebagai pelajar dan bekas pelajar IPT. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman dan sedikit hadiah, kami berjaya menceriakan mereka dengan beberapa aktiviti perbentuk permainan, nyanyian dan cerita. Aktiviti kami tamat kira-kira jam 12 tengahari dan kami terus bertolak balik ke pusat koordinasi. Selepas solat Zohor, kami bertolak pulang ke Melaka. Semoga sedikit usaha kami ini dapat mendidik kami mengenal dan menginsafi realiti kehidupan, untuk terus mendidik dan berbakti kepada masyarakat tercinta. Hanya balasan baik dari Allah yang kami harapkan.