fbpx

Biro HALUANITA Ziarah Fakir Miskin

Biro HALUANITA Ziarah Fakir Miskin

Biro HALUANITA Ziarah Fakir Miskin

KLANG, 1 Ogos 2013 — Sempena Ramadhan 1434 Hijrah, Biro HALUANITA Unit Klang telah mengadakan Program Ziarah Ramadhan bertempat di Kampung Jalan Kebun, Klang. Program satu hari ini dijalankan pada hari Ahad, 28 Julai yang lalu bermula 10.00 pagi dan berakhir pada 1.30 petang.

Seramai sepuluh orang wakil Biro HALUANITA terlibat dalam program pada kali ini yang terdiri dari para remaja dan kaum ibu yang diketuai oleh Ketua Biro HALUANITA Unit Klang, Puan Salmah Yono.

Program ini bertujuan untuk membantu fakir miskin, ibubapa tunggal, membina hubungan dengan warga Kampung Jalan Kebun Klang dan menanamkan rasa bersyukur serta cukup di kalangan peserta dengan rezeki yang diperolehi. Program ini diharapkan dapat meringankan beban mereka untuk menghadapi syawal yang akan tiba.

Dua kumpulan telah dibentuk dan setiap satu kumpulan menziarahi lima buah rumah. Kumpulan pertama yang diketuai oleh Puan Salmah telah mengunjugi rumah Puan Saodah Atan. Beliau telah lama sakit dan tinggal berseorangan serta tidak menerima bantuan dari mana-mana pihak. Mereka turut menziarahi beberapa buah rumah ibu-ibu tunggal yang mempunyai anak. Kehidupan mereka sangat daif dan juga tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

Kumpulan kedua yang diketuai oleh Puan Kalsom pula menziarahi keluarga miskin, ibu tunggal dan juga seorang duda yang juga telah lama sakit. Lelaki itu telah ditinggalkan isterinya dan terpaksa menampung kos sara hidup enam orang anaknya yang masih bersekolah. Bantuan yang diterimanya daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak mencukupi untuk menanggung keluarganya.

Rata-rata penerima sumbangan mengucapkan syukur tak terhingga. Mereka sangat gembira, terharu dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Puan Nur Sarah Abd Rashed, wakil Biro HALUANITA Unit Klang turut menukilkan, “Prihatin Biro HALUANITA dalam memberi sumbangan adalah satu tanggungjawab badan itu bersesuaian dengan motto HALUAN ‘Berakhlak, Mendidik dan Berbakti’. Kerja-kerja ini merupakan satu medan dakwah untuk mendidik masyarakat kearah ubudiyah kepada Allah SWT.”


Laporan oleh: Nur Sarah Abd Rashid
Dikarang oleh: Nurul Zati Amani Mahmud