fbpx

Imam Hafiz Gaza Semarak Ramadan di Kuantan

Imam Hafiz Gaza Semarak Ramadan di Kuantan

Imam Hafiz Gaza Semarak Ramadan di Kuantan

Program Ramadan Bersama Huffaz 1434H yang dipelopori oleh HALUAN bermula dengan Ramadan tahun 1432/2011 membawa masuk imam-imam hafiz dari negara-negara Islam yang bergolak. Tahun ini, imam huffaz terpilih dibawa khusus dari empat buah negara, iaitu Palestin, Syria, Somalia dan Kemboja. Program yang bermotokan “Setitis Amal Semerbak Ummah” ini dikendalikan bersama oleh Biro HALUAN Palestin dan Biro Misi Kemanusiaan.

Daerah Kuantan, Pahang menerima seorang imam dan hafiz muda dari Gaza, Palestin iaitu Syeikh Mahmud Nabil Rajjab Khillah. Walaupun baru berusia 23 tahun, beliau mempunyai kebolehan dan kemahiran luar biasa membaca al Quran secara bertaranum yang menarik perhatian dan tumpuan para jemaah solat tarawikh yang menjadi makmum. Kehadiran beliau telah menyemarakkan lagi suasana Ramadan di Kuantan pada tahun ini.

Lebih 20 buah masjid telah disantuni oleh Sheikh Mahmud Nabil dengan menjadi imam solat tarawikh, menyampaikan tazkirah serta mengalunkan qasidah khas di samping bertukar tukar fikiran dengan ahli jemaah yang hadir.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Pahang, Encik Abd Bashir Abd Ghani merangkap penyelaras program, sambutan masyarakat Kuantan sangat menggalakkan. Masjid dan surau yang disantuni oleh imam hafiz ini sentiasa dipenuhi para jemaah yang datang untuk mendengar dan menghayati kelunakan bacaan al-Quran dalam solat tarawikh.

Tabung derma untuk Palestin yang diedarkan di masjid dan surau di mana beliau hadir menerima sumbangan yang sangat menggalakkan daripada para penderma yang pemurah. Ini menggambarkan komitmen dan keperihatinan rakyat Malaysia yang tinggi bagi membantu saudara mereka yang menderita khasnya di Palestin dan negara lain.

Selain masjid serta surau, agensi kerajaan dan sekolah juga tidak ketinggalan menjemput beliau dan menganjurkan program khas bagi mengimarahkan Ramadan termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kolej Profesional Mara dan Sekolah Kebangsaan Kampung Padang. Malah pihak Jabatan Penyiaran Radio 3 Pahang turut tidak melepaskan peluang menjemput beliau ke studio untuk merakam bacaan al-Quran dan azan oleh Sheikh Mahmud Nabil.

Dalam siri tazkirah di masjid-masjid, Sheikh Mahmud Nabil seringkali meluahkan perasaan gembira berpeluang menjejak kaki dan berkhidmat di Malaysia, sebuah negara umat Islam yang aman, harmoni, bersih dan tersusun. Beliau turut teruja melihat masyarakat Islam di sini yang rata-rata masih kuat berpegang dengan ajaran Islam dan sunnah nabi termasuklah memakai pakaian menutup aurat bagi wanita dan masih ramai yang mengerjakan solat berjemaah di masjid dan surau.

Beliau juga tidak lupa menceritakan kisah umat Islam di Gaza yang menyambut Ramadhan dalam keadaan serba kekurangan terutamanya setelah pintu masuk ke Gaza di Rafah ditutup oleh tentera Mesir sejak berlaku konflik di negara Mesir. Gaza kini semakin kekurangan bekalan makanan, petrol dan elektrik yang menyukarkan kehidupan.

Sheikh Mahmud Nabil menyeru umat Islam di Malaysia supaya terus memberi sokongan kepada perjuangan dan terus membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza dalam bentuk sumbangan kewangan dan kiriman doa-doa yang ikhlas. Menurut beliau lagi, walaupun mereka dikepung dan hidup dalam kesukaran namun beliau tetap bersyukur kerana rezeki daripada Allah SWT melalui pintu langit masih boleh dimanfaatkan oleh rakyat Gaza bagi meneruskan kehidupan.

Beliau amat yakin selagi hubungan rakyat Palestin dengan Allah SWT melalui al-Quran masih kuat dan utuh, Allah SWT pasti akan membantu mereka dengan memberikan rezeki dan kecukupan hidup walaupun hanya bergantung makanan untuk hidup dengan berbekalkan minyak zaitun dan zaatar.

Beliau sangat teruja berada dalam lingkungan masyarakat Melayu Islam yang menunjukkan semangat ukhuwah dan persaudaraan yang tinggi. Walaupun memiliki susuk tubuh badan yang agak besar namun ia tidak berasa janggal bersama mereka malah lebih membanggakan kerana memiliki hobi berenang dan mempunyai suara yang lunak.

Rakaman bacaan al-Quran dan laungan azan Sheikh Mahmud Nabil telah mula berkumandang di Radio 3 Pahang yang pasti mengamit memori para jemaah yang pernah bertemu dengan beliau pada Ramadan tahun ini. Itulah setitis amal yang mampu beliau lakarkan di bumi Malaysia bagi menyemarakkan ummah untuk menyintai dan membantu membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa.


Laporan oleh Abd Bashir Abd Ghani, Ketua Biro HALUAN Palestin Cawangan Negeri Pahang