fbpx

3M 2013 Berjaya Tarik Minat Mahasiswa

3M 2013 Berjaya Tarik Minat Mahasiswa

3M 2013 Berjaya Tarik Minat Mahasiswa

BANGI, 17 Mac 2013 -– HALUANSiswa Health Sciences (HS2) berjaya menganjurkan program Motivasi Minda Medik atau 3M untuk kesekian kalinya bertujuan memupuk kefahaman dan kerjasama mahasiswa bidang perubatan, pergigian dan paramedik dalam menongkah arus pembelajaran dan kerjaya yang semakin mencabar.

Program padat lagi penuh manfaat sehari suntuk bertemakan “Mahasiswa Islam dan Aktiviti Kesukarelawanan” itu dilancarkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan penglibatan lebih 60 orang peserta daripada pelbagai universiti dan kolej. Program diisikan dengan dua penyampaian kertas kerja dan bengkel berserta satu sesi forum yang menarik bersama para sukarelawan kemanusiaan berpengalaman.

Program 3M Siri 1 ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada para peserta betapa pentingnya seorang mahasiswa Islam menyertai aktiviti kesukarelawanan demi ganjaran pahala. Mereka juga didedahkan berkenaan persediaan untuk menjadi seorang sukarelawan serta mampu mengenalpasti peluang-peluang untuk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan.

Pada sebelah paginya, pensyarah Fakulti Sains Kimia UKM, Prof. Madya Dr Azizan Ahmad telah membuka tirai dengan tajuk Ciri-Ciri Peribadi Mukmin. Antara lain, beliau menerangkan kepentingan lima daripada 10 muwasofat tarbiyah dalam diri seorang mahasiswa Islam sebagai persediaan sebelum mengikuti aktiviti kesukarelawanan. Ianya adalah aqidah yang sejahtera; ibadah yang benar; akhlak yang mulia; mampu bekerja dan berusaha; dan pemikiran berilmu.

“Umat Islam hari ini telah kehilangan jati diri. Peribadi Muslim kini sukar dibezakan dengan non-Muslim. Maka membentuk sahsiah Islamiah sudah menjadi tanggungjawab wajib kita bersama. Iman bukanlah satu angan-angan tetapi perkara yang memerlukan pembuktian melalui amalan kita. Sebagai mahasiswa, kamu harus menongkah arus perubahan ini,” jelas beliau yang juga merupakan Naib Presiden 1 HALUAN Malaysia.

Katanya lagi, orang beriman hatinya sensitif terhadap kerja-kerja kebajikan. “Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya dan bersedih atas keburukannya maka dia adalah seorang Mukmin.” (HR Thabrani).

Sesi seusai makan tengahari telah diisikan oleh Dr Burhanuddin Busu, seorang doktor pakar ortopedik berpusat di London dan pensyarah lawatan dan mantan Dekan di Fakulti Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau telah membentang tajuk Laluan Kerjaya: Persiapkan Diri Sekarang. Peserta telah didedahkan kepada fakta dan statistik unjuran masa depan dan persiapan awal yang perlu dilakukan oleh setiap mahasiswa dalam bidang Health Sciences.

“Nilai kamu bukan berdasarkan kepada berapa banyak yang kamu ada tetapi berdasarkan berapa banyak yang kamu sanggup beri. Jangan bertanya apa yang saya nak jadi tetapi di manakah saya diperlukan sangat-sangat dan bagaimana cara terbaik untuk saya laksanakan tugasan itu”, katanya. “Kita kena rancang masa depan kita dan kerjaya bukan untuk dapat banyak (kepentingan peribadi) tetapi untuk memberi sebanyaknya di tempat yang kita paling diperlukan.”

Sesi terakhir yang dinanti-nantikan adalah forum yang bertajuk Kepentingan Penglibatan Mahasiswa Islam Dalam Aktiviti Kesukarelawanan. Ianya dianggotai oleh Dr Nusaibah Mutmainnah Azmi, Dr Wan Muhaizan Wan Mustaffa dan Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan al-Hadad. Sesi ini dipengerusikan oleh Encik Muhammad Shakir Sabarudin.

Pelbagai kupasan menarik pengalaman yang menyeronokkan, menakutkan, cemas dan ngeri telah dikongsikan bersama oleh para panel jemputan. Peserta sangat teruja dengan penonjolan pengalaman mereka ini hinggakan masa tidak mencukupi. Antara rumusan adalah mahasiswa Islam harus sedar dan faham pentingnya mereka melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan. Mereka harus lebih aktif dan berlumba-lumba dalam aktiviti kesukarelawanan, bersaing dengan mahasiswa bukan-Muslim. Panelis juga membincangkan bagaimana untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan dan membahagikan masa belajar dan beraktiviti.

Dr Syed Haleem sebagai doktor dan Ketua Biro HALUAN Palestin turut menekankan kepentingan menjaga keikhlasan hati dalam bersukarelawan. “Elakkan rasa ujub dan besarkan kurnia Allah kepada kita sebagai relawan,” nasihat beliau.

Menurut Nik Ahmad Hatim Nik Muhammad Dhiauddin, peserta pelajar Perubatan Tahun Tiga dari Universiti Malaya (UM), beliau pernah menyertai program kesukarelawanan di bawah IM4U. Di sana juga didedahkan tentang konsep-konsep kesukarelawanan, namun keistimewaan 3M ialah penekanan terhadap aspek keagamaan dalam kesukarelawanan di mana matlamatnya nanti adalah untuk mendapat keredaan Allah SWT berbanding sekadar hendak menolong orang.

“Jadi matlamat itu berbeza. Dan saya rasa apa yang dibawa oleh Motivasi Minda Medik ini lebih jauh membawa kita kepada akhirat, dan kita sebagai Muslims, matlamat kita ialah kita nak bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah redha akan kita atas perbuatan kita di muka bumi ini insyaAllah,” jelas beliau.

Ditanya samada berminat untuk sertai 3M lagi, beliau menjawab: “Mestilah saya berminat sertai siri kedua. Mungkin lebih bagus lagi jika program ini juga melibatkan praktikal, bukan sekadar pendetailan bagaimana menjadi sukarelawan.”

Zahrah Md Yunos, 23 tahun, pelajar tahun akhir kursus Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian USIM menyertai 3M buat pertama kali. “Saya dapati ianya sangat bermanfaat sebab dapat ilmu yang boleh dikaitkan dengan muwasofat tarbiyah dengan kesukarelawanan. Juga dapat tahu peluang-peluang kesukarelawanan dalam bidang perubatan dan realiti cabaran dalam kesukarelawanan. Saya minat untuk sertai siri kedua nanti.”

Peserta pelajar jurusan Sains Bersekutu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Petaling Jaya, Tuan Nur Atikah Tuan Rosli, 19, juga menyertai program 3M buat pertama kali.

“Saya dapat tahu 3M ini melalui kawan. Ia sangat bermanfaat. Kami diingatkan bahawa tujuan belajar adalah kerana Allah. Selain itu, program ini juga menyedarkan saya bahawa pekerjaan bukan sahaja karier tapi juga adalah jalan dakwah dengan membantu orang lain.” Kata-kata terakhir beliau adalah, “Career with Dakwah is the Best. Saya nak hadiri lagi program semacam ini”.


Laporan Nurul A’mirah Ahmad Lotfi, unit media HS2.