fbpx

Zionis Akhirnya Minta Maaf Serangan Maut Ke Atas Mavi Marmara

Zionis Akhirnya Minta Maaf Serangan Maut Ke Atas Mavi Marmara

Zionis Akhirnya Minta Maaf Serangan Maut Ke Atas Mavi Marmara

ANKARA, TURKI, 22 Mac 2013 – Setelah hampir tiga tahun berdegil, berdalih dan beberapa siri perbicaraan mahkamah dan kecaman daripada pencinta keamanan antarabangsa, akhirnya rejim pengganas zionis Israel terpaksa akur dan memohon maaf di atas tindakan kejam jenayah mereka menyerang dan membunuh sembilan warga Turki dalam misi pelayaran kemanusiaan MV Mavi Marmara pada tahun 2010.

Perdana Menteri zionis, Benjamin Netanyahu, dilaporkan membuat permohonan maaf tersebut dalam perbicaraan melalui telefon dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, sekaligus menyerlahkan kesilapan terbesar rejim ganas itu bertindak buas menyerang sebuah kapal awam di perairan antarabangsa yang sedang membawa bahan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin Gaza yang sedang menderita. Lanjutan permohonan maaf itu, kedua-dua pihak telah bersetuju tentang bayaran ganti rugi kepada waris mangsa serangan tersebut.

“Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memohon maaf kepada rakyat Turki atas semua kesilapan mereka yang mengakibatkan kematian dan kecederaan, dan Perdana Menteri Turki telah menerima permohonan maaf tersebut sebagai mewakili seluruh rakyat Turki,” sebut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Turki. Kenyataan itu turut memetik dakwaan Netanyahu bahawa “keputusan tragis” mengenai kapal Mavi Marmara adalah “tidak disengajakan”, dan bahawa negara haram Israel melahirkan rasa kesal atas kecederaan dan kehilangan nyawa yang telah terjadi.

Netanyahu turut bersetuju untuk menarik balik sekatan ke atas pintu masuk awam ke wilayah Palestin, termasuk Gaza. Namun, dunia ingin menyaksikan sendiri bahawa Israel akan berpegang kepada janji-janjinya.

Sementara itu Menteri Luar Turki Ahmet Davutoglu berkata bahawa semua tuntutan asas Turki ke atas pembunuhan sembilan rakyat Turki itu telah dipenuhi dengan permohonan maaf tersebut.

Rejim zionis tersebut selama ini enggan memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Turki kerana tindakan itu akan menjadi sama seperti mengakui kesalahan moral anggota dan pemimpin tentera mereka dan seterusnya akan mengundang tindakan undang-undang terhadap tenteranya. Pihak mahkamah Turki telahpun menamakan serta mensubpoena beberapa pegawai tertinggi angkatan bersenjata Israel yang dipertanggungjawabkan di atas penyerangan tersebut. Anehnya, semua mereka telah “dipersarakan” oleh rejim itu semasa kes sedang berjalan.

Di Turki, permohonan maaf rejim zionis ini dilihat sebagai satu kemenangan diplomatik walaupun ianya tidak memenuhi semua desakan awal supaya dihapuskan sepenuhnya sekatan ke atas Gaza. “Ini adalah satu kejayaan diplomatik,” kata penganalisa politik Turki Ufuk Ulutas, sambil menambah bahawa Turki “tidak berundur ke belakang dalam hal berkaitan tuntutan mereka.”

Sementara itu dalam satu sidang media oleh IHH Human Relief Foundation di Istanbul, iaitu penganjur utama pelayaran Mavi Marmara, presidennya Bülent Yildirim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Turki, Menteri Luar Negeri, semua parti politik dan mereka yang menyokong usaha menegakkan kebenaran dan mendedahkan kejahatan zionis dalam tragedi serangan itu. “Israel mengesahkan tindakan haram ke atas Mavi Marmara dengan permohonan maaf ini. Permohonan maaf ini adalah yang pertama kali dalam sejarah, dan merupakan satu langkah kejayaan ke arah kemenangan,” kata beliau. Bülent menambah bahawa waris mereka yang terkorban menerima berita ini dengan gembira, tetapi mereka tidak berpuas hati selagi mana sekatan ke atas Gaza tidak ditarik balik sepenuhnya.

Kapal MV Mavi Marmara membawa seramai 577 penumpang dari 36 buah negara. Seramai 12 rakyat Malaysia turut berada di atas kapal MV Mavi Marmara tersebut yang telah belayar dari Pelabuhan Altalya di selatan Turki menuju pantai Pelabuhan Gaza membawa bahan makanan dan bantuan kemanusiaan termasuk kenderaan, peralatan hospital dan sekolah, bahan binaan dan ubat-ubatan. Mereka turut menjadi mangsa tragedi serangan tentera Zionis tersebut bila komando tentera Israel menyerang kapal misi kedamaian berkenaan. Beberapa orang doktor perubatan pasukan HALUAN Malaysia telah memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa-mangsa serangan di atas kapal.

Lima ahli HALUAN terbabit adalah Noorazman Mohd Samsuddin, Dr Mohd Arbai’e Syawal, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Awang dan Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan yang kini merupakan Ketua Biro HALUAN Palestin. Semua mereka selamat pulang ke tanah air setelah ditangkap, dibelenggu, disoal siasat, ditahan dan kemudian dibebaskan dari tahanan dalam penjara zionis.


Laporan Mohd Nizam Awang untuk mediaHALUAN, alumni MV Mavi Marmara.