fbpx

20 Pasukan Sertai Futsal Relawan HALUAN 2011

20 Pasukan Sertai Futsal Relawan HALUAN 2011

20 Pasukan Sertai Futsal Relawan HALUAN 2011

Kuantan, 8 Okt – Pasukan dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kelantan telah mengungguli pertandingan Futsal Relawan HALUAN Malaysia 2011 mengalahkan pasukan Kedah B pada pertandingan akhir dengan jaringan 1 – 0 manakala pasukan Pulau Pinang 1 dan Kelantan berkongsi di tempat ketiga. 


Pertandingan yang diadakan di Kuantan Futsal Centre, Kg Tiram ini merupakan anjuran bersama Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN dengan kerjasama HALUAN Negeri Pahang.

Sebanyak 20 pasukan dari pelbagai negeri telah menyertai pertandingan yang buat julung kalinya diadakan di peringkat nasional. Program ini adalah di bawah perancangan Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN Malaysia bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan juang bakti di kalangan relawan melalui aktiviti sukan dan rekreasi.

HALUAN Negeri Pahang telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah untuk menganjurkan program pertandingan Futsal Relawan ini. Pertandingan telah dijalankan di empat buah gelanggang rumput tiruan yang telah diadili oleh dua orang pengadil futsal yang bertauliah. Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan ucapan aluan oleh Ketua Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN, Abd Hafidz Hamzah (gambar) dan disusuli dengan taklimat pengadil pertandingan dan seterusnya aktiviti memanaskan badan sebelum perlawanan bermula.  Pertandingan berakhir pada jam 1.30 tengahari.

Dalam ucapan aluan, Abd Hafidz Hamzah merakamkan rasa syukur kerana program ini dapat dijalankan seperti mana yang telah lama dirancang.

“Tujuan pertandingan futsal ini dijalankan bukan sekadar nak bersukan tetapi yang lebih penting adalah untuk berubudiah kepada Allah melalui aktiviti riadah. Di samping berkenal kenalan dan memupuk ukhuwah dikalangan peserta, relawan dan anggota HALUAN dari seluruh negara,” pesan beliau.

Beliau berharap pemain dapat mengamalkan permainan yang sihat dan bersungguh serta tunjukkan semangat profesionalisme yang tinggi dengan menjaga akhlak dan peraturan semasa pertandingan. Beliau optimis melalui aktiviti pertandingan futsal ini dapat menghimpunkan relawan dari seluruh negara dan membuka ruang yang lebih luas kepada relawan untuk terus bersama HALUAN menyumbang bakti.

Abd Hafidz turut menyampaikan hadiah kepada pemenang berupa cenderahati daripada HALUAN beserta hamper yang disumbang oleh Felda Delima Oil Products Sdn Bhd dan Unilever Sdn Bhd. Hadiah saguhati kepada para pemain dan pasukan yang bertanding sumbangan HALUAN Pahang turut disampaikan sebagai tanda kenangan oleh Tn Hj Ramli Ngah selaku Naib YDP Haluan Pahang.

HALUAN Pahang bersyukur kerana pertandingan ini telah berjalan dengan baik, teratur, lancar dan menepati masa yang ditetapkan hasil kerjasama yang baik semua pemain dan pengurus pasukan. Suasana benar-benar meriah dengan hampir 200 orang memenuhi gelanggang dengan berbagai warna jersi dan mereka saling berinteraksi dalam semangat ukhuwah yang baik.

HALUAN Pahang memohon kemaafan di atas sebarang kekurangan dan kelemahan sepanjang  mengendalikan pertandingan yang besar ini dan merakam ucapan terima kasih di atas sokongan, kerjasama dan sumbangan kewangan bagi menjayakan program ini. Diharap pertandingan futsal nasional ini menjadi medan alternatif terbaik untuk mengumpul relawan dan dapat memantapkan lagi ukhuwah di kalangan mereka pada masa akan datang.

“Relawan Cergas, HALUAN Mantap, Sedia Berbakti”

Disediakan oleh
Unit Media, HALUAN Pahang