fbpx

Pasukan Kedua HALUAN Santuni Somalia

Pasukan Kedua HALUAN Santuni Somalia

Pasukan Kedua HALUAN Santuni Somalia

Dadaab, Timur Kenya, 9 Okt 2011 – Pasukan kedua Misi Talian Hayat Pelarian Somalia yang terdiri daripada tiga orang sukarelawan HALUAN yang tiba di sini kini mula berganding bahu dengan NGO Antarabangsa di Kem Pelarian Dadaab di sempadan Kenya-Somalia untuk membantu meringankan kesengsaraan pelarian Somalia yang melarikan diri daripada bencana kemarau dan kebuluran di negara mereka.


Pasukan ini yang terdiri daripada Encik Mohd Nizam Awang, Dr Mohd Arbaai Shawal dan Encik Abu Ubaidah Musa tiba di Dadaab petang semalam setelah menempuh lapan jam perjalanan darat dari Nairobi, termasuk tiga jam melalui off-road Savannah menaiki kenderaan pacuan 4 roda dari pekan Garissa ke Dadaab. Pengalaman di sepanjang perjalanan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan keperitan hidup masyarakat setempat, di mana kelihatan masyarakat yang tinggal di dalam kemah serba daif, anak-anak berdiri di tepian jalan meminta bantuan air, dan anak-anak serta wanita menggembala kambing dan unta.

Dalam pada itu, para relawan juga berkesempatan melihat keindahan Savannah apabila bertembung dengan gerombolan habitat liar seperti impala, zirafah dan dig-dig, sejenis rusa kecil seperti kancil.

Di antara bentuk bantuan kecemasan utama yang sedang laksanakan oleh pasukan kedua ini termasuklah pembekalan makanan dimasak, air bersih untuk minuman dan keperluan rawatan perubatan kepada pelarian-pelarian yang baru tiba di sempadan seperti di Liboi, 35km ke sempadan Somalia yang merupakan salah satu daripada tiga pintu masuk pelarian dari Somalia.

Menurut ketua pasukan, Encik Mohd Nizam, rakan NGO HALUAN di Kem Pelarian Dabaab iaitu Insani Yardem Vakfi (IHH) dari Turki telah bersedia menyambut kehadiran mereka dengan perancangan program bantuan yang rapi.

“Setiba di pusat khidmat IHH, kami diberi penerangan tentang pusat khidmat yang telah didirikan oleh IHH sejak sebelum bulan Rajab lalu. Pusat ini dilengkapi dengan berek penginapan, kemah tambahan, setor ubat-ubatan, setor barangan bantuan dan pejabat operasi,” terang Mohd Nizam.

Menurut beliau lagi, bantuan kecemasan mengagihkan bekalan makanan asasi dilakukan dengan lebih tersusun di mana mereka tidak hanya tertumpu di sekitar kawasan kem pelarian, malahan juga di kawasan-kawasan perkampungan yang menjadi penempatan pelarian Somalia dan tidak mendapat perhatian daripada badan-badan antarabangsa.

Keutamaan juga diberikan kepada usaha memberi bantuan makanan yang dimasak dan rawatan perubatan untuk pelarian yang baru tiba di sempadan sebelah Kenya. Ada di kalangan mereka yang terpaksa berjalan kaki selama lebih 20 hari tanpa makanan yang mencukupi, dan tiba di sempadan dalam keadaan lapar, kehausan, sakit dan kepenatan. Ramai juga yang menemui ajal semasa di dalam perjalanan mereka.

Selain daripada bantuan berbentuk kecemasan ini, yang penting lagi adalah projek bantuan jangkamasa panjang. Di antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuklah mendirikan dugsi (sistem madrasah tradisional Somalia) yang lebih kondusif supaya dapat melahirkan generasi baru yang lebih berpelajaran, berdikari dan produktif. Mereka juga merancang untuk mendirikan pusat rawatan tetap yang lebih strategik, merangkumi kemudahan masjid, kelas pendidikan, hospital dan pusat memasak untuk kemudahan pelarian. Pusat ini akan dijayakan dengan kerjasama para sukarelawan medik antarabangsa.

Pasukan Misi Kemanusiaan HALUAN ini berbakti di Dadaab dengan membawa bersama mereka wang sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin yang disalurkan melalui tabung kemanusiaan HALUAN. Dengan dana inilah mereka membeli ubat-ubatan dan barangan saraan makanan dan air bersih untuk keluarga mangsa pelarian.

HALUAN berharap masyarakat prihatin di Malaysia akan terus dapat bersama-sama menjayakan program bantuan jangkamasa panjang ini demi meneruskan talian hayat untuk pelarian di Somalia di sini.

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan melalui akaun HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 14-023-01-002571-8. Terima kasih.

Mohd Nizam Awang menulis dari kem Dadaab, Timur Kenya.