fbpx

100 Hadiri Seminar Persediaan Berumah Tangga & Keibubapaan

100 Hadiri Seminar Persediaan Berumah Tangga & Keibubapaan

100 Hadiri Seminar Persediaan Berumah Tangga & Keibubapaan

PERMATANG PAUH, 27 Jan 2020 – Kehidupan berumah tangga merupakan satu ibadah kepada Allah SWT. Jika rumah tangga dibangunkan di atas dasar iman dan takwa, nescaya akan lahirlah generasi soleh yang kelak akan memberi khidmat kepada Islam.

Generasi ini juga akan berperanan dalam melestarikan kebaikan dan keharmonian dalam masyarakat. Memahami kepentingan hal ini, HALUAN komited dalam memperkasakan institusi rumah tangga Muslim dalam kalangan anggota dan relawannya.

HALUAN Cawangan Pulau Pinang, melalui Biro Kebajikannya, telah menjadi negeri pertama yang menganjurkan kursus seminar kekeluargaan pada tahun 2020. Seminar berkenaan telah berlangsung di Dewan Seminar Masjid Timah, Kampung Timah, Permatang Pauh. Seminar yang memberi fokus kepada persediaan berumah tangga dan keibubapaan telah berjaya menghimpunkan seramai 118 peserta. Para peserta terdiri daripada mereka yang bakal dan baru berkahwin, bakal ibu bapa, serta pasangan yang sudah lama berkahwin.

Seminar yang berlangsung selama sehari setengah itu telah disampaikan oleh Encik Azmi Bahari, seorang motivator dari EduServe Training & Supply. Slot pertama bertajuk ‘Pimpin Aku Ke Syurga’ telah membincangkan matlamat rumahtangga Muslim serta cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang perkahwinan. Statistik penceraian menunjukkan lima tahun pertama adalah fasa paling mencabar buat pasangan yang baru berkahwin.

“Kehidupan berumah tangga itu seperti sebuah pelayaran yang jauh dan penuh cabaran. Badai dan gelombangnya tidak dapat diduga, luka dan airmatanya tidak terkira. Bagi mereka yang mendapat bimbingan Ilahi, pada setiap ujian ada rahsia yang akan mengungkap makna bahagia abadi. Sehingga rumah tangga itu tadi menjadi rumah tangga syurgawi,” jelas beliau semasa berkongsi pengalaman peribadi beliau.

Slot Kedua pula telah memberi fokus kepada skill keibubapaan. Penceramah menegaskan bahawa proses pendidikan anak-anak mestilah dimulakan dengan ‘pembinaan jambatan rasa’. “Rasa kasih perlu dijelmakan melalui gerak laku dan amalan harian ibu bapa supaya anak-anak bersedia untuk dididik,” tegas beliau.

Resolusi utama daripada seminar ini adalah setiap peserta perlu melakukan persiapan dari sudut iman, ilmu dan sikap demi mencapai rumahtangga yang bahagia dan diredhai Allah SWT. Keazaman ini mampu diraih dengan cara setiap suami dan isteri memberikan komitmen terhadap majlis-majlis ilmu serta pembacaan buku-buku bimbingan kekeluargaan.


Laporan Muhamad Ashiq Akif, mediaHALUAN Pulau Pinang