fbpx

Kunjungan NGO Bosnia Buka Peluang Baharu Kerjasama Kemanusiaan

Kunjungan NGO Bosnia Buka Peluang Baharu Kerjasama Kemanusiaan

Kunjungan NGO Bosnia Buka Peluang Baharu Kerjasama Kemanusiaan

BANDAR BARU BANGI, 19 Jun 2019 — Satu delegasi mewakili pertubuhan bukan kerajaan dari Bosnia telah mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat HALUAN di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah Direktorat Wakaf Bosnia dan Herzegovina, Dr. Senajid Zajimović, dan diiringi oleh Konsultan Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, Damir Sisic, Koordinator Pembangunan dan Kerjasama, Lejla Smajic, dan Pengarah International Forum of Solidarity-Emmaus (IFS-EMMAUS), Hamzalija Okanović. Mereka disambut oleh Ketua Pegawai Operasi HALUAN, Wan Abdullah Sabary Wan Harun, bersama Naib Presiden 4, Alfiah Samingan, dan Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Dr. Baharudin Suri.

Perbincangan mesra bermula dengan tayangan video yang memaparkan program dan aktiviti utama HALUAN dan juga Direktorat Wakaf Bosnia dan Herzegovina.

Direktorat Wakaf Bosnia dan Herzegovina memberi fokus kepada pembangunan masyarakat Islam di Bosnia and Herzegovina, terutama dalam menyelenggara pusat-pusat jagaan serta pendidikan anak-anak yatim dan warga emas. Mereka turut menjalankan projek pemulihan ekonomi dan bantuan makanan harian untuk kanak-kanak di Srebrenica. Bahkan pertubuhan itu juga menghantar bantuan kemanusiaan di luar Bosnia, termasuk Afrika.

Delegasi tersebut turut memberi keterangan tentang situasi semasa lebih dua juta orang Islam di Bosnia, susulan konflik Perang Bosnia dari tahun 1991 hingga 1995. Sehingga kini mereka masih berhadapan dengan masalah kemiskinan dan pengangguran serta penghijrahan keluar golongan muda.

Menurut Dr. Baharudin, ada beberapa sektor yang menarik perhatian bagi menjadi perintis hubungan kerjasama bersama HALUAN, khususnya dalam projek melibatkan pendidikan serta pemerkasaan wanita dan keluarga.

HALUAN berbesar hati untuk menjalin kerjasama dan sinergi bagi mencari penyelesaian isu kemanusiaan di rantau tersebut. Kami juga berterima kasih kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mengiringi kunjungan mereka.


Laporan mediaHALUAN