fbpx

Agihan Sumbangan Barangan Dapur Daripada Tabung Monsun Timur Laut

Agihan Sumbangan Barangan Dapur Daripada Tabung Monsun Timur Laut

Agihan Sumbangan Barangan Dapur Daripada Tabung Monsun Timur Laut

KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 14 Dis 2023 – Banjir dan kesukaran mencari rezeki akibat daripada Monsun Timur Laut dari bulan Oktober hingga Januari setiap tahun terkesan terhadap orang asli yang tinggal jauh di pedalaman.

Bagi penduduk orang asli terpencil di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun, Gerik, mereka terpaksa harungi kejadian banjir kilat beberapa minggu lepas apabila dua buah sungai melimpahi tebing menuju penempatan mereka serta merosakkan tanaman serai yang mereka berharap menjadi punca rezeki. 

Menyedari musibah dan kesusahan ini, HALUAN telah melancarkan Tabung Bantuan Barang Dapur, Monsun Timur Laut dan berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM 5,000.

Pada 8 Disember lepas, agihan sumbangan keperluan barangan dapur Peringkat 1 telah diserahkan kepada 35 keluarga penduduk Kampung Air Banun dalam bentuk beras dan gula. Pengagihan barangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Biro Relawan HALUAN cawangan Kedah, Encik Wan Mohamed Yusfi Mohd Abdoh.

Menurut Ahli Jawatankuasa Projek Pembangunan Sosio Ekonomi Orang Asli RPS Air Banun, Ustaz Mohd Fadlon Abd Rahim, yang turut berada di lokasi, para penerima sumbangan sangat teruja dan berterima kasih kepada semua penderma. Sumbangan ini banyak membantu mereka dalam suasana yang mencabar sekarang ini. Akhir-akhir ini juga, RPS Air Banun adalah antara kawasan yang dijejaki harimau belang dan harimau kumbang yang pada dahulunya tidak pernah memasuki kawasan ini. Penduduk sekitar amat bimbang akan keselamatan mereka dan risau untuk memasuki hutan mencari rezeki akibatnya.

Pada kesempatan ini, HALUAN mengajak para penderma budiman untuk menyalurkan infak ikhlas anda demi membantu golongan miskin hutan ini. Dermalah ke akaun HALUAN Pulau Pinang yang mengurus projek bantuan ini, seperti maklumat berikut:
Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia
Bank: Maybank
No. Akaun: 5572 5006 2982
Rujukan: Orang Asli Banun.

Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN