fbpx

Merayakan Sebuah Kemenangan!

Merayakan Sebuah Kemenangan!

Merayakan Sebuah Kemenangan!

Assalamualaikum wbt.

الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر
ولله الحمد, الله أكبر

Muslimin-muslimat yang budiman,

Di setiap awal perbicaraan, sebagai seorang mukmin, ada tiga hal terpenting yang wajar kita lafazkan dengan penuh keimanan yang mendalam.

Pertama, rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada ALLAH SWT atas segala kurniaan nikmat kepada kita sebagai hamba-Nya, khususnya nikmat Iman dan Islam.

Kedua, kita memperbanyakkan bersalawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Baginda sebagai qudwah hasanah, role model dan ikutan yang terbaik bagi seluruh lapangan kehidupan sehingga ke akhir zaman, dan

yang ketiga, kita mendoakan kebaikan untuk baginda Rasulullah SAW, para sahabat, para pejuang yang menegakkan kalimah ALLAH serta buat diri kita semuanya agar istiqamah bersama jalan yang benar ini.

Muslimin-muslimat yang dikasihi Allah sekalian,

Hari ini adalah hari kejayaan. Kejayaan yang membuahkan kemenangan hakiki yang semestinya disambut dengan sukacita dan penuh gembira. Merayakan kemenangan Eidul Fitri adalah tuntutan sunnah yang besar oleh Nabi Muhammad SAW ke atas setiap muslimin yang berpenat lelah melalui Madrasah Ramadan. Tentu sekali, fokus perjuangan sepanjang Ramadan adalah bagi meraih misi utama iaitu TAQWA.

Pengisian kemenangan ini perlulah disambut dengan natijah (hasilan) TAQWA yang telah digariskan oleh ALLAH SWT. Hal ini disebut oleh ALLAH SWT di dalam surah Ali Imran ayat 133 – 135. Ahli Taqwa itu diringkaskan seperti berikut :

  1. Orang yang menafkahkan (hartanya) semasa lapang atau sempit.
  2. Orang yang berjaya menahan marah.
  3. Orang yang memaafkan (kesalahan) orang lain, dan
  4. Orang yang segera ingat akan ALLAH SWT serta memohon ampunan atas dosa-dosanya melalui pintu taubat.

Dari ayat ini, kita boleh rumuskan bahawa antara ciri mereka yang bertaqwa adalah sangat dermawan, sangat penyabar, mudah memaafkan dan seorang pendosa yang selalu bertaubat. Bagi mereka-mereka yang berjaya melalui Ramadan dengan baik, maka kita akan dapat melihat imej hasilan ahli taqwa ini di dalam kehidupan peribadi dan kehidupan mereka secara amnya.

Kemenangan di pagi syawal ini adalah kemenangan yang membawa kebaikan kepada ummah. Masyarakat bertaqwa adalah masyarakat yang takut kepada ALLAH SWT melalui kepekaan kepada diri sendiri dan kepedulian kepada masyarakat. Peka kepada diri, maka akan timbullah gesaan untuk perbaiki diri secara berterusan dan peduli kepada masyarakat akan menggerakkan semangat untuk berkhidmat demi kebaikan orang lain.

Kemenangan ini wajar diraikan. Bagaimanakah cara yang terbaik dalam meraikan sebuah kemenangan? Ini dijelaskan oleh ALLAH SWT, di dalam surah An Nasr ayat ke 3 yang boleh dirumuskan dengan tiga anjuran UTAMA :

  1. Perbanyakanlah tasbih.
  2. Pujian hanya kepada ALLAH SWT, dan
  3. Mohonlah keampunan kepada-Nya.

Kepada ALLAH SWT kita kembalikan rasa puji-pujian yang sebanyaknya. SubhanaALLAH, Maha Suci ALLAH atas segala kurniaan nikmat ini. Dan, sentiasalah kita melazimi taubat dengan memohon ampunan kepada ALLAH kerana diri kita ini lemah dan tidak terlepas dari melalukan dosa. Setiap masa dalam apa keadaan kita sekali pun, PUJI dan ISTIGHFAR sentiasa menjadi zikrullah yang tidak pernah henti.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Motto HALUAN – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti – harus dijelmakan dalam kehidupan peribadi dan berorganisasi. Khidmat baktinya harus menjelma merangkumi peribadi, keluarga dan masyarakat yang meliputi dalam serta luar negara secara seimbang dan meluas.

Berakhlak adalah suatu proses yang menuntut pembaikan diri secara menyeluruh yang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Ia tidak terhenti di situ sahaja, maka khidmat kepada masyarakat juga perlu menyeluruh dari (JERI) kepada seluruh bidang kehidupan manusia terutama pendidikan, kebajikan dan kemanusiaan.

Didikan suntikan Ramadan seharusnya menguatkan kita semua bagi melipatgandakan lagi segala perancangan dan usaha-usaha kita untuk memberi, memberi dan memberi kepada masyarakat. Kita berikan khidmat yang terbaik sedaya yang termampu. Kita sumbangkan apa sahaja kepakaran yang kita miliki bagi memacu peradaban Islam yang kita impikan. Kita berusaha mengislahkan masyarakat ke arah TAQWA.

Beginilah seharusnya kita merayakan sebuah kemenangan pasca Ramadan ini. Dengan genggaman taqwa yang kita raih, ia adalah umpama satu daya dorongan yang kuat untuk kita bekerja, berkhidmat dan berbakti. Tiada lagi alasan bagi kita kecuali merayakan kemenangan ini dengan Berakhlak, Mendidik dan Berbakti!

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli HALUAN, para pekerja sepenuh masa HALUAN, para relawan dan seluruh rakyat Malaysia para dermawan yang bermurah hati menghulurkan khidmat bakti dalam apa jua bentuk tenaga, masa, buah fikiran serta dana bagi menjayakan seluruh kempen kutipan dana HALUAN sepanjang bulan Ramadan bagi tahun 2018 yang lalu.

Sumbangan ini bukan sahaja sebagai bukti kepedulian serta sifat kemanusiaan kita kepada saudara-saudara seakidah kita, tetapi juga merupakan manifestasi salah satu sifat takwa seperti yang dijelaskan sebelum ini, iaitu berinfak sama ada pada waktu senang mahupun susah. ( Ali-Imran 3 : 134).

Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman,

Akhir kalam, semoga Aidil Fitri ini menjadi jambatan untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan tali silaturahim yang sedia terjalin antara kita. Berdoalah agar perpaduan umat Islam khususnya di Malaysia terus kukuh dan menjadi benteng kekuatan yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran semasa dan yang mendatang.

Selamat Menyambut Aidil Fitri 1439H bersamaan 2018M kepada semua ahli-ahli HALUAN dan semua saudara-saudari Muslim di mana jua anda berada.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!


Dr Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN
1 Syawal 1439 H