fbpx

Penderma Prihatin Malaysia Kongsi Pahala di Ramadan

Penderma Prihatin Malaysia Kongsi Pahala di Ramadan

Penderma Prihatin Malaysia Kongsi Pahala di Ramadan

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 14 Jun 2018 – Bulan Ramadan adalah bulan mendidik setiap muslim dengan pelbagai aktiviti ibadah dan kebajikan. Selain berpuasa dan memperbanyakkan solat sunat, setiap muslim juga digalakkan memberi makan dan sedekah kepada saudara-saudaranya yang amat memerlukan.

Sebagai sebuah NGO yang prihatin dan cakna kemanusiaan, HALUAN dalam bulan yang mulia ini telah melaksanakan aktiviti iftar, agihan bantuan kepada fakir miskin, saudara baru dan anak yatim di beberapa tempat di seluruh Malaysia. HALUAN juga melalui rakan kerjsama NGO telah mengadakan aktiviti yang seumpamanya untuk pelarian Syria di Syria dan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Pada hari Rabu 13 Jun, seramai 200 keluarga pelarian Rohingya di Bangladesh telah menerima agihan bantuan makanan di bawah program Iftar Ramadan 1439H. Sumbangan daripada rakyat Malaysia telah disampaikan melalui agihan pakej makanan dan hidangan iftar di dua kawasan kem iaitu Kem Pelarian Musoni di Teknaf dan Kem Pelarian Kutupalong di Ukhiya di sini.

Menurut Ustaz Saifullah, rakan NGO HALUAN dari AlHoque Muslim Council, “kami laksanakan agihan pakej makanan kepada 100 keluarga yang benar-benar memerlukan di Kem Musoni dan Kutupalong di samping memberi makanan iftar kepada 200 pelarian di masjid yang berdekatan. Setiap pakej makanan untuk iftar dan sambutan Aidilfitri terdiri daripada minyak masak satu kg, susu tepung satu paket, kelapa satu biji, kekacang satu kg, beras 1/2 kg, shemai (mee kering), bawang satu kg dan gula pasir 1kg.”

“Dengan agihan pakej makanan tersebut, sekurang-kurangnya ia akan memberi sedikit keceriaan kepada setiap keluarga dalam mengharungi Ramadan dan menyambut ketibaan 1 Syawal,” ujar Ustaz Saifullah lagi.

HALUAN telah mula menyantuni pelarian Rohingya di Bangladesh sejak bulan April 2017 dengan pelbagai aktiviti seperti pembinaan khemah, telaga tiub, ibadah korban, agihan pek makanan dan kit kesihatan. Projek mutaakhir ialah melaksanakan program pendidikan untuk kanak-kanak dan wanita di kem pelarian Balukhali 1 dan 2 di Cox’s Bazar. Semua aktiviti berkenaan hanya dapat dilaksanakan kerana adanya sokongan dan bantuan dana yang ikhlas daripada individu dan organisasi masyarakat Malaysia serta pelbagai syarikat yang turut prihatin akan nasib saudara Islam pelarian etnik Rohingya yang kini mencecah lebih 1.3 juta orang di Bangladesh.

Kami di HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih atas apa jua sumbangan yang telah diberikan selama ini, dan juga mengharapkan keprihatinan tuan puan akan dapat diteruskan lagi untuk membolehkan kami meneruskan pelaksaaan aktiviti untuk pelarian Rohingya di Bangladesh.

Anda terlepas peluang menderma dan berkongsi pahala? Jangan gusar. Salurkan derma ikhlas anda untuk kempen terkini melalui pautan ini → http://www.haluan.org.my/donate


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani