fbpx

Gembeling Kepakaran Menggubal Kurikulum Sahsiah Terpuji Untuk KTD

Gembeling Kepakaran Menggubal Kurikulum Sahsiah Terpuji Untuk KTD

Gembeling Kepakaran Menggubal Kurikulum Sahsiah Terpuji Untuk KTD

PUTRAJAYA, 22 JANUARI – Seramai 50 orang anggota Akademi Penyelidikan HALUAN (APH) dan pensyarah Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) telah berkumpul selama sehari suntuk di Masjid Putra bagi mengembeling kepakaran bagi menggubal kurikulum sahsiah terpuji untuk pelajar KTD.


Seminar yang dianjurkan oleh APH serta KTD dengan kerjasama Masjid Putra dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh penasihat APH, Prof. Madya Dr. Nik Mu’tasim. Perasmian dan ucaptama telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Presiden HALUAN Malaysia merangkap Ketua Eksekutif KTD.

“Semua tugas membangunkan insan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa melalui proses pendidikan yang berterusan,” ujar Dr. Abdullah.

Ucapan beliau selama hampir dua jam telah menggariskan beberapa kerangka penting agar ahli APH dapat berperanan secara berkesan bagi menjayakan misi dan visi HALUAN dan membantu KTD, sebuah kolej swasta yang banyak memberi penekanan kepada aspek pendidikan dalam semua sudut.

Pada sesi petang, pengerusi APH, Prof. Dr. Ismail Ahmad, telah memberi penerangan perkembangan terkini APH sepanjang tahun lalu dan perancangan pada tahun ini. Antara projek terdekat APH ialah membantu KTD menjadi IPTS tersohor dan penganjuran Seminar Modal Insan (SEMAI). Sejurus selepas itu, satu sesi sumbangsaran berkaitan KTD telah diadakan dan menghasilkan saranan agar KTD mempunyai program kendalian sendiri. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Nordin bin Endut, Naib Pengerusi 1 APH. Banyak idea yang bernas telah diutarakan para peserta dan masing-masing memberi komitmen yang tinggi bagi menjayakan projek pembangunan KTD dalam bentuk sumbangan masa, dana dan juga kepakaran.

Seminar berakhir dengan sesi rumusan dan dikendalikan oleh Datuk Dr. Ir. Abu Azam yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah KTD.

“Sistem pembangunan sahsiah yang holistik bagi pelajar perlu diintegrasikan dalam kurikulum KTD,” ujar Datuk Dr. Abu Azam di akhir ucapan penutupnya.