fbpx

JDK 2010 Melabuhkan Tirai

JDK 2010 Melabuhkan Tirai

JDK 2010 Melabuhkan Tirai

Bangi, 16 Januari – Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2010 (JDK2010) melabuhkan tirai serentak di ketiga-tiga lokasi di seluruh negara.


Majlis penutup bagi JDK2010 zon tengah yang bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi telah disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man selaku Pengarah ILIM. Turut hadir adalah pemimpin masyarakat setempat yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan kursus kali ini. Waris serta ibubapa para peserta juga tidak ketinggalan memenuhi ruang auditorium sejak jam 10.00 pagi.

Kursus selama 22 hari ini telah membentuk jati diri para peserta ke satu tahap tersendiri dan telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada para peserta. Program Khidmat Masyarakat di Kampung Abu Bakar Baginda mengajar para peserta untuk memahami dan menghayati nilai berbakti dan pada masa yang sama membuka ruang untuk beramah mesra dengan penduduk kampung dalam suasana ukhuwah dan mahabbah.

Selain itu, modul-modul yang telah dilalui telah membina minda serta kemahiran berfikir dan bertindak dalam pelbagai situasi. Malam apresiasi seni telah mencungkil bakat para peserta menzahirkan ekspresi wajah dan watak di pentas terbuka dan telah dapat mereka lakukan dengan baik.

Dalam ucapan penutup, Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man, Pengarah ILIM, menyebut antara lain, program yang dikelola HALUAN ini adalah sesuatu yang baik dan mengucapkan syabas atas kejayaan penganjuran ini. Sebagai institusi kerajaan, sokongan akan sentiasa diberikan, terutama kepada penganjuran program seumpama ini yang memang amat diperlukan bagi membina jiwa remaja Muslim hari ini. Beliau mengimbas pengalaman dan memori silam berhubung prasarana di ILIM dan kemudiannya menyatakan bahawa bukan sukar untuk membina kemudahan yang terkini dan canggih namun yang lebih penting ialah keberkesanan pengisian bagi para peserta. Beliau seterusnya merasmikan acara penutup program JDK2010 dengan lafaz bismillah. Al Fadhil Ustaz Che Ibrahim kemudiannya menyampaikan sijil serta hadiah kepada para peserta.

Rata-rata para peserta yang sempat ditemuramah menyatakan rasa gembira dan beruntung kerana berpeluang mengikuti JDK2010. Setiap saat sepanjang berlangsungnya program tersebut telah memberi mereka input yang amat berguna. Mereka juga menyeru kepada para remaja lepasan SPM akan datang supaya merebut peluang untuk mengikuti kursus jati diri seumpama ini agar dapat meraih manfaat daripada modul-modul yang disusun untuk memantap dan mempersiap peserta melewati zaman remaja yang mencabar.

Seluruh warga kerja JDK2010 mengucapkan selamat maju jaya kepada semua lepasan JDK2010 dan seruan ringkas daripada fasilitator, “Adik-adik! Hubungi kami jika perlu nasihat dan tunjuk ajar, kami sentiasa menunggu.”