fbpx

HALUAN Gerak Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir

HALUAN Gerak Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir

HALUAN Gerak Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir

SETIU, TERENGGANU, 4 Dis 2019 — Sukarelawan HALUAN telah mula turun ke lapangan membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan, melalui kesepakatan dan pemantauan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). HALUAN merupakan sebuah NGO di bawah “kluster pemulihan awal” yang diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Semalam, HALUAN mengaktifkan Pusat Operasi Banjir (POB) di ibupejabatnya di Bandar Baru Bangi dan Bilik Gerakan Banjir Negeri (BGBN) di dua negeri tersebut. Langkah tangkas ini dibuat selepas menghadiri mesyuarat dan taklimat bencana di Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur. Dengan ini, BGBN akan berkoordinasi dengan JKR Negeri dan JKR Daerah dalam memastikan sinergi gerak kerja bersama beberapa agensi serta pertubuhan lain.

Dua pasukan pertama melibatkan 10 sukarelawan HALUAN sudah bersiap sedia membantu mangsa-mangsa banjir di daerah Setiu dengan tugasan memastikan kebersihan rumah-rumah mangsa dan juga bangunan serta kemudahan awam seperti masjid, balairaya, sekolah dan surau.

Laporan koordinator di lapangan menyebut bahawa mereka telah selesai membersihkan beberapa buah rumah di Kampung Merbau Menyusut. Salah seorang mangsa adalah ibu tunggal Meriam Mat Ariffin, 80an, di mana rumahnya telah dimasuki air setinggi dua kaki. Semua bekalan makanan beliau tidak dapat diselamatkan dalam kejadian tersebut.

Sementara di Kelantan, BGBN telah mula menyusun pasukan sukarelawan petang tadi.

Menyentuh tentang bantuan yang boleh disalurkan oleh masyarakat, Naib Presiden 4 HALUAN merangkap Pengarah POB, Dr Baharudin Suri, merayu supaya mereka menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan.

“Buat masa ini, kita belum bersedia untuk menerima sumbangan dalam bentuk barangan di POB. Ini kerana keperluan setiap lokasi banjir adalah berbeza dan dana diperlukan untuk memenuhi keperluan tertentu di sana. Contohnya, ada BGBN yang sudah cukup stok barangan makanan kering dan basah, tetapi terdapat kekangan bekalan air bersih untuk minum dan kebersihan diri akibat tekanan air yang rendah. Kami perlu dapatkan pam tambahan untuk bekalan air bersih. Ada pusat memerlukan bahan dan alatan mencuci tandas yang di bawah kategori “high traffic” dan kami perlukan alat seperti waterjet dan bahan sampingan untuk sukarelawan kami bersihkan setiap empat jam demi keselesaan mangsa yang berpindah ke pusat berkenaan. Bagaimana pun, pusat pengumpulan barangan mungkin akan dibuka di BGBN, bergantung kepada perkembangan keadaan banjir,” jelas beliau.

Anda juga boleh berperanan membantu mereka yang menjadi mangsa itu. Sila salurkan sumbangan melalui pautan di bawah:-

RM
Select Payment Method
Personal Info

Terms

Donation Total: RM50.00

Laporan mediaHALUAN