fbpx

Lima Belas Maksiat Yang Menurunkan Bala

Lima Belas Maksiat Yang Menurunkan Bala

Lima Belas Maksiat Yang Menurunkan Bala

Masyarakat dan keluarga haruslah bersama-sama membanteras penyakit di dalam masyarakat pada hari ini.

عَنْ عَلِيّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَعَلَتْ أُمَّتِي خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ بِهَا الْبَلَاءُ, قِيْلَ وَمَا هِيَ يَارَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : اِذَا كَانَ اْلمَغْنَمُ دُوَلًا وَاْلَأمَانَةُ مَغْنَماً وَالزَّكَاةُ مَغْرَمًا وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَّقَ أُمَّهُ وَبَّرَ صَدِيْقَةُ وَجَفَا أَبَاهُ وَاْرتَفَعَتِ اْلأَصَواتُ فِي اْلمَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ الْقَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَّرِهِ وَشُرِبَتِ الْحُمُوْرُ وَلبُِسَ الْحَرِيْرُ وَاتُّخِذَتِ اْلقِياَنُ وَالمَعَازِفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الْأُمَةِ أَوَّلهَاَ فَلْيَرْتَقِبُوْا عِنْدَ ذَلِكَ زِبْحًا حمَرْاَءَ اَوْ خَسْفًا اَوْ مَسْخًا.
( رواه الترمذي )

Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu ‘anhu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila umatku telah melakukan lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu : Apabila harta negara hanya beredar pada orang–orang yang tertentu sahaja, apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan, zakat dijadikan hutang, suami memperturutkan kehendak isteri, anak derhaka terhadap ibunya, sedangkan dia berbaik-baik dengan kawannya dan dia suka menjauhkan diri daripada ayahnya, suara sudah ditinggikan di dalam masjid, yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka, seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, khamar (arak) sudah diminum di merata tempat, kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki, para artis disanjung-sanjung, muzik banyak dimainkan dan generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat). Maka pada ketika itu, hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan ditukar menjadi makhluk lain (binatang).
(Hadith riwayat Imam At-Turmuzi)

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan detik bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena negara kita telah mencapai kemerdekaan daripada cengkaman Penjajah Inggeris. Justeru, untuk memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang yang berjuang bermati-matian mempertahankan tanah air daripada terus berada di bawah cengkaman penjajahan maka setiap tahun kerajaan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan. Sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan ke-50 pada tahun ini iaitu “Keranamu Malaysia”, maka ada beberapa perkara yang seharusnya diambil perhatian serius terutamanya bagi semua rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya tidak diulang apabila setiap tahun Hari Kemerdekaan disambut. Apakah yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan yang sebenarnya? Adakah kita sudah benar-benar merdeka daripada penjajahan Inggeris ?

Sebenarnya, kita hanya diberi kebebasan dan kemerdekaan daripada jajahan Inggeris apabila terpaksa akur dan mempersetujui segala perjanjian untuk mencapai kemerdekaan dengan mengikut segala telunjuk daripada Inggeris. Tidak dinafikan kita diberikan kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan Inggeris, tetapi ramai yang tidak sedar dan terlepas pandang, kita masih berada di bawah belenggu cengkaman penjajahan Inggeris yang dikenali sebagai “Penjajahan Pemikiran.” Rasionalnya, walaupun kita diberikan kemerdekaan tanah air, tetapi semua sistem pentadbiran, cara hidup dan budaya, cara berpakaian, mentaliti berfikir dan sebagainya, nampaknya umat Islam di Malaysia lebih cenderung mengamalkan cara hidup Barat. Mereka berasa lebih bangga apabila berpakaian ala-Barat, mengamalkan cara hidup Barat malah apa yang lebih teruk lagi mereka merasakan suatu penghinaan sekiranya mengamalkan cara hidup Islam yang syamil dan kamil. Cara hidup Islam ternyata lebih baik dan terbaik di dunia ini.

Apakah erti kemerdekaan yang sebenarnya? Adakah apabila melihat golongan muda mudi berpeleseran di Dataran Merdeka setiap tahun pada malam detik menyambut kemerdekaan yang dilihat berpelukan-pelukan, bercumbu-cumbuan, meminum arak, bertukar-tukar pasangan, seks bebas, berdisko, bernyanyi di kelab malam, berlumba haram dan bermacam-macam ragam ini dikatakan sebagai erti kemerdekaan? Inikah yang dikatakan kebebasan dan kemerdekaan yang sebenarnya? Merdeka dan bebas untuk melakukan apa saja yang ingin mereka lakukan. Tidak cukup dengan penjajahan pemikiran, keruntuhan akhlak anak muda mudi yang mengaku beragama Islam sekarang semakin parah dan amat kritikal. Siapakah yang harus dipersalahkan? Semua ini adalah natijah kejayaan Penjajah Inggeris untuk memberikan kemerdekaan kepada Malaysia.

Justeru, kita janganlah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Sebaliknya marilah sama-sama kita bergembeling tenaga mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ini. Masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri termasuklah pihak kerajaan yang bertungkus-lumus membasmi gejala sosial. Begitu juga di peringkat masyarakat dan keluarga juga haruslah bersama-sama membanteras penyakit di dalam masyarakat pada hari ini. Yang jelaskannya, untuk menyelesaikan masalah ini kita semua hendaklah kembali untuk mengambil ajaran Islam seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam Ingatkan peringatan yang dijelaskan di dalam hadis di atas iaitu apabila umat Islam melakukan lima belas perkara tersebut maka nescaya Allah menurunkan bala kepada kita. Yakinlah dengan semua janji Allah dan berdoa kepada Allah supaya diberikan petunjuk.

Susunan : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Sarjana Muda Kepujian Usuludin (Al Quran & Hadith)
Universiti Malaya.