fbpx

Setiap Amalan Bergantung Pada Niatnya

Setiap Amalan Bergantung Pada Niatnya

Setiap Amalan Bergantung Pada Niatnya

Semua perkataan dan perbuatan setiap orang mukmin itu tidak sah dan tidak diterima sesuatu amalan tanpa adanya niat yang ikhlas semata-mata ingin mencari dan mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

عَنْ أَمِيْرِ المْؤُْمِنيِنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ اْلخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سمَعِْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإنمَّا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هَجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.
(رواه الشيخان – متفق عليه)

Diriwayatkan dari Amirul Mu’minin Abu Hafsh ‘Umar bin Khattab Radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:”Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperoleh apa yang dia niatkan. Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya” ( Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.)

KETERANGAN HADITH

Pada hakikatnya, Hadith ini merupakan salah satu daripada prinsip utama dalam Islam kerana Islam berdiri tegak di atas prinsip ini. Dalam hadith ini juga Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan bahawa semua perbuatan yang disyariatkan dalam Islam memerlukan kepada niat. Semua perkataan dan perbuatan setiap orang mukmin itu tidak sah dan tidak diterima sesuatu amalan tanpa adanya niat yang ikhlas semata-mata ingin mencari dan mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini kerana niat merupakan perkara paling dasar dan menjadi ukuran bagi semua perbuatan dan perkataan.

Selain itu, apa yang jelas kepada kita setiap perbuatan itu dinilai sebagai baik selagi mana niatnya baik dan sebaliknya setiap perbuatan dinilai buruk selama mana niatnya itu buruk. Maka apabila niatnya baik dan perbuatannya itu pula sesuai dengan tuntutan syariat, maka perbuatan dan amalan tersebut diterima. Tetapi jika sebaliknya maka perbuatan dan amalan itu tidak diterima. Antara lain, seperti perbuatan baik dengan niat yang buruk atau perbuatan buruk dengan niat yang baik, atau niatnya baik, tetapi perbuatan itu tidak disyariatkan , semuanya sama sahaja, tidak diterima.

Sebagai contohnya, seseorang yang berhijrah dari negeri yang bukan Islam ke negeri Islam, demi cintanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan agama Islam, demi untuk menuntut ilmu dan mengamalkan Islam, maka orang itu memperoleh balasan yang sesuai dengan niatnya. Tetapi apabila maksud dan tujuannya adalah untuk memperoleh keuntungan harta benda atau untuk memperisterikan seseorang maka balasannya adalah apa yang dihajatinya iaitu harta benda atau isteri yang diinginkannya itu. Maka di sini, dia tidak akan memperoleh pahala berhijrah tadi.

Seperti mana yang diketahui, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rahsia yang tersembunyi dan Allah Maha Rahsia. Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberikan balasan kepada setiap pelaku perbuatan di mana apabila perbuatan itu baik, maka baiklah pula balasannya. Tetapi apabila perbuatan itu buruk maka buruklah pula balasannya. Allah Maha Adil lagi Bijaksana. Sudah pasti tidak akan berlaku sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan terhadap hambaNya. Manusia akan dihitung berdasarkan kepada amalan yang dilakukannya di dunia. Tiada seorang pun yang dapat terlepas dari penghitungan Allah Subhanahu wa Ta’ala di akhirat nanti

PENGAJARAN HADITH

Seseorang itu tidak boleh berhajat untuk melakukan sesuatu amalan dan perbuatan melainkan setelah mengetahui hukumnya terlebih dahulu.
Niat itu tidak boleh diwakilkan kepada orang lain kerana pelaku itu sendiri yang harus berniat.

Amalan dan perbuatan seseorang itu tidak sah apabila tidak disertai dengan niat kerana Allah semata-mata untuk mencari keredhaanNya.

Tidak boleh berniat dalam semua ibadah kecuali ibadah itu telah disyariatkan oleh Allah sahaja.

Ikhlas berbuat sesuatu kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berwaspada dari sikap menunjuk-nunjuk serta mencari populariti dan kepentingan duniawi.

Susunan: Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Sarjana Muda Kepujian Usuludin (Al Quran & Hadith)
Universiti Malaya