fbpx

Panel Gamatkan Forum 3M

Panel Gamatkan Forum 3M

Panel Gamatkan Forum 3M

BANDAR BARU BANGI 11 Mac 2012 – Amat jarang sekali forum yang panelisnya terdiri daripada golongan profesional dapat mencuit hati penonton muda di IPT sehingga mereka menyuarakan sokongan serta bantahan secara partisipatif terang-terangan dengan selingan gelak ketawa kerana teruja dengan tajuk yang hangat diperbincangkan mengenai realiti hidup di kampus.

Ibarat sebuah “reality show”, itulah yang terjadi apabila tiga orang panelis berjaya mencuit emosi para peserta Program Motivasi Minda Medik (3M) di sini minggu lepas berteraskan tajuk “Teknik Belajar Berkesan; Ke Arah Mahasiswa Health Sciences Cemerlang Duniawi dan Ukhrawi”. 3M adalah produk anjuran HALUANSiswa Health Sciences (HS2) dengan kerjasama Kelab Kesihatan HALUAN Malaysia (KKH).

Ahli-ahli panel terdiri daripada Dr Suraiya Ibrahim, Pakar Radiologi dari Hospital Selayang; Encik Muhammad Afiq Jamarudin, Ahli Fisioterapi dari WQPark, Kelana Jaya; dan Prof Madya Dr Azizan Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN dan Timbalan Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ianya dipengerusikan oleh Saudara Imran Abdul Rahman dari Cyberjaya University Medical Sciences yang juga merupakan Presiden HS2.

Dr. Suraiya mengupas dengan jelas tentang ciri-ciri yang perlu ada pada seorang mahasiswa Islam. Menurut beliau, ada empat ciri utama iaitu wajib memahami Islam dengan sempurna, wajib beramal dengan syariat, yakin bahawa Islam adalah satu-satunya deen yang boleh menyelamatkan dunia dan akhirnya, Islam itu perlu digenggam sungguh-sungguh bak bara api. Biar apa sekalipun terjadi, mahasiswa perlu rasa izzah dengan Islam di mana saja mereka berkhidmat nanti.

Encik Mohd Afiq semasa menghurai mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi Mahasiswa Muslim dalam bidang sains kesihatan telah membahagikannya kepada cabaran dalaman dan luaran sambil memberikan penyelesaiannya iaitu dengan doa, usaha, tawakal dan redha atas segala ketentuanNya.

Pakar motivasi yang terkenal Prof. Madya Dr Azizan selaku panelis ketiga berjaya menggamatkan suasana dengan memimik pelbagai watak samada pelajar mahupun pensyarah. Ada saja pihak yang terpalit dengan olahan bahasanya hingga jelas terbayang situasi yang dihadapi masing-masing semasa bergelut dengan pembelajaran dan peperiksaan di kampus. Kaedah kupasan beliau yang bersahaja itu berjaya menarik minat serta respon daripada lebih 80 orang peserta yang datang dari berbagai universiti tempatan.

Beliau memetik kata-kata Ibn Qayyim al-Jauzi, bahawasanya manusia perlu dua perkara sahaja dalam kehidupan iaitu hidayah (iman) dan taufik. Di samping itu siswazah perlu kekuatan untuk melaksanakan petunjuk iman supaya mereka dapat melihat kehebatan pada sesuatu perkara yang telah disusunaturkan oleh Allah SWT. Para peserta didapati sangat terangsang dan responsif sepanjang huraian beliau itu.

Isu-isu lain yang dibentangkan semasa forum adalah konsep hidup, survival kampus, tanggungjawab mendalami semua ilmu Allah kerana sesungguhnya ia hak orang-orang Islam, tugas-tugas pelajar dalam menegakkan deen dalam kecelaruan jahiliyah di kampus, perkongsian pengalaman belajar di dalam bidang yang penuh dugaan dan cabaran ini, mahasiswa Muslim bermisi dan visi, sentiasa menanti cabaran mendatang, merasai izzah kerana Islam, sentiasa berusaha dengan bersungguh-sunguh dan tidak akan berputus asa daripada pertolongan Allah SWT.

Di sebelah petang pula, peserta disajikan dengan sebuah slot khas tentang misi bantuan kemanusiaan oleh Dr. Roniyuzam Abdul Malek, Pengarah Hospital Tanjung Karang. Persembahan oleh Ketua Unit Misi Kemanusiaan KKH itu penuh berinformasi serta menguja peserta dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menyertai misi-misi yang mendatang. Ramai yang telah mendaftarkan nama mereka untuk dilatih sebagai relawan kemanusiaan di dalam negara.

Slot terakhir adalah bengkel bersama doktor-doktor Kelab Kesihatan Haluan (KKH) di mana para peserta diberikan soalan Latihan Dalam Kumpulan dan dibentangkan. Yang menariknya ialah persoalan berkisar berkenaan masalah kebiasaan dihadapi oleh pelajar seperti pengurusan masa, sensitiviti dalam menjaga pergaulan berlainan jantina, keseimbangan tuntutan rohani serta pengurusan stress. Di akhir sesi, peserta terasa kehadiran mereka sangat berbaloi sehingga ada yang berkata bahawa mereka tidak pernah mengalami kursus sebegini padat tetapi penuh bermakna.

Kalimah akhirah telah disampaikan oleh mantan Pengerusi KKH Dr Basir Towil, Ketua Jabatan Pembedahan Ortopedik, Hospital Serdang. Rata-rata peserta berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi di masa hadapan kerana ia sangat membina sahsiah mahasiswa. Melaluinya, mereka kembali bersemangat, jelas matlamat serta lebih tabah dan yakin untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dalam mengejar ilmu perubatan dan sains kesihatan.